The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Peter Vellapan Mahu FAM Dedahkan Kandungan Pendrive Kepada Umum

Encik Bakri pada September 7, 2016

Tokoh bola sepak negara, Datuk Peter Velappan percaya, isu pendrive kontroversi yang melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebenarnya belum berakhir sekalipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengesahkan ia tidak mempunyai sebarang unsur rasuah.

Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu sebaliknya berkata, kandungan pendrive tersebut perlu didedahkan kepada umum seandainya penambahbaikan mahu dilakukan oleh FAM demi pembangunan bola sepak.

Malah, Velappan, 80, juga menegaskan, fokus utama FAM bukan kepada mencari siapa dalang yang terlibat membocorkan maklumat kerana menganggap perbuatan itu bukan satu kesalahan, tetapi mereka harus mencari jalan bagaimana hendak memperbaiki kelemahan seperti yang disarankan SPRM.

“Laporan tersebut sepatutnya menjadi tatapan umum sebab ia kepunyaan rakyat Malaysia. Bola sepak adalah agenda nasional, mereka telah memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan.

“Benda (laporan) ini tidak boleh dirahsiakan, sepatutnya ia perlu dikongsikan bersama agar kita dapat mencari di mana kelemahannya, sekali gus memperbaiki kualiti bola sepak Malaysia.

“Bagi saya, siapa pembocor maklumat itu pun tidak perlu dikenakan hukuman. Sebab ia hanya isu nasional. Tidak menjadi masalah. Saya rasa AFC mahupun FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) juga tidak memandang isu sebegini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, misteri isi kandungan pendrive terjawab setelah SPRM mengesahkan bahawa laporan dalam alat peranti tersebut bebas daripada unsur rasuah melibatkan FAM.

Jumaat lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin me­n­­­ye­rahkan pendrive beserta senas­khah salinan kandungan laporan setebal 279 muka surat kepada Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Khairy berkata, pendrive serta naskhah yang diserahkan itu merupakan bahan asal seperti mana yang diterimanya daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 26 Ogos lepas.
Mengulas berhubung penyelesaian isu pendrive tersebut, Velappan yang juga pengurus pasukan dan jurulatih sewaktu membawa Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 Munich berkata, beliau agak terkejut dengan hasil siasatan SPRM.

“Pertama sekali saya agak terkejut sebab sebelum ini terdengar pendrive ini mengandungi korupsi FAM selama 30 tahun.

“Namun sebaliknya…sekadar lebih kepada laporan teknikal FAM, kejurulatihan, program pembangunan dan sebagainya.

“Kalau boleh, saya sendiri nak tengok salinan dokumen dan menelitinya,” katanya.

Sumber : Utusan Online