Pochettino Puji Aksi Matang Pemain Spurs Selepas Bangkit Dari Ketinggalan

Izuddin oleh Izuddin 1 tahun yang lalu

Pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino berkata peluang untuk pasukannya mara ke peringkat seterusnya kini terbuka dengan luas selepas berjaya mencatatkan keputusan cemerlang mengikat Juventus 2-2 di gelanggang lawan pada perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi.

Spurs pada mulanya ketinggalan 2-0 dengan penyerang antarabangsa Argentina, Gonzalo Higuain menjaringkan kedua-dua gol tersebut.

Seperti bapa yang bangga melihat anaknya meraih 10A dalam SPM

Selepas rehat separuh masa, Spurs mula bangkit dan mereka berjaya menjaringkan gol pertama mereka melalui Harry Kane sebelum Christian Eriksen menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma lewat perlawanan.

Tottenham bakal bermain perlawanan timbal balik di Wembley dengan kelebihan dua gol di tempat lawan. Perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung 3 minggu dari sekarang.

Dalam sidang media selepas tamat perlawanan, Pochettino memuji karakter dan kematangan yang ditunjukkan pemainnya dalam perlawanan tersebut. Beliau berkata tidak banyak pasukan mampu bertandang ke Turin dan mendominasi Juventus seperti apa yang telah dilakukan Spurs.

"Saya sangat gembira kerana perhitungan ini masih terbuka buat kami. Kami akan bermain perlawanan timbal balik di Wembley dan ia bakal menjadi perlawanan yang fantastik dengan suasana yang hebat."

Kane tenang mengayamkan Buffon

"Peminat kami pastinya gembira kerana peluang untuk Spurs mara ke peringkat seterusnya masih lagi terbuka. Hanya 90 minit sahaja yang memisahkan Spurs dengan peringkat seterusnya."

"Saya berasa sangat bangga. Kami berjaya menunjukkan perwatakan yang hebat menentang pasukan yang telah beraksi dalam 2 perlawanan final sepanjang 3 tahun yang lepas."

"Kami merupakan pasukan muda yang bermain dalam pertandingan ini, dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemain kerana menampilkan persembahan sebegitu rupa."

"Kami ada berbincang mengenai pasukan ini semakin bertambah matang. Kami mempunyai pengalaman tetapi tidak sebanyak Juventus. Kami memulakan perlawanan ini dengan agak buruk tetapi kami berjaya menunjukkan yang pasukan ini sudah matang untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara."

Pochettino turut mengakui beliau risau dengan peluang pasukannya pada permulaan perlawanan selepas melihat Higuain menjaringkan dua gol.

"Perasaan saya ketika itu sangat risau. Saya tidak pernah menyangka kami akan melepaskan dua gol awal. Mungkin jaringan pertama Higuain adalah offside, tetapi saya tidak mahu merungut mengenai perkara tersebut."

"Kami memulakan perlawanan dengan tidak berhati-hati. Pasukan ini perlu lebih kuat selepas ini untuk mara lebih jauh."




Paparkan Komen