The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Peluang Figueroa Diturunkan Untuk Aksi Final Piala AFC 50-50

Encik Bakri pada October 28, 2015

“Peluang untuk Figueroa diturunkan untuk aksi Final Piala AFC adalah 50-50. Saya tidak boleh beri jaminan dia akan cergas sepenuhnya. Dia mungkin dimasukkan sebagai gantian.

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez tidak resah jika terpaksa merehatkan penyerang sensasi Luciano Figueroa apabila berdepan FC Istiklol pada aksi final Piala AFC di Stadium Central Republican, Dushanbe, Tajikistan, Sabtu ini.

Pengendali dari Argentina itu tampak optimis barisan serangan yang akan diterajui Safee Sali dan Mohd Amri Yahyah mampu menggalas tugas selaku penggempur utama skuad Harimau Selatan ketika berdepan skuad kendalian Mubin Ergashev itu.

Katanya, kecederaan paha Figueroa belum sembuh sepenuhnya, namun pegawai fisioterapi sedang giat memberi rawatan supaya pemain itu mampu beraksi pada pentas final menentang kelab dari Tajikistan itu.

“Kelibatnya masih penting untuk kami, namun jika tidak diizinkan, saya perlu mencari alternatif terbaik bagi menguatkan jentera serangan dengan kemungkinan gandingan Safee dan Amri mengetuai barisan serangan,” katanya semalam.

Menurutnya, Johor DT sudah kehilangan Mohd Fadhli Shas, Junior Eldstal dan Asrarudin Putra Omar dan situasi itu memaksanya membuat rombakan di benteng pertahanan bagi mengukuhkan bahagian itu.

Gomez juga menegaskan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak akan bergandingan bersama Marcos Antonio di benteng pertahanan dan Muhd Fazly Mazlan akan kekal sebagai bek kiri manakala S Kunanlan bergerak sebelah kanan untuk menghalang gerakan berbahaya sayap kiri dan kanan pemain FC Istiklol.

Beliau menegaskan kelab lawan itu dibarisi pemain berpengalaman dan Johor DT perlu memiliki formasi mantap bagi mengelak penguasaan ketara pasukan lawan.

Katanya, selepas melihat rakaman video, jelas corak permainan pasukan itu seakan-akan Al-Qadsia SC yang kerap mengamalkan serangan pantas.

“Pemain nombor 8 (Nuriddin Davronov) cukup berbahaya manakala nombor 10 (Manolo Bleda) dari Sepanyol begitu pantas. Pemain nombor 9 (Khursed Makhmudov) nadi utama mereka untuk melakukan serangan.

“Tapi, ada kelemahan di benteng pertahanan yang saya dapat kesan dan tidak mustahil untuk kami membuat kejutan biarpun saya akui agak sukar beraksi di padang rumput tiruan,” kata Gomez.