Pemain Bola Sepak yang Menukar Kerakyatan

Eikrem oleh Eikrem 6 bulan yang lalu

Perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 pusingan kedua bakal berlangsung tidak lebih dua minggu lagi dan lawan Malaysia yang pertama dalam kumpulan B ialah Korea Utara. Pasukan Korea Utara boleh dikatakan pasukan yang kuat di mana mereka pernah layak ke Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Jadi, untuk menambah saingan dan peluang Malaysia, beberapa pemain telah dinaturalisasikan dan mendapat kad pengenalan Malaysia. Dalam rekod, ramai pemain yang sudah menukar kerakyatan untuk beraksi bersama Malaysia antaranya ialah Junior Eldstal (Sweden), Brendan Gan (Australia) dan juga Andres Iniesta Malaysia, Mehmet Fekri Sereny (Turki).

Yang terbaru, jurulatih pasukan bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt dikatakan cuba memujuk pemain Belgium, Dion Cools untuk mewakili Malaysia di Sukan SEA memandangkan Cools mempunyai darah Malaysia menerusi ibunya yang merupakan rakyat Sarawak. Dipendekkan cerita, Cools menolak baik hasrat tersebut.

Cools kini bermain untuk Club Brugge di Belgium.

Tidak lupa juga remaja berdarah Kelantan, Wan Kuzain Wan Kamal - yang kini bermain untuk kelab divisyen dua Amerika Syarikat dan menariknya, Kuzain pernah dipanggil oleh pasukan bawah 17 Amerika. Sehingga kini tidak diketahui apa perancangan masa depannya sama ada ingin mewakili Malaysia atau Amerika Syarikat.

Wan Kuzain digelar Messi Amarekka di sana

Selain daripada pemain yang mempunyai hubungan dengan Malaysia melalui tali kekeluargaan, belum ada lagi pemain yang menukar kerakyatan semata-mata untuk diambil bermain dengan Malaysia dan perkara ini dianggap simpang malaikat 44.

Situasi ini amat berbeza di negara-negara eropah di mana pemain yang telah cukup syarat untuk menukar atau menambah kewarganegaraan telah berbuat demikian sekali gus dapat beraksi bersama pasukan kebangsaan negara tempat mereka mencari rezeki.

Berikut adalah senarai 5 pemain terkenal yang menukar kewarganegaraan.

Diego Costa - Brazil Ke Sepanyol

Costa Brazil dan Sepanyol. Dia ingat dia simpan jambang orang tak cam kot.

Costa dilahirkan dan dibesarkan di Brazil, namun penyerang Chelsea ini hanya dipanggil sekali sahaja untuk bermain bersama pasukan senior Brazil. Memandangkan Brazil menyertai Piala Dunia 2014 sebagai tuan rumah, maka mereka tidak perlu melalui sebarang perlawanan kompetitif pusingan kelayakan. Jadi, ketika Costa bermain untuk pasukan Samba tersebut, ia hanya perlawanan persahabatan.

Pada tahun 2013, Sepanyol telah membuat permohonan kepada FIFA untuk mengesahkan bahawa Costa layak untuk mewakili mereka memandangkan Costa telah tinggal di Sepanyol lebih daripada enam tahun dan permohonan ini diluluskan FIFA.

Hasilnya, Costa menyarung jersi Sepanyol dalam Piala Dunia 2014 dan Sepanyol tersingkir dalam peringkat kumpulan.

Lukas Podolski - Poland Ke Jerman

Satu Piala Dunia dan kini bermain di Liga Jepun.

Lukas Podolski dilahirkan oleh Waldemar Podolski dan Krystyna Podolsi di bandar Gliwice, Poland Pada tahun 1987 ketika Lukas berusia dua tahun, ibu bapanya berhijrah ke Jerman Barat.

Pada tahun 2003, selepas beberapa persembahan yang memukau dalam Bundesliga, media Poland mencadangkan supaya ketua jurulatih Poland ketika itu, Pawel Janas agar mengambil Podolski memandangkan dia hanya bermain untuk Jerman di peringkat belia sahaja ketika itu.

Walaubagaimanapun, Janas menempelak cadangan tersebut dengan mengatakan bahawa lebih ramai penyerang yang bagus di Poland dan Podolski pada waktu itu bukanlah pemain yang sering bermain bersama kelab. Setahun kemudian, bintang Podolski bertambah bersinar dan media Jerman pula mula mengetengahkan cadangan supaya Podolski diambil bermain untuk pasukan senior Jerman.

Pada 6 Jun 2004, ketika berusia 19 tahun, Podolski akhirnya bermain untuk pasukan senior Jerman.

Dalam satu temuramah, Podolski pernah berkata bahawa Persatuan Bola Sepak Poland tidak pernah peduli tentangnya sehinggalah dia mula bermain untuk pasukan bawah 21 tahun Jerman dan ketika itu, Podolski sudahpun menanam keazaman yang tinggi untuk mewakili Jerman.

Hasilnya? Podolski memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil. Berbaloi!

Neven Subotic - Amerika Syarikat Ke Serbia

Mangsa perang. Sebab itu lah Subotic nampak garang.

Cerita Neven Subotic agak berbeza daripada cerita-cerita di atas. Subotic dilahirkan di Yugoslavia - ketika negara ini masih wujud dan berdasarkan keturunan, dia layak untuk mewakili Serbia dan Bosnia & Herzegovina.

Disebabkan Perang Bosnia, keluarga Subotic berpindah ke Jerman pada awalnya, namun kerakyatan mereka tamat tempoh pada tahun 1999 dan berpindah ke Amerika Syarikat.

Dia telah bermain untuk beberapa pasukan di Amerika Syarikat sebelum dilamar oleh Mainz pada 2006. Ketika itu, Subotic telah mewakili pasukan bawah 17 tahun Amerika dalam Piala Dunia Belia 2005 dan pada tahun 2006, dia bermain sebanyak dua perlawanan untuk pasukan bawah 20 tahun.

Takdir Subotic ketika ini bagaikan sudah ditentukan bakal bermain dengan pasukan Amerika Syarikat namun kesilapan ketua jurulatih Thomas Rongen telah memaksa Subotic membuat keputusan mendadak. Rongen secara umumnya telah mengkritik Subotic dan tidak memilihnya untuk bermain di Kejohanan Dunia bawah 20 tahun pada 2007.

Peluang ini cuba diambil Bosnia namun pada tahun 2008, Subotic menghantar memo kepada pegawai pasukan Amerika bahawa dia akan mewakili Serbia - tanah tumpah darahnya. Subotic boleh dikatakan sebagai permata yang hilang bagi Amerika.

Pepe - Brazil Ke Portugal

Pepe cuba melakukan teknik Rey Mysterio terhadap pihak lawan.

Pepe - pemain gusti sepenuh masa yang mengaplikasikan teknik gusti di padang - sebenarnya berasal dari Brazil. Pada usia 18 tahun, Pepe berhijrah ke Portugal untuk bermain bersama CS Maritimo.

Sebelum bermain untuk Portugal, Pepe tidak pernah mewakili Brazil dalam mana-mana peringkat umur, bagaimanapun menurut bapanya, Pepe pernah dihubungi Dunga pada tahun 2006 untuk call-up namun pemain itu menolak dengan sopan kerana sudah berhasrat unutk mewakili Portugal.

Pepe dinaturalisasi pada Ogos 2007 dan 30 haribulan bulan yang sama, dia telah dinamakan dalam pasukan Portugis buat pertama kali. Kecederaan semasa latihan melambatkan penampilan pertamanya selama empat bulan namun berkat kesabaran kecekalan jiwa, Pepe akhirnya melakukan debut pada 21 November menentang Finland.

Kemenangan terbesar Pepe bersama Portugal sudah pasti memenangi Euro 2016 di mana dia juga telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir - bukan kerana beraksi cemerlang, tetapi kerana berperangai elok. Kelakar kan?

Thiago Motta - Brazil Ke Itali

Motta menambah lagi senarai pemain kacak dalam pasukan kebangsaan Itali.

Thiago Motta merupakan seorang lagi daripada senarai yang panjang pemain Brazil yang menukar kerakyatan. Pada tahun 2003, Motta telah bermain untuk Brazil dalam kejohanan Piala Emas CONCACAF. Walaupun Brazil ketika itu menghantar pasukan bawah 23 tahun, taraf kejohanan tersebut masih dianggap kejohanan untuk pasukan senior dan secara automatik penampilan Motta tersebut diambil kira oleh FIFA.

Tidak lama kemudian, Motta telah berhasrat untuk mewakili Itali pada peringkat senior dan kalau diikutkan keturunan, dia layak melalui datuknya yang berasal dari Itali. Setelah berhempas pulas dalam permohonannya, Motta akhirnya dibenarkan mewakili Itali kerana akhirnya penampilannya bersama Brazil tidak dikira sebagai penampilan kompetitif.

Pada 6 Februari 2011, Motta dipanggil untuk menyertai  pasukan Itali dan dua hari kemudian, dia mendapat kebenaran FIFA untuk mewakili Azzuri. Sejak detik bersejarah itu, Motta telah mewakili Itali dalam Euro 2012, Piala Dunia 2014 dan Euro 2016.

Sumber : Sportskeeda




Paparkan Komen