Penyerang Muda Ajax Patahkan Tangan Penyokong Sendiri

Eikrem 2 bulan yang lalu

Selaku peminat Liga Inggeris, Real Madrid/Barcelona dan Juventus, mungkin anda tidak kenal dengan pemain yang bernama Kasper Dolberg – penyerang Ajax Amsterdam yang berusia 19 tahun. Pada musim ini, Dolberg telah menjaringkan 23 gol dan mematahkan pergelangan tangan seorang penyokong.

Ketika sesi memanaskan badan sebelum perlawanan menentang Willem II bermula, Dolberg seperti biasa mencari rentak merembat bola ke gawang. Namun malang buat seorang penyokong, Stjin Udo, apabila salah satu sepakan Dolberg tersebut tersasar dari pintu gol dan terbang laju ke arahnya.

Udo tidak sempat mengelak dan bola tendangan Dolberg tersebut menghentam pergelangan tangannya lantas dia meraung,”Oh, sakitnya.”

“Pada separuh masa, aku pergi jumpa paramedik, dan mereka bagi aku ais,” kata Udo kepada AT5 sebagaimana yang dilaporkan goal.com.

“Tapi aku tak nak terlepas perlawanan tu sebab Ajax berpeluang muncul juara!

Kasper Dolberg – penyerang muda Ajax | Gambar : SkySports

“Selepas perlawanan tamat, aku pergi ke hospital. Mula-mula aku ingat tu calar sikit je, tapi selepas x-ray, hameekk kau..lengan aku patah di dua tempat!” kata Udo lagi.

Selepas mengetahui berita ini, Ajax telah meminta maaf dan akan memberikan sesuatu kepada Udo sebagai penghargaan dan tanda kemaafan.

“Depa cakap akan hantar sesuatu kat aku, tapi tak tahu lagi apa benda,” tambah Udo.

“Dua tiket ke perlawanan akhir pada hari Rabu? Syok juga tu, tapi aku tak rasa aku boleh bawa kereta dengan lengan berbalut ni,” katanya.

Udo juga telah memuatnaik status di Twitter meminta Dolberg tidak menendang bola ke arah penyokong ketika sesi memanaskan badan di stadium sebelum perlawanan bermula.

Agak hampa juga kami yang membaca kerana tiada caci maki terhadap Dolberg daripada Udo. Sepatutnya Udo kena mengambil inspirasi daripada rakyat Malaysia dalam hal ini.

Ajax berjaya menewaskan Willem II 3-1 dalam perlawanan tersebut, namun gagal melucutkan kejuaraan daripada Feyenoord yang juga telah menewaskan lawannya pada hari yang sama.

Pada hari Rabu ini Dolberg dijangka bakal disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk menentang Manchester United dalam perlawanan akhir Liga Europa.

Sumber berita : Goal.com