The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

OKS Ramal Pahang Dan Felda ke Final

Encik Bakri pada December 6, 2015

KUALA LUMPUR: Tuah gelanggang sendiri tidak menjamin kemenangan buat Selangor dan Kedah ketika melayan kunjungan lawan masing-masing pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam ini.

Selangor yang melayan kunjungan juara bertahan, Pahang di Stadium Shah Alam, manakala juara Liga Perdana, Kedah menyambut kedatangan FELDA United FC di Stadium Darul Aman, perlu ‘bekerja lebih keras’ untuk membenam lawan masing-masing.

Pahang dan Selangor terikat tanpa jaringan di Kuantan, Kedah pula membawa kelebihan dua jaringan di tempat lawan ketika seri 2-2 dengan FELDA United di Stadium Selayang, Rabu lalu.

Pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee berasakan pengalaman dan jaringan di tempat lawan akan menjadi pemisah buat empat pasukan terbabit yang beraksi pada separuh akhir kedua, malam ini.

“FELDA United sudah membuktikan betapa peranan ‘orang lama’ cukup penting sehingga mengejutkan juara Piala AFC, Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir.

“Walaupun dari segi jaringan di tempat lawan dalam aksi separuh akhir pertama lebih memihak kepada skuad Helang Merah, FELDA United masih mempunyai kelebihan kerana berada dalam momentum terbaik pada masa ini,” katanya.

Apapun kata Kim Swee, Kedah yang mempunyai bekalan dua gol untuk dipertahankan di tempat sendiri, seharusnya menggunakan kelebihan itu dan memantapkan barisan pertahanan bagi mengelak gawang mereka daripada dibolosi.

“Sesungguhnya kehadiran semula Baddrol Bakhtiar, pemain serba boleh yang mampu menyerang dan bertahan pasti menambah kekuatan pasukan itu.

“Memang diakui ia menjadi tugas sukar buat FELDA United tetapi berdasarkan rekod The Fighters di tempat lawan yang agak baik, selain pemain berpengalaman, mereka mampu melakukan kejutan,” kata Kim Swee.

Berbeza untuk aksi Pahang dan Selangor, katanya tuan rumah pastinya dihimpit tekanan untuk mempertahankan gawang daripada dibocori.

Ini katanya kerana walaupun hanya satu gol dari Pahang yang kemudian diakhiri dengan seri, ia sudah mampu untuk menyekat kemaraan Selangor ke final.

“Bagi saya, kejayaan Pahang mengekang Red Giants meraih sebarang gol di Kuantan kini menjadi bekal terbaik buat Tok Gajah dalam aksi timbal balik ini.

“Walaupun Pahang gagal cari bekalan gol, mereka tidak bolos. Jadi saya lihat kelebihan kini buat Pahang. Kalau dapat satu gol pun sudah cukup untuk meletakkan pasukan Selangor dalam keadaan tertekan,” katanya.

RAMALAN ONG KIM SWEE

Pahang 2 Selangor 1
FELDA United 1 Kedah 0

Sumber :
http://www.bharian.com.my/node/102528″>http://www.bharian.com.my/node/102528