The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Piala Thomas : Malaysia Mara Ke Suku Akhir Selaku Juara Kumpulan C

Encik Bakri pada May 18, 2016

KUNSHAN: Malaysia muncul juara Kumpulan C kempen Piala Thomas selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam aksi terakhir di Pusat Sukan Kunshan. Ketiga-tiga mata skuad lelaki negara diraih menerusi acara perseorangan dengan Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Chong Wei Feng berjaya mengatasi lawan masing-masing.

Bagaimanapun, percaturan skuad negara dalam acara beregu yang memecahkan gandingan sedia ada selepas sedar dengan kekuatan dimiliki beregu Korea tidak menjadi apabila Goh V Shem-Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong gagal menyumbang mata. Apa pun, kemenangan itu menyaksikan Malaysia bakal diletakkan sebagai pasukan pilihan pada undian suku akhir yang akan berlangsung malam esok – sejurus tamat aksi terakhir kumpulan untuk sesi malam.

Terdahulu, Chong Wei tidak berdepan masalah untuk mengetepikan cabaran Son Wan Ho 21-18, 21-15 bagi menyumbang mata pertama tetapi Korea berjaya menyamakan kedudukan hasil kemenangan pasangan nombor satu dunia Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong yang menewaskan V Shem-Kien Keat 21-16, 21-11. Iskandar kembali meletakkan Malaysia di depan apabila apabila melakar kejutan menewaskan Lee Dong Keun 21-17, 21-15

“Hari ini tahap keyakinan saya memang tinggi kerana saya fikir tidak rugi apa pun jika kalah memandangkan ranking Dong Keun lebih tinggi berbanding saya dan dia menang ke atas saya dalam dua perlawanan sebelum ini. Jadi, dia yang lebih tertekan.

“Saya dapat menguasai perlawanan dan kejayaan menyumbangkan mata buat skuad negara memang buat saya gembira,” kata Iskandar.

Boon Heong-Wee Kiong gagal memberikan kemenangan awal kepada skuad negara apabila tewas di tangan Kim Gi Jung-Kim Sa Rang 14-21, 22-24 namun Wei Feng membuktikan pemilihannya dalam pasukan kali ini tepat apabila menjadi wira dengan menyumbang mata kemenangan hasil kemenangan ke atas Jin Jeon Hyeok 21-16, 21-16.

Sumber : Berita Harian