Pengadil Ini Digantung FIFA Seumur Hidup

Eikrem oleh Eikrem 6 bulan yang lalu

FIFA telah mengambil langkah yang luar biasa pada semalam apabila menggantung pengadil dari Ghana, Joseph Lamptey seumur hidup. Penggantungan ini berkuat-kuasa serta merta dan Lamptey tidak dibenarkan untuk terlibat atau mengambil bahagian dalam aktiviti yang berkaitan bola sepak sama ada dari segi pengurusan, perlawanan atau sebagainya.

Penggantungan ini juga melibatkan larangan daripada aktiviti bola sepak di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Tetapi kalau tiba-tiba Lamptey datang ke Malaysia dan diminta untuk mengadili Liga Setia Alam, maka itu dibenarkan kerana liga ini tidak dianjurkan oleh FIFA dan badan gabungannya.

Lamptey digantung kerana didapati bersalah dalam memanipulasi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 antara pasukan Afrika Selatan dan Senegal pada 12 November 2016.

Afrika Selatan memenangi perlawanan tersebut 2-1, dengan kedua-dua gol hadir pada penghujung babak pertama. Namun apa yang menjadi persoalan ialah keputusan Lamptey menganugerahkan tendangan penalti kepada Afrika Selatan untuk gol pertama mereka.

Melalui rakaman video, bola jelas terkena lutut pemain Senegal tetapi Lamptey mengatakan bola terkena tangan. Panjang bebenor sampai pengadil ingat tangan kat lutut.

Pemain Afrika Selatan menyempurnakan penalti tersebut dan sekaligus memberikan kelebihan kepada mereka. Walaupun hanya satu kesilapan, namun penalti tersebut boleh dikira sebagai detik yang mengubah perlawanan dan memberikan impak yang buruk kepada pasukan Senegal.

Kalau dilihat kedudukan Lamptey dalam gambar di atas, sememangnya dia terlindung di belakang pemain dan ternyata keputusan yang dibuat ini dibuat secara tekaan, bukan secara jelas. Lamptey juga mempunyai pilihan bertanya kepada panjaga garisan kerana keduduka penjaga garisan lebih afdal dan dalam posisi yang jelas melihat bola terkena lutut seperti gambar di bawah.

Penjaga garisan dalam gambar di atas pula dibebaskan daripada sebarang salah laku. Walaubagaimanapun, keputusan perlawanan tersebut kekal dan perlawanan tidak akan dimainkan semula.

Kenyataan rasmi FIFA adalah seperti di bawah.

Nasib baik pegawai FIFA tak tengok Liga Malaysia, kalau tak memang ramai yang kena gantung nanti. Itu belum masuk bab mengatur perlawanan pengadil-pemain.




Paparkan Komen