The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Penyokong Pahang Label Sela­ngor Sebagai LEMBIK

Encik Bakri pada December 5, 2015

KUALA LUMPUR – PROVOKASI yang dilancarkan penyokong Pahang yang melabelkan Sela­ngor sebagai ‘lembik’ ketika kedua-dua pasukan seri 0-0 di Kuantan, Rabu lalu hanya menaikkan motivasi Red Giants apabila menerima kunjungan Tok Gajah pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, esok.

Penjaga gol Sela­ngor, yang dinobat sebagai pemain terbaik dalam perlawanan tersebut, Noraz­lan Razali menjadi tumpuan utama kritikan penyokong lawan di laman sosial apabila dilabel sebagai ‘pelakon’ kerana berpura-pura ce­dera dalam insiden melibatkan dirinya dengan Dickson Nwakaeme di ­penghujung permai­nan.

Malah, sekumpulan penyokong Tok Gajah yang menggelar diri mereka sebagai Elephant Army turut me­nyanyikan lagu ‘Selangor itu lembik’ ketika perlawanan, yang ditujukan buat penjaga gol berusia 29 tahun itu.

Norazlan, bagaimanapun enggan melayani provokasi tersebut, sebaliknya ha­nya membalas: “Saya tak ambil pusing provokasi mereka, nak tahu lembik atau tak, lihat di Shah Alam nanti.”

Kata Norazlan, provokasi penyokong adalah per­kara bia­sa buat dirinya, dan ia tidak langsung mengganggu fokusnya bagi menghadapi aksi di Stadium Shah Alam, esok.

Tambah Norazlan, Selangor akan mempamer persembahan terbaik di laman sendiri dan berusaha mendapatkan kemenangan biarpun sedar Pahang bukan pasukan yang mudah untuk ditundukkan.

“Biarkan sahaja mereka mahu kata apa, termasuk saya pandai berlakon sekali pun.

“Saya juga percaya, rakan-rakan sepasukan tidak langsung terganggu dengan provokasi penyokong lawan kerana tumpuan kami lebih terarah kepada perlawanan.

“Dalam aksi Ahad ini (esok) saya harap penyokong Selangor turun memberi semangat kepada kami mencari kemena­ngan.

“Saya juga percaya ju­rulatih (Meh­met Du­rakovic) mem­­­pu­­nyai peran­ca­ngan bagi memastikan Selangor dapat memanfa­atkan ke­lebihan ber­aksi di laman sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sementara itu, Norazlan me­ngakui Nwakaeme adalah penyerang yang perlu dirantai oleh pertahanan Selangor dalam aksi timbal balik, esok.

Katanya, Pahang mempunyai co­­rak serangan yang mampu berfungsi dengan baik melalui bantuan penye­rang dari Nigeria itu.

“Kami sudah bersedia menghadapi mereka dan dalam masa sama saya harap jentera serangan Selangor dapat bergerak dengan lebih baik,” ujarnya.

Pahang membawa misi untuk memburu kejuaraan hatrik Piala Malaysia selepas muncul juara 2013 dan 2014, manakala Selangor pula mahu merangkul gelaran berprestij itu buat kali ke-33.

sumber :

– See more at: http://m.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/red-giants-lembik-1.165683#sthash.rtreaxsb.dpuf