The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Penswastaan Liga Malaysia

Eikrem pada September 1, 2015

Cerita penswastaan Liga Malaysia sudah lama bermain di bibir-bibir peminat dan penggiat bola sepak di Malaysia. Rata-rata ramai yang setuju jika penswastaan liga dilaksanakan. Setelah beberapa kali ditangguhkan, akhirnya FAM dan FA negeri akhirnya mencapai kata sepakat untuk melangkah ke arah liga bola sepak swasta pada tahun 2017.

Tahun 2016 sudah memasuki bulan November dan ini bermakna hanya tinggal lagi 3 hingga 4 bulan untuk kita sampai ke penswastaan liga Malaysia di bawah kelolaan Football Malaysia LLP (andai anda tertanya-tanya berkenaan LLP sila layari laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia).

Dengan penswastaan buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak Malaysia, banyak persediaan yang perlu dilakukan, terutamanya dari pihak pasukan yang bakal bertanding.

Apakah antara persediaannya?

Pendaftaran sebagai sebuah syarikat

Kevin Ramalingam - CEO Foobtall Malaysia LLP.
Kevin Ramalingam – CEO Foobtall Malaysia LLP.

Sebagai langkah awal, setiap pasukan FA dan kelab yang bertanding wajib mendaftarkan pasukan sebagai sebuah syarikat dan mendapatkan lesen dari FMLLP. Lesen ini penting sebagai perakuan menjadi stakeholder liga Malaysia.

Stakeholder, dengan kata lain pemegang saham, akan mendapat hak untuk menentukan atau mengubah sebarang polisi yang dirasakan tidak sesuai dengan suasana bola sepak Malaysia dan yang paling penting, stakeholder berhak untuk mendapat komisen dari keuntungan hasil jualan penyiaran perlawanan.

Penaja

Air Asia pernah menaja beberapa pasukan utama Liga Malaysia
Air Asia pernah menaja beberapa pasukan utama Liga Malaysia

Jika kita kaji secara mendalam, kebanyakan FA negeri diketuai oleh menteri besar atau ketua menteri atau orang politik yang bertindak sebagai presiden. Hal ini membolehkan pasukan mendapat penajaan secara terus dari kerajaan negeri atau pusat. Untuk menepati syarat penswastaan liga, AFC atau FIFA tidak membenarkan sebarang campurtangan kerajaan terhadap liga, baik dari segi bantuan kewangan atau sekatan-sekatan tertentu.

Akan tetapi, setelah melalui proses penswastaan, kerajaan negeri masih boleh menaja atau menyara kelab bola sepak negeri masing-masing melalui syarikat atau anak syarikat milik kerajaan negeri.

Walaubagaimanapun, selaras dengan penswastaan kelab, CEO setiap kelab sepatutnya memainkan peranan yang lebih besar dalam mencari sumber tajaan kelab tanpa perlu bergantung kepada hubungan politik semata-mata.

Di England, watak seperti Roman Abramovich, Ed Woodward dan Mike Ashley sangat dikenali dan terlibat secara langsung dalam mengukuhkan kewangan kelab.

Banyak syarikat tempatan atau syarikat asing yang beroperasi di Malaysia mempunyai jenama dan kewangan yang kukuh. Kita masih belum melihat logo-logo syarikat seperti Petronas, Samsung, Honda, Toyota yang telah sekian lama mengaut keuntungan dari pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia.

Jadi inillah masanya untuk konglomerat di atas mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dengan cara menaja kelab bola sepak negara. Andai liga semi-pro Timor Leste mampu menarik Toyota sebagai penaja, apatah lagi Liga Professional bertaraf dunia seperti di Malaysia.

Rancangan kewangan

Sumber kewangan kelab dijangka akan bertambah kukuh, namun bergantung kepada tatacara perbelanjaan kelab

Memandangkan setiap kelab yang bertanding di liga Malaysia dijangka akan mendapat peningkatan kewangan dari komisen hak penyiaran dan tajaan, rancangan kewangan yang sistematik dan jitu amat-amat digalakkan.

Tambahan pula, setiap kelab perlu menghantar laporan audit yang lengkap bagi setiap tahun kewangan.  Jika terdapat laporan audit yang tidak lengkap atau mempunyai ketirisan, lesen untuk bermain di liga mungkin boleh ditarik semula dan kelab tersebut boleh digantung untuk sesekian tempoh.

Selalunya isu yang menjadi tajuk utama berita bola sepak Malaysia ialah masalah tunggakan gaji. Di era professional ini masih ada pasukan yang gagal melunaskan gaji kepada pemain mengikut kontrak yang telah dipersetujui. Hal ini kerana pasukan-pasukan berbelanja tidak mengukur baju di badan sendiri.

Sejak 2012, inflasi gaji pemain bola sepak telah berlaku sehinggakan ada pemain simpanan yang dibayar gaji RM30,000 sebulan! Kalau diikutkan gaji, pemain Malaysia jauh mendahului gaji pemain bola sepak kebangsaan Bangladesh, namun Harimau Malaya tempang apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang pasukan Asia Selatan tersebut.

Ada baiknya jika FMLLP atau kelab-kelab liga Malaysia memperkenalkan sistem gaji maksimum dan minimum seperti yang diamalkan di Major League Soccer dan Hyundai A-League. Pada masa yang sama, plan persaraan pemain bola sepak harus dilancarkan bagi menangani masalah sumber kewangan pemain bola usai mereka bersara nanti.

Baca juga : Tarikh perlawanan Piala Malaysia 2015

Jersi dan cenderamata

Harga jersi cetak rompak yang jauh lebih murah berbanding original lebih menarik miant penyokong
Harga jersi cetak rompak yang jauh lebih murah berbanding original lebih menarik miant penyokong

Jika di eropah, jersi dan replica jersi adalah hak milik kelab dan kelab membuat keuntungan melalui komisen penjualan jersi. Akan tetapi, di Malaysia, walaupun terdapat jersi replika yang dikeluarkan oleh kelab, penyokong masih membeli jersi cetak rompak yang dijual pada harga jauh lebih murah.

Contohnya:

i)  Jersi original pasukan Kelantan ialah RM80.00

ii) Jersi cetak rompak pasukan Kelantan ialah RM40.00.

Perbezaan dua kali ganda ini membuatkan peminat cenderung untuk membeli jersi cetak rompak, meskipun kualitinya tidak sehebat jersi original.

Di sini, kelab tidak akan dapat menjana keuntungan melalui jualan jersi, yang boleh dilihat sebagai sumber utama. Jadi, kelab seharusnya mencari jalan untuk mengeluarkan jersi original pada harga mampu milik dan tidak membebankan penyokong.

Kelab juga digalakkan untuk mengeluarkan cenderamata atau merchandise yang menggunakan logo kelab. Contohnya, kelab Liverpool mengeluarkan cenderamata seperti beg, kain cadar, kain selimut, tshirt dan pelbagai lagi. Harus diingat, cenderamata yang menggunakan logo kelab perlu mendapat kelulusan kelab.

Untuk merealisasikan menjana pendapatan melalui cenderamata, kelab perlu melantik lebih banyak ejen yang menjual barangan mereka, dan tidak tertakluk kepada satu dua kedai yang mempunyai hubungan dengan orang besar kelab sahaja.

Lagi pula, kelab perlu bekerjasama dengan KPDNKK untuk sentiasa memantau pasaran dan memastikan tiada barangan cetak rompak dijual. Diharapkan, semua pihak ; pembeli dan penjual, faham keperluan untuk merperdagangkan harta original sahaja.

Tonton di stadium atau di rumah

Peminat mempunyai pilihan menonton perlawanan di rumah atau stadium
Peminat mempunyai pilihan menonton perlawanan di rumah atau stadium

Memandangkan kesemua 6 perlawanan setiap minggu bakal dipertontonkan di kaca televisyen, kelab perlu merangka strategi  bagi menarik peminat ke stadium. Peminat bolasepak Malaysia memang dikenali hanya memenuhi stadium ketika pasukan disokong beraksi cemerlang dan berada di takhta teratas liga.

Ya, kelab akan mendapat komisen dari hak penyiaran, tetapi kelab juga akan menambah kantung kelab jika lebih ramai penyokong hadir ke stadium. Kelab perlu memikirkan harga tiket yang sesuai dengan kemampuan penyokong dan juga kemampuan kelab untuk membiayai kos operasi.

Kita tidak mahu liga Malaysia menjadi seperti Liga Qatar atau UAE di mana mereka mempunyai kelab-kelab yang kuat di peringkat Asia tetapi kebanyakannya bermain di stadium kosong!

Perubahan jadual liga Malaysia

Jadual bola sepak mungkin akan diubah dan sekali lagi melibatkan bulan puasa
Jadual bola sepak mungkin akan diubah dan sekali lagi melibatkan bulan puasa

Menurut FMLLP,jadual Liga Super dan Piala Malaysia mungkin akan dipanjangkan. Dengan kata lain, Liga Super mungkin hanya akan tamat pada bulan Oktober dan Piala Malaysia mungkin akan bermula seawal April atau Mei.

Pada edisi 2015, buat pertama kali Liga Malaysia dimainkan di dalam bulan puasa. Akibat dari persediaan acuh tak acuh, Kelantan tidak mempunyai venue untuk bermain di tempat sendiri setelah Stadium Sultan Muhammad ke-4 digunakan sebagai venue solat terawikh perdana pada setiap malam.

Jadi, kelab-kelab yang akan bertanding di Liga Malaysia 2016 nanti perlu bersedia kemungkinan bermain di bulan puasa sekali lagi.

Kesimpulan

Perkara-perkara di atas adalah hanya sebahagian dari persediaan yang perlu diambil oleh para penggiat bola sepak tanah air. Andai kita mahu mendabik dada dengan kehebatan pasukan bola sepak kita, langkah pertama perubahan perlu diambil adalah di pihak penggiat itu sendiri. Ini penting bagi menyemai kepercayaan para peminat untuk mula dan terus mendokong pasukan-pasukan tanah air, dan tidak lagi hanya memandang liga-liga Eropah semata-mata.

Baca juga : Kenapa JDT tidak layak secara automatik ke AFC Champions League


Download aplikasi The Sukan di Google Play