The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Persamaan Antara Bola Sepak England dan Malaysia

Eikrem pada June 28, 2016

Seperti yang dijangka England tersungkur di tangan Iceland – satu pasukan yang liga tempatannya hanya dimainkan selama 3-4 bulan setahun dan tanpa pelaburan berbillion Pound Sterling!

Sebenarnya, Malaysia dan England ada persamaannya dari segi bola sepak. Lagipun England kan kiblat negara Malaysia, jadi ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.

Berikut adalah antara persamaan antara bola sepak England dan Malaysia.

Liga bola sepak yang ‘paling megah’ di rantaunya.

Liga Perdana Inggeris bukan setakat paling megah di rantau eropah, malah di serata dunia dengan hak penyiaran yang bernilai berbillion Pound Sterling, di samping mampu menarik pemain terbaik di dunia untuk bermain di sana sehinggakan pemain tempatan terpaksa bermain di liga bawahan untuk mencari rezeki.

Di Malaysia pula apa kurangnya. Berjuta ringgit dipam ke kantung persatuan bola sepak demi menarik pemain-pemain yang ada nama bermain di Malaysia dan lebih teruk lagi berjuta ringgit dibelanjakan untuk membayar pemain import yang mengisi posisi penyerang, pemain tengah dan pertahanan sehinggakan pemain tempatan tidak mahu dan tidak mampu bersaing mendapatkan tempat.

Gaji pemain yang mahal dan mengarut – membuatkan pemain naik lemak

Gambar : business.asiaone.com
Gambar : business.asiaone.com

Di England, gaji pemain di liga mereka amat mahal dan sukar untuk ditandingi oleh kelab lain di Eropah melainkan kelab-kelab gergasi seperti Real Madrid, Barcelona dan Paris Saint German. Malah pada tahun 2014, nilai keseluruhan gaji pemain Queen’s Park Rangers-yang tersingkir ke liga kejuaraan pada musim tersebut, hampir sepuluh kali ganda lebih mahal dari jumlah keseluruhan gaji pemain Atletico Madrid yang bermain di perlawanan akhir UEFA Champions League 2014.

Pemain-pemain Malaysia juga begitu. Ada pemain tempatan yang dibayar sehingga RM100,000 walaupun kualitinya tidaklah melayakkan pemain tersebut bermain walau di liga Trinidad dan Tobago! Berbanding Liga Thailand yang lebih tinggi kualitinya,  purata gaji pemain Malaysia adalah sekitar Rm50,000 sebulan dan Thailand hanya RM30,000 sebulan. Hampir dua kali ganda!

Pemain terlalu manja

Disebabkan gaji yang terlalu mahal, pemain kedua-dua negara, England dan Malaysia berasa sangat selesa dan tidak mahu mencabar diri bermain di liga luar negara yang lebih kompetitif kerana gaji di luar negara tidak mampu menandingi jumlah yang dibayar di tanah air.

Pada tahun 2010, seorang pemain Malaysia yang baru sahaja menjuarai Piala AFF mendapat tawaran trial untuk bermain di Liga Denmark. Ya Liga Denmark! Walaupun kualitinya tidak setanding La Liga, namun pastinya budaya di sana jauh lebih baik berbanding Liga Malaysia dan akhirnya pemain tersebut kekal bermain di Malaysia dengan memberikan alasan bahawa mahu membangunkan Liga Malaysia walhal dia sebenarnya mendapat tawaran RM50,000 sebulan dari sebuah pasukan!

Selain David Platt, David Bekham dan Steve McManaman, siapa pemain England yang bermain di liga-liga utama eropah dalam era bola sepak moden? Tak ramai bukan?

FA yang terlalu angkuh

Jurulatih terbaik yang mampu dibayar England? Getty Image

The FA mempunyai pilihan untuk mendapatkan jurulatih terbaik dunia dari mana-mana negara dek faktor kewangan yang gagah dan sebaliknya mereka memilih Roy Hodgson – jurulatih yang tidak mempunyai apa-apa pencapaian membanggakan selain dari membawa Fulham ke final Piala UEFA suatu ketika dahulu.

FAM pula memilih Ong Kim Swee yang mempunyai rekod satu pingat emas sukan SEA pada tahun 2011, dan tidak pernah bertugas sebagai jurulatih pasukan di mana-mana liga, kecuali bersama Harimau Muda. Produk tempatan ada kualiti katanya.

Pembangunan akar umbi – satu mimpi ngeri

Pemain-pemain muda di England dan Malaysia amat sukar untuk mendapat tempat di liga tertinggi negara masing-masing. Mungkin tahun ini England sedikit berbeza dengan tampilnya pemain muda seperti Harry Kane, Marcus Rashford dan Delle Ali.

Kalau di Malaysia? Pemain muda hanya dipandang enteng dan pemain yang mempunyai nama dilebihkan untuk diambil bermain walaupun sudah berumur 37 tahun!

England lebih maju ke hadapan dengan akademi yang bertaraf dunia tetapi di Malaysia, pasukan mana yang mempunyai akademi yang membanggakan? Kedah pernah mempunyai Kenari Kids yang diilhamkan arwah Dato Ahmad Basri Akil, tetapi berkubur bersama jasad allahyarham. Pasukan lain? JDT baru mahu mulakan pembangunan akar umbi setelah beralih tampuk pimpinan setelah hampir 4 tahun. .

Pemilihan pemain yang tidak berdasarkan prestasi semasa

Mark Noble - The one that got away? Getty Image
Mark Noble – The one that got away?
Getty Image

Jack Wilshere, Rahim Sterling dan Daniel Sturridge tidaklah semegah prestasi lama mereka di liga tambahan pula Wilshere hanya bermain beberapa perlawanan bersama Arsenal dipilih berbanding pemain West Ham, Mark Noble yang lebih cemerlang musim ini. Mungkin kerana Noble bermain bersama West Ham, pasukan yang tidak gah di mata dunia maka beliau tidak terpilih.

Kem Malaysia pula membariskan Junior Eldstal dan Fakri Saarani. Ketika bertemu Myanmar jelas Junior tidak cergas sepenuhnya namun mungkin kerana prestasinya tahun lepas yang agak baik maka jasanya dikenang dan diambil bermain menyarung jersi Harimau Malaya? Pasukan Felda United cemerlang berada di dua tangga teratas liga sepanjang musim namun hanya Christie Jayaseelan yang dipanggil?

Kesimpulan

Kalau nak dicatitkan banyak lagi persamaan antara bola sepak Malaysia dan England tapi cukuplah sekadar beberapa point untuk diutarakan. Untuk mengubah bola sepak Malaysia dalam jangka masa pendek adalah amat mustahil, namun untuk jangka masa panjang, anda yang membaca artikel ini dialu-alukan untuk mula menimba ilmu bola sepak dan curahkan kepada generasi muda seawal usia 4-5 tahun.

Berhentilah bola sepak Malaysia berkiblatkan England, cukuplah politik sahaja. Contohilah Sepanyol, Itali, Jerman, Belanda, Belgium dan Iceland untuk melihat jersi jalur hitam kuning bermain di Piala Dunia 2026 dan 2030!