The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Peminat Nak Tahu Isi Pendrive, Bukan Siapa Pembocor Maklumat

Encik Bakri pada September 9, 2016

Isu pemacu pena yang menjadi topik hangat dalam kalangan pengamat bola sepak tanah air kini semakin hampir ke penghujungnya, namun persoalan kini adalah sama ada pendedahan dokumen ataupun mencari dalang yang membocorkan maklumat lebih penting?

Terdapat perbezaan pendapat yang diutarakan oleh beberapa individu apabila ada yang lebih cenderung mencari mereka yang menyebabkan berlakunya kontroversi itu, manakala pandangan lain pula mengatakan mendedahkan dokumen tersebut kepada awam adalah lebih baik untuk semua pihak.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berpendapat isi kandungan dalam pemacu pena berkaitan Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM) itu adalah lebih penting berbanding usaha mencari dalang yang membocorkan maklumat.

“Sudah pastinya yang penting adalah isi kandungannya, sebab dari segi keutamaan, saya percaya peminat bola sepak tak nak dengar sangatlah FAM cakap siapa yang membocorkan maklumat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Forum Kyoto-ASEAN 2016 di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau enggan mengulas persoalan sama ada dokumen dalam pemacu pena itu telah disiasat dengan baik oleh SPRM, namun berpuas hati de­ngan tindakan suruhanjaya itu setakat ini.

“Anda perlu tanya sendiri kepada SPRM (berhubung tempoh masa yang diambil untuk siasat pemacu pena). Saya tahu apa isi kandungan pendrive itu dan saya meminta SPRM untuk mengesahkan perkara tersebut dan mereka telah mengesahkannya maka OK lah,” ujarnya.

Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim juga mempunyai pandangan hampir sama denga Menteri Belia dan Sukan itu berkata, usaha FAM mengambil tindakan terhadap pembocor maklumat itu hanya membuang masa kerana tugas utama badan induk itu adalah untuk memulihkan prestasi dan kualiti bola sepak negara yang kian merudum.

“Mengambil tindakan terhadap individu (membocorkan maklumat) bukan begitu penting, kita nak tengok apa akibatnya. Adakah dengan mengambil tindakan itu, mutu bola sepak akan bertambah maju, kalau tidak buang masa sahaja.

“Mereka perlu fokus membangunkan bola sepak, bukannya bergaduh sesama sendiri,” katanya kepada FMT sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Khamis lalu yang tindakan tegas akan dikenakan terhadap pembocor rahsia, selepas mengetahui isi kandungan sebenar pemacu pena itu daripada Khairy Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Khoo berkata, FAM juga perlu bersikap terbuka dan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika benar ada masalah rasuah dalam badan induk bola sepak itu.

Katanya, jawatankuasa tertinggi FAM juga perlu bermuhasabah diri dan meletak jawatan jika mereka gagal menggalas tugas untuk membangunkan bola sepak negara.

“Kalau mereka sudah dipilih dan diberi tugas (tetapi) dalam dua, tiga tahun tidak ada kemajuan, mereka sendiri perlu berundur. Jangan tunggu sampai ada pergaduhan dan sebagainya sehingga dipaksa untuk dipecat, kita tidak mahu sampai ke tahap itu,” katanya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memberitahu, persatuan tersebut tidak akan berdiam diri tetapi bakal mengambil tindakan berkaitan isu laporan dalam pemacu pena itu selepas me­nerima laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki kelmarin menyatakan suruhanjaya tersebut menyerahkan sepenuhnya kepada FAM untuk mendedahkan kan­dungan pemacu pena kontroversi yang melibatkan badan induk bola sepak negara itu.

Pada hari yang sama, bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan percaya, isu tersebut sebenarnya belum berakhir sekali pun SPRM mengesahkan peranti tersebut tidak mengandungi sebarang maklumat berunsur ra­suah.

Malah, tokoh bola sepak negara itu menyokong supaya pemacu pena tersebut didedahkan kepada umum seandainya penambahbaikan mahu dilakukan oleh FAM demi pembangunan bola sepak negara.

Sehari sebelumnya, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail memberitahu, pemacu pena tersebut tidak seharusnya dijadikan sebagai dokumen awam ke­rana pendedahannya hanya akan mendatangkan risiko yang lebih besar termasuk FAM berkemungkinan digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

‘Drama’ pemacu pena itu bermula pada 18 Julai lalu apabila Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa mempunyai pendrive yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung ketirisan dan salah laku dalam FAM.

Bagaimanapun, setelah sekian lama episod kontroversi itu berlarutan, SPRM pada Isnin lalu mengesahkan bahawa laporan dalam peranti tersebut bebas daripada unsur rasuah melibatkan FAM setelah menerima alat berkenaan pada 2 September lalu daripada Khairy yang memperolehnya daripada Tunku Ismail.

Sumber :

  1. Utusan Online
  2. FMT

Download aplikasi The Sukan di Google Play