The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Ong Kim Swee Ketua Jurulatih Harimau Malaya

Encik Bakri pada January 18, 2016

Teka-teki siapa bakal Ketua Jurulatih Harimau Malaya akhirnya terjawab. Selepas berbulan-bulan FAM berteka-teki dan ramai calon yang disenaraikan dimana akhirnya tiga orang calon disenarai pendek iaitu Ong Kim Swee, Bojan Hodak dan Robert Albert.

Ong Kim Swee Ketua Jurulatih Harimau Malaya

Jurulatih sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee telah secara rasmi diumumkan sebagai ketua jurulatih kebangsaan yang baharu pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Abdul Mokhtar Ahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM pada sidang media berkenaan yang turut dihadiri seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Afandi Hamzah serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Dato’ Mohd Junid Mohd Noor.

Terdahulu, tiga calon akhir yang disenarai pendek – Kim Swee, Robert Alberts dan Bojan Hodak telah ditemuduga sejak pagi tadi dengan setiap mereka diberi peluang untuk membuat pembentangan perancangan masing-masing.

“Ahli panel pemilihan bersama-sama ahli Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM telah bersidang hari ini untuk menentukan siapa calon bagi jawatan ketua jurulatih kebangsaan bagi tahun 2016 dan 2017.

“Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM yang terdiri daripada wakil FAM, MSN, ISN, media serta Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia dan UiTM telah membuat penilaian terhadap ketiga-tiga calon yang hadir pada sesi temuduga, hari ini.

“Setelah meneliti pembentangan yang dibuat ketiga-tiga mereka, kami telah membuat keputusan sebulat suara untuk memilih Datuk Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih kebangsaan bagi tahun 2016 dan 2017.

“Ini keputusan akhir oleh Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM. Lazimnya kami perlu membawa kepada Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk meluluskannya tetapi mesyuarat terakhir Jawatankuasa Eksekutif FAM pada November lalu telah memberi mandat kepada Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM untuk memutuskannya,” kata Abdul Mokhtar.

Kim Swee yang genap mencecah usia 45 tahun pada 11 Disember lalu merupakan bekas jurulatih skuad B-23 negara yang dua kali pernah diberi tugas selaku jurulatih sementara skuad kebangsaan.

Pertama iaitu dari 3 Februari 2014 hingga 28 Jun 2014 selepas kontrak Datuk K Rajagobal sebagai ketua jurulatih kebangsaan tamat dan yang kedua iaitu dari 5 September 2015 hingga ke hari ini selepas Dollah Salleh meletak jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan.

Bagi menggalas tugasan penuh selaku ketua jurulatih kebangsaan mulai hari ini dengan kontrak selama dua tahun, Abdul Mokhtar berkata, Kim Swee telah diberikan tiga kriteria yang perlu dicapainya sepanjang tempoh berkenaan.

“Pertama, salah satu sasaran ialah untuk beliau membawa skuad kebangsaan melepasi perlawanan playoff pada Jun ini untuk melayakkan Malaysia ke saingan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia 2019 yang akan bermula tahun depan.

“Kedua, kita meminta Kim Swee untuk memperbaiki ranking skuad kebangsaan dengan sasaran tangga ke-140 dunia berbanding tangga ke-171 dunia ketika ini.

 “Ketiga, Kim Swee perlu membawa skuad kebangsaan mencapai kejayaan pada saingan Piala Suzuki AFF 2016 yang akan berlangsung di Filipina dan Myanmar dari 20 November hingga 18 Disember ini,” jelas Abdul Mokhtar.

Ditanya kenapa Kim Swee menjadi pilihan Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM berbanding dua calon lain – Alberts dan Hodak, Abdul Mokhtar berkata: “Faktor itu dibuat atas pembentangan yang dilakukan mereka. Kita telah membuat penilaian antara ketiga-tiga calon ini.

“Mereka lebih kurang sama, ada kelebihan dan kekurangan. Namun kita telah membuat rumusan dan inilah keputusan terbaik yang dicapai.”

Sumber : FAM