The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Gambar: Harian Metro

Nur Amisha Azrilzal Juara Kejohanan Muaythai Remaja Dunia di Bangkok

Encik Bakri pada August 31, 2016

Petinju Muaythai negara Nur Amisha Azril Rizal mengharumkan nama Malaysia di bumi Thailand apabila memenangi pi­ngat emas Kejohanan Muaythai Remaja Dunia di Bangkok dan lebih manis kejayaan itu diraih sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan Ke-59.

Nur Amisha yang menyertai kejohanan tersebut de­ngan status underdog mengejutkan petinju tuan rumah Phin Pong Ratchada menerusi keputusan knock-out (KO) pada pusingan kedua kategori 54 hingga 57 kilogram.

Nur Amisha, 14, berkata kemenangan itu adalah ha­diah paling bermakna buat dirinya dan mahu dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan.

nur-amisha-azrilzal-juara-kejohanan-muaythai-remaja-dunia-di-bangkok-2
Gambar : Muaythai Malaysia

“Terima kasih kepada Persatuan Muaythai Malaysia dan Persatuan Muaythai Ama­tur Perak terutama kepada ketua jurulatih Perak, Bernard Radin yang telah melatih saya sejak berusia tujuh tahun.

“Saya memang meletakkan harapan untuk memenangi kejohanan ini tambahan pula esok adalah sambutan Hari Kebangsaan, terima kasih kepada semua yang telah membantu saya,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat itu ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Muaythai Malaysia dalam Facebook rasminya hari ini turut mengumumkan Azrizal Azizul Azman berjaya membawa pulang pingat emas dalam saingan Wai Khru Lelaki, malah perak acara tersebut juga milik Malaysia menerusi Aiman Nazmin.

Kejayaan cemerlang atlet muda negara di Bangkok pasti memberi petanda positif buat sukan muaythai tanah air, apatah lagi acara itu bakal dipertandingkan dalam Sukan SEA yang akan diadakan di Kuala Lumpur tahun depan.

Malaysia menghantar 10 petinju ke kejohanan tersebut yang berlangsung sejak 24 Ogos dan akan berakhir 1 September ini.

Sementara itu, bapa Nur Amisha, Azril Rizal Abd. Aziz berkata, beliau seakan dapat menjangkakan kemenangan anaknya itu, namun tidak menjangka diraih menerusi keputusan KO.
“Kejayaan Nur Amisha ini amat membanggakan kami semua tambahan pula ini adalah pingat emas pertama kontinjen Malaysia dalam kejohanan ini.

“Saya berharap pingat emas yang diraih Nur Amisha ini dapat menjadi pendorong kepada rakan sepasukannya untuk mencapai kejayaan sama kerana selepas ini masih ada beberapa atlet kita yang akan beraksi dalam kate­gori masing-masing,” kata Azril Rizal.

Sumber : Utusan Online