Perbezaan Corak Permainan di Liga-liga Utama Eropah

Eikrem 4 bulan yang lalu

Benua eropah boleh dikatakan sebagai pusat ketamadunan bola sepak dunia dengan liga-liga yang kompetitif dan limpahan pemain dari segenap penjuru dunia yang mempertaruhkan bakat dan keringat demi mendapatkan gelaran pemain terbaik dunia, di samping gaji yang lumayan. Liga Perdana Inggeris, La Liga, Serie A, Bundesliga dan Ligue 1 adalah lima liga bola sepak professional yang diangkat sebagai liga yang paling berprestij di eropah.

Lima liga terbaik eropah

Walaupun liga-liga di atas dimainkan dengan mengikut satu undang-undang, namun menariknya cara permainan dimainkan boleh dikatakan berbeza mengikut tradisi dan citarasa rakyat di negara terlibat. Maka, di atas rasa tanggungjawab sosial untuk melahirkan peminat sukan yang berilmu dan berwibawa, maka kami kongsikan perbezaan DNA bola  sepak di lima liga yang disebutkan di atas.

La Liga – Sepanyol

La Liga merupakan liga yang menduduki tangga teratas sebagai liga terbaik di eropah. Karakteristik utama yang menterjemahkan bola sepak negara Andalusia ini ialah teknik. Setiap pasukan yang bermain di La Liga amat menitikberatkan kualiti teknikal pemain, sama ada pemain yang sudah dewasa atau di peringkat akar umbi.

Dengan kata lain, bola sepak Sepanyol boleh dikatakan sebagai tempat yang paling sempurna bagi mereka yang ingin menambah kualiti teknik dalam mengawal bola.

Video di atas menunjukkan kualiti teknik dan ketenangan pemain Sepanyol mengawal bola.

Secara statistiknya, La Liga merekodkan jumlah hantaran lintang yang paling kurang berjaya dalam lima liga teratas eropah ini., dan ini adalah petunjuk terbaik bahawa pasukan dalam La Liga lebih sukakan taktikal yang rumit yang memeningkan pihak lawan, berbanding hantar bola kepada pemain sayap dan lakukan crossing sambil berdoa penyerang akan berjaya menanduk bola ke gawang lawan. Kau tekalah negara mana main macam ni.

Kejayaan La Roja muncul juara eropah dua kali dan Piala Dunia pada 2010 juga telah membuktikan kepentingan kualiti teknikal dalam bola sepak.

Disebabkan ini jugalah kita dapat saksikan bagaimana kelab-kelab dari Sepanyol mendominasi Liga Juara-juara dan Liga Europa dalam dekad ini, dengan tiga kejuaraan dalam tiga kejohanan mutakhir. Lebih menarik lagi, dua pasukan dari Sepanyol bertemu sesama mereka dalam perlawanan akhir pada musim 2013-2014 dan juga 2015-2016.

Pada musim ini, wakil Sepanyol berpeluang cerah untuk mendominasi saingan suku akhir.

Bundesliga- Jerman

Kalau DNA bola sepak Sepanyol ialah teknik, Jerman pula lebih dikenali dengan disiplin pergerakan, semangat berpasukan dan efisyen. Pasukan Jerman selalu akan bekerja keras dan menunjukkan betapa efektifnya mereka dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam kerja mereka di padang.

Kalau kita tonton permainan pasukan dalam Bundesliga, kita selalunya akan melihat bagaimana pergerakan pemain bagaikan sudah ditanda ke mana larian mereka, ke mana hantaran mereka dan tidak melampau kalau dikatakan mereka bermain seperti robot!

Jerman menjuarai Piala Dunia 2014

Meskipun Bayern Munich dilihat dengan senang hati menguasai Bundesliga selama beberapa tahum dengan enam kejuaraan dalam tempoh 10 tahun, tetapi majoriti kelab Jerman yang lain juga mempunyai model pentadbiran yang terbaik di seluruh eropah. Ditunjangi kekuatan ekonomi negara yang kekal mapan, mereka menjaga pemain dan penyokong mereka dengan begitu bagus sekali. Lagipun, dengan semangat bangsa Aryan yang ada dalam jiwa mereka, mereka selalu mahu menjadi yang terbaik di dunia.

Disebabkan DNA mereka yang kemas dan kemin, Jerman telah melahirkan ramai pemain kelas dunia seperti Thomas Mueller, Toni Kroos, Bastian Schweinsteiger dan Philip Lahm, dan kejayaan terbesar mereka dapat dilihat dengan kejayaan pasukan kebangsaan Jerman memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil.

Serie A – Itali

Itali dikenali sebagai negara yang terbaik bagi pemain bola sepak di seluruh dunia terutamanya pada era 1990-an. Bola sepak Itali dimainkan berasaskan kepintaran, pertahanan yang kukuh dan cukup efisyen dalam menyudahkan peluang di bahagian serangan. Pasukan Serie A boleh dikatakan tidak kreatif tetapi mereka mampu untuk bertahan bagaikan kota Rom di zaman dahulu.

Dua pertahanan terbaik yang pernah dilahirkan Serie A

Kalau nak diikutkan, Serie A merupakan antara liga yang menyaksikan jumlah jaringan antara yang terendah di seluruh eropah, dengan pasukan lebih suka mempertahankan gol daripada dibolosi berbanding melakukan serangan menggila ke kubu pihak lawan. Disebabkan kualiti pertahanan dalam Serie A, penyerang mereka dilihat lebih tajam berbanding penyerang lain.

Ketika Serie A dimainkan oleh 18 pasukan, liga ini dilihat sangat kompetitif dengan empat pasukan terbawah liga akan diturunkan ke divisyen bawah dan tujuh pasukan teratas berpeluang untuk bertanding di peringkat eropah. Walaubagaimanapun sejak 2003-04, dua pasukan ditambah menjadikan 20 pasukan bertanding, ditambah pula skandal Calciopoli yang telah melibatkan beberapa pasukan Serie A telah menjatuhkan prestasi pasukan di liga ini di peringkat benua.

Liga Perdana – England

Liga Perdana Inggeris boleh dikatakan sebagai liga yang paling diminati di seluruh dunia dan merupakan liga yang paling kaya dengan royalti penyiaran bernilai berbilion ringgit. DNA utama bola sepak Inggeris ialah kepantasan, kekerasan dan juga kompetitif. Disebabkan tiga faktor ini, ramai umat manusia di seluruh dunia tertarik untuk mengikuti liga ini.

Video di atas menunjukkan serangan balas yang pantas dan gila pasukan Watford ke atas Leicester City suatu ketika dahulu.

Kerap kali kita lihat pasukan Inggeris saling berbalas serangan dan masa yang diambil untuk pergerakan bola dari gol sendiri hingga ke gol lawan cukup pantas sekali.

Kekuatan fizikal pemain cukup dititik beratkan dalam liga ini dan sebab itulah beberapa pemain yang mencipta nama di liga lain tidak dapat beraksi cemerlang ketika bermain di England, terutamanya menentang Stoke City – pasukan yang paling fizikal dalam liga. Mungkin ini juga punca kenapa Pep Guardiola dan Jurgen Klopp gagal menterjemah kehebatan mereka di La Liga dan Bundesliga kepada pasukan masing-masing.

Namun, dengan kebanjiran jurulatih yang bukan Inggeris sedikit sebanyak telah menghilangkan DNA bola sepak Inggeris dan banyak digantikan dengan idea permainan negara lain. Liverpool lebih banyak fokus kepada gegenpressing, Chelsea pula bermain ala-ala Cantenacio, tetapi Arsenal masih lagi di takuk lama.

Dekad awal 2000 menyaksikan pasukan Inggeris mendominasi cabaran UCL namun kini kuasa mereka telah dirampas oleh pasukan Sepanyol.

Ligue 1 – Perancis

Berbanding empat liga di atas, bola sepak Perancis tidak mempunyai identiti yang tetap, bak kata Wenger, hal ini mungkin disebabkan limpahan imigran di Perancis dari benua Afrika terutamanya.

Kejayaan terbesar bola sepak Perancis

Tetapi, secara dasarnya fizikal pemain liga Perancis tidaklah sekuat pemain liga Inggeris, namun mereka lebih bagus dari segi teknik. Walaubagaimanapun, menuju ke hujung dekan 1990-an, perbuhan dapat dilihat dengan pemain seperti Zinedine Zidane, Emmanuel Petit, Patrick Vieira, Robert Pires dan Thierry Henry – mereka mempunyai fizikal yang kuat ditambah pula dengan kualiti teknik mereka yang bagus.

Dari segi kewangan pula , Ligue 1 boleh dikatakan liga yang paling tidak kaya berbanding empat liga di atas, kerana orang ramai di luar Perancis kurang berminat untuk membeli siaran liga mereka.

Di peringkat eropah pula, tiada pasukan Perancis yang pernah layak ke perlawanan akhir UCL sejak musim 1992-93, sebelum rekod ini dipecahkan oleh AS Monaco pada musim 2003-04. Hari ini hanya PSG dilihat mampu bersaing dengan pasukan lain di eropah, tetapi masih lagi gagal untuk muncul juara.

Kesimpulan

Jika kita kaitkan dengan bola sepak Malaysia, pemain kita mempunyai fizikal yang tidak sekuat dan setegap pemain England tetapi masih cuba bermain seperti mereka. Kedah di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe akhir-akhir ini telah menunjukkan cara sepatutnya bola sepak Malaysia dimainkan.

Ada baiknya jika kiblat bola sepak kita mula diubah ke negara-negara yang mementingkan kualiti teknik seperti Sepanyol, Itali dan Jerman. Antara cara terbaik untuk menimba ilmu daripada mereka ialah dengan menjalinkan hubungan kerjasama antara pasukan-pasukan liga Malaysia dengan pasukan-pasukan liga yang disebutkan di atas.

Tapi tu lah. Orang yang pegang bola di Malaysia ni tak suka guna otak.