The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Penggabungan Selangor FA dan PKNS FC – Laba atau Bala?

Eikrem pada November 22, 2016

Pasukan bola sepak Selangor FA berada dalam keadaan terumbang-ambing apabila kerajaan negeri tidak meluluskan sebarang peruntukan kewangan kepada FAS sewaktu pembentangan belanjawan 2017 beberapa minggu lalu.

Apabila keadaan ini berlaku, maka kantung kewangan Selangor FA semestinya berada dalam keadaan merisaukan kerana FAS selama ini hanya bergantung kepada sumbangan daripada kerajaan negeri terkaya di Malaysia itu sahaja.

Terdapat ribuan kilang baik milik warganegara Malaysia atau multi-national company di seluruh Selangor. Apakah tiada pihak yang sudi menjengah ke syarikat-syarikat gergasi yang membuat jualan beratus juta setiap tahun untuk menaja pasukan The Red Giants?

Biarlah. Bukan isu ini yang mahu dibincangkan.

Ketika ribut melanda, timbul satu usul supaya pasukan Selangor FA dan PKNS FC digabungkan, kerana PKNS adalah syarikat kerajaan negeri dan selama ini mereka juga menyumbang kepada kewangan Selangor FA.

Jika dilihat secara terperinci, penggabungan ini bukanlah satu idea yang bagus, sekurang-kurangya tidak untuk masa sekarang. Banyak permasalahan yang bakal timbul.

Antaranya ialah seperti di bawah :

Lebihan pemain

PKNS FC mengekalkan kontrak 20 pemain daripada musim 2016 sementara dari kem Selangor, 17 pemain masih lagi mempunyai kontrak, termasuk Andik Vermansyah. Jumlah pemain yang boleh didaftarkan bersama satu-satu pasukan Liga Malaysia hanya 25 orang, dan ini bermaksud pasukan gabungan PKNS-Selangor bakal mempunyai lebihan 12 pemain.

Jadi, untuk menamatkan kontrak pemain yang sedia ada, pampasan perlu dibayar mengikut yang dipersetujui dalam kontrak dan nilai ini berkemungkinan besar lebih dari Rm400,000!

Mungkin pemain-pemain yang ‘terlebih’ ini boleh dipinjamkan ke pasukan lain, tetapi adakah kesemua pemain ini bakal mendapat pasukan?

Akhirnya, bakal ada pemain yang mempunyai kontrak, tetapi tidak dapat didaftarkan untuk Liga Malaysia.

 Lebihan pegawai

Seperti yang kita maklum, kebanyakan pegawai dan pekerja dalam pasukan Liga Malaysia adalah berasaskan kontrak dan jarang sekali yang berjawatan tetap.

Sekiranya bergabung, jawatan ketua jurulatih mungkin boleh dipersetujui. Tetapi jawatan lain?

Siapa yang bakal menjadi penolong jurulatih? Siapa yang akan terpilih sebagai pakar fisioterapi? Siapa yang bakal memegang jawatan pengurus pasukan? Siapa yang layak sebagai bookie pasukan?

Seperti dalam kes pemain, pembatalan kontrak mungkin akan berlaku, tetapi kosnya semestinya tidak rendah.

Lagi pula, akan timbul isu siapa yang bakal menguruskan pasukan ini? Adakah pegawai dari Selangor FA atau PKNS FC? Apa reaksi orang politik dalam Selangor FA sekiranya mereka tidak dapat memegang jawatan dalam pasukan?

Bagaimana nasib Red Giants Sdn. Bhd.?

Pasukan manakah yang bakal menjadi pasukan tunjang?

Ini adalah persoalan yang pertama sepatutnya dilontarkan. Pasukan yang manakah yang bakal menjadi tuas kepada penggabungan ini?

PKNS FC pastinya mahukan hak sebagai ketua kerana mereka adalah penyumbang kewangan, manakala Selangor pula akan menuntut hak sebagai ‘abang’.

Sekiranya bergabung, apakah nama yang bakal digunakan? Adakah Selangor FC? Adakah PKNS FC? Adakah PKNS-Selangor FC? Atau mungkin Seksyen 7 United atau Padang Jawa City FC?

Siapa Pengganti PKNS FC/Selangor FA di Liga Super?

Memandangkan kedua-dua pasukan bakal bermain di Liga Super, maka Liga Super bakal kekurangan satu pasukan. Maka persoalan yang timbul, siapa yang akan mendapat tempat di Liga Super?

Terengganu dan PDRM bakal turun ke liga perdana yang mana JDT II menduduki tangga ketiga musim ini. Kalau diikutkan musim-musim lepas, satu play-off bakal diadakan di antara pasukan di tangga kedua terbawah Liga Super menentang pasukan di tangga ketiga Liga Perdana.

Tetapi adakah jawatankuasa FAM yang bersidang dalam tempoh 10 tahun sekali akan membenarkan pasukan JDT II bermain di play-off ini? Adakah JDT II dibenarkan untuk bertanding di liga yang JDT bertanding?

Kedudukan Liga Super 2016
Kedudukan Liga Super 2016
Kedudukan Liga Perdana 2016
Kedudukan Liga Perdana 2016

Sekiranya Negeri Sembilan yang diberikan hak untuk bermain di play-off ini, apa reaksi JDT II? Lebih buruk situasinya jika mereka menarik diri dari Liga Perdana, tatkala DRB-Hicom sudah pun menarik diri.

Serabut weh!

Kesimpulan

Tiga isu di atas hanyalah sekadar tip of the iceberg permasalahan yang bakal timbul sekiranya pihak FAS masih berkeras untuk meneruskan idea penggabungan ini. Inilah masalahnya apabila pasukan yang sudah selesa menelan hasil sumbangan kerajaan negeri dan tidak memandang serius untuk mendapatkan penajaan dari pihak swasta.

TETAPI.

Idea penggabungan bukanlah satu idea yang buruk, tetapi satu garis masa yang panjang perlu ditandakan, contohnya seperti dalam tempoh tiga tahun, bukan dua bulan seperti yang berlaku SEKARANG! (Baca ayat terakhir ini dalam nada menjerit!)

Baca juga : Nazmi Faiz bakal ke Jepun