Renangan Obor Sukan SEA KL 2017 Di Pulau Pinang

Perakmania oleh Perakmania 2 minggu yang lalu

Sejak sebulan dua ini, banyak heboh memperkatakan tentang larian obor sukan SEA 2017. Apa yang menarik mengenai larian obor kali ini?.

MUKADIMAH

Obor ialah satu ritual simbol  sebagai bermula acara sukan. Orang-orang Yunani Kuno percaya api adalah unsur ketuhanan. Di Olympia, di mana Olimpik Kuno diadakan, api dikatakan telah dibakar secara berterusan di atas Kuil dewi Hestia. Apa yang menarik, obor  sukan olimpik dinyalakan oleh sinar matahari menggunakan cermin parabola. Obor bagi sukan olimpik dibawa dengan pelbagai cara melalui unta, bot, ski, anjing dan banyak lagi. Malah di bawah laut, di angkasa lepas hingga ke puncak Gunung Everest.

RENANGAN  OBOR PULAU PINANG

Selalu kita lihat hanya larian obor, tapi pada sukan SEA kali ini, satu cara menarik telah dilakukan iaitu berenang obor. Acara ini telah dilakukan oleh sepasukan Polis Marin di Pulau Pinang. Obor Sukan SEA ke-29  tiba Markas Pasukan Polis Marin, di Georgetown pada 3 Julai 2017. Seramai 800 peserta menyertai larian obor di Pulau Pinang yang juga negeri kesembilan dilalui Obor Sukan SEA ke-29 selepas Sarawak. Anda boleh lihat video renangan membawa obor sukan SEA 2017 dibawah :

Permulaan larian di negeri ini bermula dengan pelepasan enam perenang yang diketuai Inspektor Adni Shaari membawa obor merentasi Pantai Jerejak bermula 6.30 pagi dan tiba di Jeti Markas Pasukan Polis Marin Batu Uban di Georgetown kira-kira 8.45 pagi. Hampir dua jam mereka berenang merentasi laut yang memisahkan antara bahagian pulau dan semenanjung. Sejurus tiba di Markas pasukan Polis Marin, Larian Obor KL 2017 disambut oleh Komandan Pasukan Polis Marin Asisten Komisioner Rosman Ismail sebelum diserahkan kepada Pegawai Kemajuan Negeri Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang Syed Shaari Syed Abdullah.

Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 Mohd Faiz Subri bergambar bersama Pasukan Tentera 2 Divisyen sambil memegang Obor Sukan SEA semasa mengambil bahagian dalam Larian Obor Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Bayan Baru, Pulau Pinang

Larian Obor KL2017 peringkat Pulau Pinang kemudian diteruskan dengan acara pelepasan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye. Larian Obor KL2017 dijadual berakhir di Kuala Lumpur pada 19 Ogos, menandakan bermulanya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur ke-29. Mungkin dimasa akan datang sekiranya kita sekali lagi menjadi tuan rumah Sukan SEA, acara berenang membawa obor boleh kita lakukan dari Sarawak ke Johor. Pasti boleh, Malaysia boleh.

BANGKIT BERSAMA!


Share Tweet


Paparkan Komen