The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Perak, Sarawak, Selangor dan Amirul Hadi Di Denda FAM

Encik Bakri pada March 5, 2016

KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA TATATERTIB FAM PADA 4 MAC 2016

Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuaratnya pada 4 Mac 2016 (Jumaat) telah mencapai keputusan berikut:

1. Kekecohan yang berlaku di luar stadium selepas tamat perlawanan Liga Super 2016 antara pasukan Perak menentang pasukan Selangor di Stadium Ipoh, Perak pada 16 Februari 2016.

Persatuan Bolasepak Perak telah didapati bersalah kerana melanggar ‘Artikel 68 (c) Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Penganjuran perlawanan’ dibaca bersama dengan ‘Artikel 69.2 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Kegagalan mematuhi’ dan dikenakan hukuman berikut:

Didenda sebanyak RM25,000.00 dan bermain satu (1) perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri. Kesalahan ini merupakan kesalahan berulang (Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015); dan

Diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Walaubagaimanapun, Jawatankuasa telah memutuskan untuk menggunapakai ‘Artikel 35 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Penggantungan sebahagian pelaksanaan hukuman’ dimana hukuman bermain tanpa penonton untuk satu perlawanan seperti yang dinyatakan di atas adalah ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada tiadanya kesalahan yang sama.

Jika kesalahan yang sama berulang di dalam perlawanan yang melibatkan pasukan Perak yang seterusnya dalam tempoh 6 bulan berikut, maka hukuman bermain tanpa penonton tersebut akan dikuatkuasakan serta-merta terhadap perlawanan yang seterusnya di mana pasukan Perak adalah pasukan tuan rumah bagi perlawanan tersebut.

2. Tindakan penyokong pasukan Sarawak yang telah membakar mercun, melontar objek ke dalam trek dan melontar batu ke arah bas pasukan Felda United serta kereta pegawai perlawanan selepas tamat perlawanan Liga Super 2016 antara pasukan Sarawak menentang pasukan Felda United di Stadium Negeri, Kuching pada 16 Februari 2016.

Persatuan Bolasepak Sarawak telah didapati bersalah kerana melanggar ‘Artikel 70 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Tanggungjawab bagi kelakuan penonton’ & ‘Artikel 68 (c) Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Penganjuran perlawanan’ dibaca bersama dengan ‘Artikel 69.2 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Kegagalan mematuhi’ dan dikenakan hukuman berikut:

i. Didenda sebanyak RM25,000.00 dan bermain dua perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri seperti berikut:

Perlawanan Liga Super 2016, pasukan Sarawak lawan pasukan Kedah pada 12 Mac 2016 di Stadium Negeri, Kuching; dan

Perlawanan Liga Super 2016, pasukan Sarawak lawan pasukan T-Team pada 9 April 2016 di Stadium Negeri, Kuching.
ii. Diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

3. Tindakan penyokong pasukan Selangor yang telah membakar suar semasa perlawanan Piala FA 2016 antara pasukan AirAsia Allstars FC menentang pasukan Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 19 Februari 2016.

Persatuan Bolasepak Selangor telah didapati bersalah kerana melanggar ‘Artikel 70.2 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Tanggungjawab bagi kelakuan penonton’ dan dikenakan hukuman berikut:

Didenda sebanyak RM10,000.00. Kesalahan ini merupakan kesalahan berulang (Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015); dan

Diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

4. Tindakan pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Amirul Hadi Zainal berkelakuan ganas terhadap pemain UiTM FC semasa perlawanan Piala FA 2016 antara pasukan UiTM FC menentang pasukan JDT di Stadium UiTM, Shah Alam pada 19 Februari 2016.

Pemain, Mohd Amirul Hadi Zainal telah didapati bersalah kerana melanggar ‘Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Salahlaku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan’ dan dibaca bersama dengan ‘Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Perintah keluar padang’ dan dikenakan hukuman berikut:

i. Digantung daripada bermain untuk dua (2) perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik seperti berikut:

Perlawanan Piala FA 2016, JDT melawan Negeri Sembilan pada 4 Mac 2016 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin (penggantungan perlawanan secara automatik); dan
Perlawanan Liga Super 2016, PDRM lawan JDT pada 13 Mac 2016 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Pemain diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Sumber : FAM


Download aplikasi The Sukan di Google Play