Lima Penyerang Kelas Dunia yang Kembali Menggegar Selepas Kecederaan ACL

Eikrem 5 bulan yang lalu

Kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) merupakan kecederaan yang paling ditakuti oleh pemain-pemain bola sepak, kerana kecederaan ini mampu menghentikan perjalanan karier masing-masing.

ACL berfungsi sebagai pemegang kepada pergerakan di bahagian lutut dan apabila ia koyak atau putus, pergerakan lutut menjadi amat terbatas.

Namun begitu, ramai juga pemain yang berjaya melakukan comeback selepas pulih daripada kecederaan tersebut. Berikut adalah sebahagian daripada pemain yang berjaya hidup kembali pasca kecederaan ACL.

Radamel Falcao

Falcao kini mampu untuk ketawa semula. Syukur.

Pemain Colombia ini telah mengalami tiga kali kecederaan di lutut kanan dan kiri dalam kariernya. Pertama kali berlaku ketika dia bermain untuk River Plate ketika menentang San Lorenzo pada November 2005.

Keadaan bertambah buruk apabila Falcao cuba untuk kembali bermain beberapa bulan kemudian yang menyebabkan dia terpaksa berehat sepanjang 10 bulan berikutnya.

Penyerang Colombia ini bagaimanapun kembali menemui sentuhan tajam dengan menjadi penyerang paling berbahaya di Amerika Selatan yang kemudiannya membawanya ke eropah untuk mencipta nama bersama Porto dan Atletico Madrid.

Kecederaan ketiganya hadir ketika dia bermain bersama Monaco sekaligus menyebabkannya hilang sentuhan berbisa. Bayangkan ular sendur tiada bisa, begitu lah Falco diibaratkan ketika bermain untuk Manchester United dan Chelsea secara pinjaman.

Walaubagaimanapun pada musim ini Falcao muncul penjaring utama Monaco dan membawa kelab negara kecil tersebut kepada cabaran kejuaraan Ligue 1.

Alan Shearer

Blackburn Rovers pun pernah menang Liga Perdana Inggeris. #justsaying

Penyerang berbisa ini mengalami kecederaan ACL ketika musim pertamanya bersama Blackburn Rovers selepas menyertai kelab Lancashire tersebut dari Southampton dengan perbelanjaan besar £3.6 juta dari Southampton pada 1992.

Shearer bagaimanapun bangkit pada musim berikutnya dengan menjaringkan 31 gol dalam 40 perlawanan – prestasi yang membawa kepada anugerah Pemain Terbaik Pilihan Penulis Bola Sepak, di samping memberikannya tempat dalam skuad kebangsaan England.

Beberapa tahun kemudian, Shearer cedera ligament buku lalinya pula ketika bermain untk Newcastle United dan terpaksa berehat selama beberapa bulan. Walaubagaimanapun, dua kecederaan tersebut tidak menghalang Shearer untuk muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 260 gol. Kalau nak tunggu rekod ini pecah kena tunggu Messi main di England dulu lah kot.

Alessandro Del Piero

Permata kesayangan bola sepak Itali

Pemain Juventus ini merupakan permata bola sepak Itali di mana satu ungkapan dicipta – Del Piero ialah Itali, dan Itali ialah Del Piero. Del Piero tercedera ACLnya buat pertama kali pada tahun 1998 – ketika satu dunia mengiktirafnya sebagai pemain serangan terbaik dunia.

Pada musim sebelumnya, Del Piero telah menjaringkan 32 gol untuk membantu Juventus memenangi Serie A dan juga naib juara Liga Juara-juara dan setelah cedera, ternyata khidmatnya amatlah dirindui The Old Lady.

Setelah kembali daripada kecederaan jangka masa panjang tersebut, pergerakan Del Piero menjadi kurang pantas dan senang dibaca pihak lawan. Mujurlah ligamen otaknya tidak cedera kerana dia mampu untuk mengubah cara permainannya di bahagian yang sedikit rendah di bahagian serangan.

13 musim berikutnya, Del Piero telah memenagi Serie A beberapa kali dan yang paling penting, Piala Dunia 2006 bersama Itali dan Del Piero melakukan satu assist untuk gol kedua Itali menentang Jerman di separuh akhir.

Ruud van Nistelrooy

Kerana terlalu hebat, badan Nistelrooy mampu mengeluarkan cahaya. Ini bukan gambar edit.

Selepas menjaringkan 29 gol dalam 23 perlawanan Eredivise bersama PSV Eindhoven pada musim 1999-2000, RVN hampir pasti untuk melengkapkan perpindahan ke kelab gergasi England, Manchester United dengan rekod kelab £18.5 juta, sehinggalah pada suatu hari apabila dunia bagaikan gelap gelita buat RVN.

Beberapa hari sebelum menandatangani kontrak bersama Syaitan Merah, RVN tercedera ACLnya sekaligus membatalkan perpindahan tersebut. Bijak kelab Manchester ni, dia tak beli pemain yang cedera. Bukan seperti pasukan yang ambil Manaf Mamat musim lepas.

Kecederaan tersebut merehatkan RVN selama setahun, namun pada musim panas berikutnya, Alex Ferguson memperjudikan £19 juta dengan membawa RVN ke Old Trafford. 150 gol dalam 219 perlawanan kemudian, RVN berpindah ke Real Madrid dan sekali lagi menjadi penyerang yang cukup prolifik di depan gol.

Hebat sangat dia ni.

Roberto Baggio

Roberto Baggio ketika sambutan golnya ke atas Nigeria.

Seorang pemain terbaik dalam generasinya di sampaing memenangi Ballon d’Or pada 1993, Roberto Baggio berperang dengan kecederaan lututnya secara literalnya sepanjang karier!

Ketika berusia 18 tahun dan bermain untuk VIcenza, ACL kaki kanannya putus dan pada masa yang sama, meniskusnya turut terkoyak! Kecederaan berkembar ini cukup ditakuti akan membawa kepada pengakhiran karier pemain berambut tocang ekor anak kuda ini.

Tetapi, seperti watak-watak hero Hindustan, hero tidak akan mengalah.

Dibeli oleh Fiorentina walaupun cedera (ada ciri-ciri perangai pasukan Manaf Mamat 2016 ni) dan hanya melakukan debut hampir setahun kemudian, sebelum cedera lagi di tempat yang sama ketika menentang Empoli.

Sepanjang kariernya yang dibelenggu kecederaan, dia masih mampu bermain untuk kelab besar seperti Juventus, AC Milan dan Internazionale di samping melakukan 56 penampilan untuk pasukan kebangsaan Itali. Bila teringat Baggio, teringat tendangan penaltinya sewaktu perlawanan akhir Piala Dunia 1994.

Oh syahdunya.

Sumber : Squawka Football