Polis Jerman Tahan Suspek Pengebom Bas Dortmund, Disyaki Anggota Kumpulan Militan

Eikrem 3 bulan yang lalu

Pihak polis Jerman semalam telah menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam insiden pengeboman bas yang membawa anggota pasukan Borussia Dortmund yang dalam perjalanan ke stadium untuk bertemu Monaco, dalam pertemuan suku akhir Liga Juara-juara.

Bas Dortmund diiringi polis ketika menuju ke stadium untuk perlawanan ulangan menentang Monaco

Menurut anggota polis, dua suspek tersebut disyaki mempunyai kaitan dengan jaringan militan Islam. Pada masa yang sama, pihak pendakwaraya awam persekutuan juga telah mengesahkan bahawa bahan letupan yang digunakan tersebut mengandungi serpihan logam.

Jurucakap kepada pasukan pendakwaraya awam, Frauke Koehler berkata, serpihan bom daripada alat letupan yang digunakan ketika kejadian telah terpelanting sejauh 100 meter, dan mengandungi pin logam yang telah menembusi bahagian kepala sebuah kerusi di dalam bas tersebut.

Tiga surat telah ditemui di tempat kejadian dan penyiasat mengaitkan serangan tersebut dengan pelampau Islam. Awal pagi semalam, media Jerman mengatakan bahawa salah satu surat yang ditemui di lokasi mengandungi ayat yang berbunyi “Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.”

Polis juga mengesahkan bahawa surat tersebut mengandungi satu permintaan supaya pesawat perang German Tornado dikeluarkan dari Syria dan kem tentera Amerika Syarikat di Ramstein ditutup.

Marc Bartra bakal berehat selama tujuh minggu.

Satu lagi surat yang ditemui telah dimuat naik ke atas talian oleh pihak yang mengaku bertanggung-jawab, hadir daripada satu kumpulan berhaluan kiri kumpulan pelampau. Setelah siasatan dilakukan, pihak polis meragui kebenaran surat tersebut.

Bartra Duduk Di Belakang Di Kawasan Yang Terjejas Kerana Letupan

Dalam kejadian tersebut juga, hanya Marc Bartra sahaja yang mengalami kecederaan di bahagian lengan dan tangan. Bartra telah melalui satu pembedahan untuk membuang sisa-sisa serpihan, dan kini berada dalam keadaan stabil dan selamat.

Sumber : rt.com