Pelumba Pasukan ONEXOX TKKR Racing Maut Selepas Terbabit Kemalangan

Encik Bakri oleh Encik Bakri 5 bulan yang lalu

Berita sedih buat dunia permotoran Malaysia apabila pelumba pasukan ONEXOX TKKR Racing iaitu Norizman Bin Ismail, 32 tahun telah meninggal dunia akibat terjatuh ketika sesi ujian masa kejuaraan CubPrix AAM Malaysia PETRONAS.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan penganjur berkata ketika kejadian, Norizman Ismail sedang menjalani ujian masa pusingan ketiga kategori CP150 pada sirkit yang berlangsung di di Bandar Baru Kijal, Kemaman, Terengganu, pada kira-kira jam 3.50 petang.

"Mangsa terjatuh di selekoh 1 litar lumba," menurut kenyataan itu.

Berikutan itu Marshal dan paramedik terus bergegas ke lokasi kejadian bagi memberi rawatan. Bendera merah dikibarkan untuk memberi isyarat kepada pelumba lain bahawa sesi latihan terpaksa ditamatkan serta merta pada jam 3.52 petang.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.50 petang ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Kemaman.

Norizman memulakan karier di Cub Prix pada tahun 2004 dan bergelar juara kelas perdana sebanyak dua kali pada tahun 2005 dan 2011.




Paparkan Komen