P.Maniam Dedah Rahsia Kejayaan Skuad Bawah 15 Tahun

Encik Bakri oleh Encik Bakri 4 hari yang lalu

Pasukan Malaysia Bawah 15 tahun muncul juara kejohanan AFF Bawah 15 tahun selepas menundukkan pasukan tuan rumah, Thailand dengan dua jaringan berbalas satu dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik.

Anak buah Ketua Jurulatih, P. Maniam sekali lagi mempamerkan aksi kebangkitan selepas ketinggalan kepada Thailand pada minit ke-16 hasil jaringan Theekawin Chansri.

Skuad akar umbi ini menunjukkan semangat tidak mengalah dan berputus asa apabila mengejar ketika perlawanan berbaki lebih kurang 10 minit.

Itu merupakan kejayaan ketiga P.Maniam dalam mengendalikan pasukan Malaysia bawah 15 tahun di 2019 selepas cemerlang di kejohanan B-15 Jockey Club International Youth 2019 dan CFA Team China International Youth Football Tournament Haikou 2019.

Untuk rekod P.Maniam merupakan jurulatih yang tidak asing lagi dalam membawa kejayaan kepada pemain beliau apabila berjaya memimpin Selangor memenangi Piala Belia 2006 dan Piala Presiden 2008.

Rekod Kerjaya P.Maniam

2005–2007: Selangor B-19
2007–2008: Selangor B-21
2009–2015: Selangor (pembantu jurulatih)
2016–2017: AirAsia
2017–2018: Selangor
2019– sekarang : Malaysia B-15

Selepas cemerlang membawa skuad muda ini P.Maniam telah mendedahkan rahsia dan resepi yang dalam membentuk anak muda dan membuka jalan kepada kejayaan dengan menerapkan budaya 'Kita Satu Keluarga'.

Penerapan budaya 'Kita Satu Keluarga' ini nyata berhasil dalam memastikan mereka berjuang dalam suasana yang menyeronokkan.

"Penting untuk kami (bersama semua kakitangan kejurulatihan) bijak mengawal emosi serta psikologi setiap pemain.

Justeru, kita semua ibarat ‘family’ dan rapat dengan mereka yang mana setiap malam kami mempunyai sesi bersembang bagai satu keluarga berkongsi apa saja, masalah, cerita dan gelak ketawa," dedah Maniam seperti mana yang dipetik dari laman muka buku FAM.

"Dengan skuad B-15 tahun ini kita tidak boleh terlalu terapkan sangat misi untuk menang, mereka masih budak-budak dan masih di fasa untuk ‘dibangunkan’"

"Di fasa ini prestasi individu lebih penting dan paling utama setiap pemain perlu ‘enjoy the game’ iaitu seronok berada dalam perlawanan dan bersama pasukan."

Pada Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020 ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J menentang Jepun, Kemboja dan Laos.

Selain tidak terlalu menerapkan misi untuk menang, P.Maniam menekan aspek disiplin dan kekuatan mental.

"Lepas menjuarai AFF pastinya ramai yang akan memandang kita sebagai pesaing hebat sekaligus menjadi misi utama negara-negara ini untuk menundukkan Malaysia."

"Di sini kami perlu bijak menjaga pemain agar bersedia terutama mental dan fizikal. Semua tugas ini ialah kerja sebagai satu pasukan ‘teamwork’ demi Malaysia." kata Maniam.

"Pemain B-15 ini adalah aset negara dan untuk mengawal disiplin dan mental mereka, Maniam berkata kawalan penggunaan telefon bimbit turut diterapkan."

Apa yang paling kental dizaman ini adalah kawalan penggunaan telefon bimbit yang menjadi pendamping wajib bagi semua.

"Pemain tidak dibenarkan memegang telefon bimbit, hanya dibenarkan pada Jumaat malam dan hari minggu. Pada waktu perlawanan pula telefon bimbit masing-masing akan diambil pada jam 9 malam dan mereka langsung tidak dibenarkan memegang atau menggunakan telefon pada hari perlawanan."

"Ini penting untuk mengawal kekuatan mental mereka terutama dengan pengaruh kuat media sosial ketika ini." dedah Maniam.

Selepas melakar kemenangan di Thailand, Maniam berkata skuad B-15 perlu ‘kerja’ tiga kali ganda dalam persediaan Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020 pada 18-22 September ini di Laos.




Paparkan Komen