The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Piala Malaysia 2016 – Keputusan Suku Akhir Pertama

Encik Bakri pada August 29, 2016

Berikut keputusan perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia yang berlangsung, malam ini.

Kelantan 1-2 PDRM
Negeri Sembilan 0-0 Kedah
T-Team 1 -1 FELDA United
PKNS FC 3-4 Selangor

PKNS FC 3-4 Selangor

Walaupun dianggap ‘adik’ kepada Selangor, namun PKNS FC langsung tidak memberi laluan mudah kepada juara bertahan apabila memaksa mereka berhem­pas pulas sebelum tewas 3-4 dalam suku akhir pertama Piala Malaysia yang berlangsung de­ngan penuh mendebarkan di Stadium Shah Alam, hari ini.

Selangor, juara 33 kali bermula positif apabila mendahului seawal minit kelima menerusi pemain pertahanan dari Nigeria, Ugo Ukah yang menanduk bola lantun hasil sepakan percuma Mohd. Azmi Muslim yang ter­kena palang.

Penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri menggandakan kedudukan 2-0 selepas rembatannya gagal diselamatkan penjaga gol PKNS, Md. Norhaziq Md. Aris pada minit ke-25, namun Juan Corbelli berjaya merapatkan kedudukan selang tiga minit kemudian.

Bersambung babak kedua, pemain sayap R. Gopinathan menjarakkan kedudukan Selangor selepas remba­tannya menembusi gawang pada minit ke-52.
Semangat juang anak-anak buah E. Elavarasan bagaimanapun wajar diberi pujian apabila mereka berjaya mempamer kebangkitan dengan meledak dua gol menerusi Gonzalo Soto dan Gabriel Guerra pada minit ke-60 serta minit ke-73 untuk mengikat Red Giants.

Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan seri 3-3, penyerang gantian, Mauro Olivi meledak gol kemenangan Selangor, lima minit menuju tamat permainan.

Kelantan 1-2 PDRM

Sementara itu, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri apabila tumpas 1-2 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang menutup permainan de­ngan sembilan pemain.

Biarpun berdepan lautan merah di Kota Bharu, The Cops langsung tidak gentar, sebalik­nya membuka jaringan seawal minit keempat menerusi pemain import dari Singapura, Safuwan Baharudin.

Pemain veteran, Indra Putra Mahyuddin berjaya me­nyamakan kedudukan 11 minit kemudian, namun penyerang kelahiran Brazil, Guilherme de Paula memastikan kemena­ngan penting dibawa pulang PDRM menerusi gol lewat permainan.

The Cops kemudiannya terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas dua tonggak mereka, K. Rueben dan De Paula dliayangkan kad merah.

T-Team 1 -1 FELDA United

Pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pula menyaksikan Terengganu FC II (TFC II) terikat 1-1 de­ngan Felda United. Tuan rumah bermula baik dengan mendahului permainan seawal minit kedua menerusi Muhamad Safawi Rasid.

Namun, penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe menyamakan kedudukan buat Felda pada minit ke-51.

Negeri Sembilan 0-0 Kedah

Dalam aksi di Stadium Paroi, naib juara tahun lalu Kedah dan Negeri Sembilan buntu untuk mencari jaringan apabila sekadar seri 0-0.

Sumber :Utusan Online