Pemain Paling Mahal Di Dunia, Paul Pogba Diserang Di Restoran

Mohd Hazwan 5 bulan yang lalu

Pemain termahal di atas muka bumi, Paul Pogba dilaporkan telah diserang di sebuah restoran makanan India ketika sedang makan malam. Kejadian itu berpunca daripada sekumpulan peminat Manchester United yang tidak berpuas hati apabila permintaan mereka untuk mendapatkan autograf Pogba ditolak mentah-mentah. Pogba yang masih dalam mood gembira dengan kemenangan Piala EFL Ahad lalu berkunjung ke restoran tersebut bersama beberapa orang rakannya.

Pogba Dan Piala EFL Kebanggaan Manchester United

Satu video yang kurang berkualiti menunjukkan Pogba sedang berjalan di dalam restoran tersebut sebelum seorang lelaki bersama beberapa orang rakannya telah menegur dan memanggil Pogba supaya datang ke meja mereka dan menurunkan tandatangan. Namun, Pogba telah menolak permintaan mereka dengan penuh kesopanan dan kesusilaan. Mungkin disebabkan Pogba terlalu lapar untuk menikmati hidangan makanan lazat India dan tidak ada masa hendak melayan peminat-peminatnya.

Walaupun ditolak secara baik, sekumpulan lelaki tersebut masih tidak berpuas hati dan menuduh tindakan Pogba sebagai tidak menghormati mereka. Mereka mula membuat provokasi dan melemparkan kata-kata kesat terhadap Pogba sehingga suasana menjadi tegang. Tidak cukup dengan itu, mereka juga dikatakan telah membaling pinggan ke arah Pogba dan terpaksa ditenangkan oleh staf dan juga rakan-rakan Pogba. Untuk mengelakkan situasi bertambah buruk, salah seorang staf tersebut telah menghubungi polis.

Polis yang tiba lambat di tempat kejadian mendapati semua lelaki yang terlibat telah pun bersurai. Tiada aduan dilaporkan selepas itu. Situasi kembali tenang setenang air di kali. Semua pelanggan kembali meneruskan aktiviti makan malam mereka. Staf basuh pinggan dan tukang masak restoran kembali ke dapur.

Sumber: The Sun