Pemenang Pingat Emas Bola Sepak Sukan SEA 2011 : Di Mana Mereka Sekarang?

Eikrem oleh Eikrem 1 minggu yang lalu

Tahun 2009 sehingga 2014 boleh dikatakan tempoh membanggakan pasukan bola sepak Malaysia. Segalanya bermula pada tahun 2009 apabila skuad Harimau Muda telah berjaya menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas Sukan SEA selepas menewaskan tuan rumah, Vietnam, 1-0.

Pada tahun 2010, Malaysia buat pertama kalinya memenangi Piala AFF, menewaskan Indonesia 4-2 secara aggregat di perlawanan akhir.

Dalam edisi sukan SEA 2011, Malaysia sekali lagi memenangi ibu segala pingat Sukan SEA ini apabila menewaskan tuan rumah, Indonesia melalui tendangan penalti selepas perlawanan terikat 1-1. Menariknya, pasukan muda Malaysia berjaya menyerap tekanan Stadium Gelora Bung Karno yang sarat diisi para penyokong Indonesia.

Pasti kita masih ingat tendangan penalti terakhir daripada kapten. Baddrol Bakhtiar yang pada mulanya dapat ditahan penjaga gol Garuda, namun bola bergolek perlahan masuk ke gawang.

Para penyokong Malaysia di rumah, di mamak atau majlis-majlis tertentu pasti bangun melonjak kegembiraan kerana anak buah Ong Kim Swee bukan sahaja berjaya mempertahankan pingat emas, malah mengecewakan seteru utama bola sepak serantau!

Enam tahun sudah berlalu dan para pemain yang mencipta kenangan manis tersebut telah bertebaran mewakili pelbagai pasukan baik tempatan atau luar negara.

Berikut adalah cerita terkini pemain yang beraksi dalam perlawanan akhir sukan SEA 2011 Jakarta.

Khairul Fahmi Che Mat

Pasukan sekarang : Kelantan

Khairul Fahmi memegang rekod penjaga gol paling muda yang melakukan debut buat pasukan Cik Siti Wan Kembang ketika berusia 19 tahun. Khairul Fahmi yang juga digelar Apek kini masih lagi beraksi bersama pasukan Kelantan dan kekal sebagai penjaga gol nombor satu selama enam tahun.

Apek juga pernah memenangi anugerah penjaga gol terbaik kebangsaan dari tahun 2010 sehingga 2014, dan juga pada tahun 2016.

Walaubagaimanapun, pada musim ini dengan pengurusan dan prestasi pasukan yang kelam kabut, Apek jarang diturunkan oleh ketua jurulatih Kelantan.

Mahali Jasuli

Pasukan sekarang : Johor Darul Takzim

Ketika sukan SEA 2011, Mahali Jasuli beraksi bersama pasukan Harimau Muda, sebelum menyertai Selangor pada tahun 2013 dan bermain bersama pasukan The Red Giant tersebut selama dua musim. Prestasinya yang cemerlang membuka ruang kepada perpindahannya ke selatan Semenanjung Malaysia untuk beraksi bersama pasukan JDT.

Bersama JDT, Mahali telah memenangi Liga Super selama tiga musim berturut-turut, selain memenangi Piala AFC pada 2015. Sehingga hari ini, Mahali masih mengekalkan statusnya sebagai pemain utama pasukan Harimau Selatan, meskipun berbaris pemain baru diambil untuk mencabar kedudukannya.

Zubir Azmi

Pasukan sekarang : Pahang

Zubir muncul sebagai antara pemain bek kiri terbaik sepanjang Asia Tenggara dalam kempen Piala AFF dan juga sukan SEA 2011 di mana dia cemerlang mematahkan serangan pihak lawan selain naik ke atas membantu jentera serangan.

Kekal sebagai pemain utama Terengganu selama lima musim selepas Sukan SEA, Zubir mengubah angin ke Pahang pada tahun ini. Bersama pasukan Tok Gajah, Zubir tidak banyak membuat penampilan dan tempatnya dalam skuad kebangsaan juga sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Fadhli Shas

Pasukan sekarang : JDT

Produk Sekolah Sukan Bukit Jalil ini boleh menjadi tonggak utama mengemudi barisan pertahanan Malaysia sepanjang Sukan SEA. Tackle yang tepat, diadun dengan pembacaan permainan yang bagus, Fadhli dengan tenang mematahkan serangan pasukan Indonesia yang diketuai Andik Vermansyah dan pada tahun 2011 juga, Fadhli dinamakan sebagai pemain pertahanan tengah terbaik Asia untuk kategori bawah 23 tahun oleh goal.com.

Selepas Sukan SEA, Fadhli berkelanana ke FC Vion di Slovakia di mana dia bermain secara pinjaman, dan sekadar bermain satu perlawanan bersama kelab tersebut. Kembalinya ke tanah air, Fadhli menerima tawaran pasukan Harimau Selatan untuk bergandingan dengan Aidil Zafuan.

Asraruddin Putra Omar

Siapa yang tidak ingat Asra menjaringkan gol penyamaan Malaysia pada dalam perlawanan akhir Sukan SEA melalui tandukan leret dan cukup untuk mendiamkan stadium Gelora Bung Karno.

Selepas Sukan SEA, Asra kekal sebagai nadi utama pertahanan Selangor - pasukan yang disertainya sejak 2007. Pada tahun 2014, Asra menyertai revolusi selatan dengan menyarung jersi JDT, sekaligus membantu kelab tersebut memenangi liga buat pertama kali dalam sejarah bola sepak mereka.

Asra kekal sebagai pemain bek kiri utama JDT sebelum kecederaan menimpa dan tempatnya diambil alih oleh Fazly Mazlan.

Pada awal tahun ini Asra dilepaskan oleh JDT dan nasibnya kurang baik apabila tidak mendapat majikan yang baharu dek kecederaan teruk yang dialaminya. Semoga pemain yang pernah menawan hati PSV Eindhoven ini segera sembuh daripada kecederaan dan kembali mewarnai bola sepak Malaysia.

Muslim Ahmad

Pasukan sekarang : Pahang

Pemain kelahiran Terengganu ini cukup cemerlang ketika Sukan SEA 2011 dan juga Piala AFF 2010. Namanya akan menjadi pilihan automatik jurulatih kebangsaan baik K. Rajagobal mahupun Ong Kim Swee.

Selepas Sukan SEA 2011, Muslim kekal di Terengganu selama semusim sebelum, seperti pemain lain, menyertai JDT pada tahun 2013. Muslim hanya bertahan selama semusim di selatan dan menyertai revolusi PDRM di bawah kendalian Azman Adnan pada tahun berikutnya.

Selepas dua musim, Muslim menyarung jersi The Red Warriors pada tahun 2016 dan pada tahun ini, Muslim bermain untuk pasukan Tok Gajah.

K Gurusamy

Pasukan sekarang : PKNS FC

Gurusamy muncul antara pemain defensive midfielder terbaik negara sekitar tahun 2009-2012. Fungsinya di atas padang adalah untuk memberi perlindungan kepada barisan pertahanan dan juga membebaskan pemain tengah menyerang untuk fokus kepada mengatur rentak perlawanan.

Staminanya cukup tinggi dan dia bagaikan ada di setiap penjuru padang dalam perlawanan. Produk Harimau Muda ini mewakili negeri kelahirannya dari tahun 2012 sehingga 2015, sebelum menyertai Sarawak pada 2016.

Kecederaan kerap kali mengganggu prestasi pemain ini dan pada musim ini Gurusamy menyarung jersi seteru utama Selangor, PKNS FC.

Apapun, setiap kali Hari Guru, poster Gurusamy memberikan ucapan seringkali dikongsi di applikasi sosial.

Baddrol Bakhtiar

Pasukan sekarang dan selamanya : Kedah

Manchester United berbangga dengan Ryan Giggs, AS Roma mempunyai Francesco Totti dan Kedah melahirkan dan memiliki Baddrol Bakhtiar.

Kapten ketika Sukan SEA 2011, Baddrol meneruskan rentak cemerlangnya bersama pasukan negeri kelahirannya, Kedah walaupun tawaran lumayan daripada pasukan Liga Malaysia yang lain datang menjengah ke pintu rumah Kapten Marvel ini.

Baddrol terus setia bersama Kedah walaupun pasukan tersebut beraksi di Liga Perdana selama tiga musim - 2013, 2014 dan 2015, dan membantu pasukan Lang Merah kembali beraksi di Liga Super pada tahun 2016.

Hari ini Baddrol masih lagi menjadi watak utama pasukan kebangsaan di mana dia sering dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan belum menunjukkan tanda-tanda untuk bersara lagi.

Irfan Fazail

Pasukan sekarang : JDT II

Produk Harimau Muda ini boleh bermain di mana sahaja di bahagian serangan - sayap, tengah atau penyerang. Ketika Sukan SEA 2011, Irfan banyak diletakkan di bahagian sayap kiri dan tugasnya adalah untuk membawa bola masuk ke kawasan bahaya musuh.

Selepas kontraknya bersama Harimau Muda tamat, Irfan menyarung jersi kelab di negeri kelahirannya JDT pada tahun 2014. Pada awalnya segalanya tampak cerah buat pemain ini namun kecederaan seringkali mengganggu prestasinya.

Pada tahun 2015, Irfan diturunkan ke pasukan JDT II dan kekal bersama pasukan tersebut sehingga hari ini.

Ahmad Fakri Saarani

Pasukan sekarang : Kedah

Ramai yang tidak tahu Fakri melakukan debut professional bersama pasukan Perak pada usia 18 tahun dan menjaringkan hattrik!

Pemain ini sering menjadi tempat lepas geram para penyokong namun Fakri sering kali terpilih untuk mewakili Malaysia.

Sepakan penalti lemahnya mendebarkan para peminat ketika perlawanan akhir Sukan SEA, sebelum ditebus oleh Baddrol Bakhtiar.

Selepas Sukan SEA, Fakri menyertai kelab Portugal, Atletico S.C pada 2012, sebelum kembali ke tanah air dan beraksi bersama Kelantan dari 2013 sehingga 2015. Fakri kemudiannya berpindah ke Kedah pada 2016 dan dipinjaman ke Felda selama enam bulan pada tahun lalu.

Tahun ini Fakri kembali bersama skuad Lang Merah, namun sekadar menjadi pemanas bangku simpanan.

Thamil Arasu

Penyerang tinggi lampai ini boleh dikatakan seorang target man yang cukup baik. Walaupun kurang menjaringkan gol, Thamil seringkali membantu rakan sepasukan melakukan gerakan ke pintu gol lawan.

Selepas Sukan SEA, Thamil beraksi bersama Selangor pada tahun 2014 dan 2015 namun gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama di bawah Mehmet Durakovic.

Thamil berpindah ke pasukan Kuala Lumpur pada musim 2016 namun gagal juga untuk mendapatkan minit permainan dan kini Thamil tidak mewakili mana-mana pasukan professional. Merugikan!

Pemain gantian perlawanan akhir Sukan SEA 2011

Nazmi Faiz

Nazmi pernah digelar 'pewaris Azizol Abu Hanifah' dek kepintaran bola sepaknya. Pernah beraksi di Primera Liga Portugal, Nazmi kembali ke tanah air untuk mewakili PKNS FC, selain membantu Selangor memenangi Piala Malaysia pada tahun 2015. Tahun ini Nazmi beraksi untuk JDT dan kurang mendapat minit permainan.

Yong Kuong Yong

Yong mencuri tumpuan pada 2011 dek kekurangan pemain keturunan Tiong Hua pada masa kini. Bermain di posisi sayap, Yong menggunakan kelajuannya untuk memporak perandakan benteng pertahanan lawan.  Selepas Sukan SEA, Yong mewakili Felda United, Perak, Pulau Pinang dan Terengganu pada musim lalu. Musim ini Yong kembali menyarung jersi Pulau Pinang.

Fandi Othman

Pemain ini sering diturunkan sebagai pemain sayap atau pertahanan kiri. Kelebihan utama yang dimilikinya ialah kualiti hantaran dan juga tendangan percumanya. Selepas Sukan SEA, Fandi kekal bersama pasukan Harimau Muda sehingga tahun 2014, di mana dia menyertai pasukan JDT II. Pada musim ini, Fandi dipinjamkan ke Melaka United.

Sumber rujukan :

1- Wikipedia

2- Fourfourtwo


Share Tweet


Paparkan Komen