The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Perlis Sah Ke Liga Perdana 2016

Eikrem pada August 18, 2015

Perlis mengesahkan satu slot Liga Perdana 2016 milik mereka apabila menewaskan pencabar terdekat di tangga kedua Kumpulan A Liga FAM 2015, Real Mulia FC 2-0 di Stadium Tuanku Syed Putra, petang kelmarin.

Biarpun  berbaki  satu perlawanan, kedudukan semasa Singa Utara ini yang meninggalkan Real Mulia FC dengan jurang sembilan mata sudah cukup untuk membawa pasukan kendalian bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah mara ke final untuk berdepan juara Kumpulan B pada 30 Ogos ini.

11053235_948979708448587_7529652870476479744_n
Permata bola sepak Perlis, Yusri Che Lah, mengemudi pasukan Singa Utara kembali ke Liga Perdana

Gol Mohd Syukur Azmi pada minit ke-41 dan Mohd Syafiq pada minit ke-87 nyata menggembirakan penyokong setia Perlis yang dahagakan kejayaan dan kembali melihat pasukan kesayangan mereka kembali bersaing di peringkat liga yang lebih kompetitif.

Baca juga : Syarat penubuhan kelab bola sepak di Malaysia

Yusri antara tonggak penting yang berjaya kembali mengangkat martabat bekas juara Piala Malaysia 2004 dan 2006 menyifatkan kejayaan berkenaan adalah hasil daripada kerjasama berpasukan melibatkan semua pegawai dan pemain Perlis.

Menurutnya,  beliau berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kerana memberikan kepercayaan kepadanya  untuk mengendalikan skuad muda Singa Utara musim 2015.

“Terima kasih kepada semua pemain dan pegawai PFA terutamanya presiden, Datuk Rozabil Abdul Rahman termasuk penyokong Singa Utara yang tidak pernah putus memberi sokongan kepada kami.

“Perjalanan pasukan ini masih jauh dan jika saya masih diberikan kepercayaan pada musim 2016, saya akan cuba memberikan yang terbaik,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber : Sinar Harian