Perlawanan Korea Utara Menentang Malaysia Dikekalkan di Pyongyang

Eikrem oleh Eikrem 6 bulan yang lalu

Pasukan Harimau Malaysia dijadualkan bakal terbang ke Pyongyang, Korea Utara untuk perlawanan pembukaan kumpulan B Kelayakakan Piala Asia 2019 pada 28 Mac nanti, dengan perlawanan bakal berlangsung di Stadium Kim Il Sung.

Sebelum ini timbul keraguan dan kerisauan berkenaan keselamatan pemain Malaysia yang bakal ke sana memandangkan berlaku pembunuhan terhadap abang kepada pemimpi Korea Utara, Kim Jong Un, iaitu Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Februari 2017.

Pasukan Korea Utara ketika bertemu Brazil dalam Piala Dunia 2010

Sejak itu juga, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sedikit tegang di mana duta Malaysia ke Korea Utara telah dipanggil pulang dan yang terbaru, duta Korea Utara pula diusir keluar dari Malaysia.

Disebabkan kejadian tidak diingini ini berlaku, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk sama ada menunda perlawanan atau mengubah lokasi perlawanan ke satu venue yang neutral.

Walaubagaimanapun, Menteri Luar Datuk Anifah Aman telah memberi satu jaminan bahawa Pyongyang masih selamat untuk dikunjungi oleh rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya untuk masa ini.

Perkara ini juga telah disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang berkata,"FAM telah membuat rayuan untuk membawa perlawanan ke gelanggang neutral. Tetapi kita telah terima satu surat daripada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman yang mengatakan bahawa Pyongyang masih selamat, jadi kemungkinan besar pasukan negara akan ke Pyongyang nanti.

Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat sebarang perubahan keputusan, Wisma Putra akan memberitahu kami di FAM. Tetapi buat masa ini, keputusan kekal," Hamidin memberitahu Utusan.




Paparkan Komen