Pejabat FAP Dibaling Dengan Molotov Cocktail

Rusdy Ahmad 5 bulan yang lalu

Polis sedang mengenal pasti dan memburu individu yang terlibat membaling bahan letupan dipercayai molotov cocktail di hadapan pejabat Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) di sini pagi ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, kejadian itu disedari petugas FAP yang tiba di pejabatnya pagi tadi dan mendapati serpihan botol kaca dipercayai molotov cocktail di baling ke arah pejabat berkenaan.

“Tiada saksi yang melihat kejadian itu dan suspek tidak dapat dikenal pasti kerana tempat kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamatan.

“Pihak polis sedang merakam percakapan pertugas serta mendapatkan maklumat berhubung kes ini termasuk motif kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Mior Faridalatrash, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE