The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Nak Jadi Presiden Jiwa Kena Kental & Tahan Maki Kata Rosman Ibrahim

Rusdy Ahmad pada September 20, 2016

Mempunyai minat mendalam terhadap bola sepak, mampu membawa masuk sumber kewangan yang banyak dan tahan ‘dimaki’ hamun oleh peminat.

Kriteria Presiden FAM
Kriteria Presiden FAM

Itu tiga kriteria yang perlu adapada mana-mana individu yang berminat menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kata kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Mohd. Ibrahim.

Rosman berkata, kemunculan dua tokoh korporat Datuk Seri Idris Jala dan Tan Sri Tony Fernandes yang berminat menduduki kerusi panas Presiden FAM adalah berita positif buat bola sepak tanah air kerana ia membuktikan masih ada orang yang sayangkan bola sepak negara dan bersedia menghulur bantuan.

Malah katanya, FAS sendiri bersedia untuk mencalonkan salah seorang daripada individu berkenaan sebagai Presiden dengan syarat, mereka benar-benar serius hendak membantu bola sepak dan mampu memenuhi kriteria yang dinyatakan.

“Tan Sri Tony dan Datuk Seri Idris memang layak untuk menjadi Presiden FAM. Namun apa yang penting adakah mereka betul-betul berminat dengan jawatan itu?

“Bagi FAS, sesiapa yang ingin menjadi Presiden mestilah memiliki tiga kriteria. Iaitu mempunyai minat dalam bola sepak, boleh bawa kewangan dan tahan kena maki,” kata Rosman.

Ketika ditanya, di antara Tony dan Idris siapakah yang mungkin mendapat sokongan FAS, Rosman berkata: “Tan Sri Tony mungkin menjadi pilihan.

“Kami sedia mencalonkan beliau sebagai Presiden FAM. Perkara itu boleh dipertimbangkan. Itu pun jika beliau benar-benar berminat”.

Dalam pada itu, Rosman memberitahu, penyokong bola sepak tempatan juga boleh mencadangkan calon yang dirasakan sesuai tetapi dengan syarat individu tersebut benar-benar berminat mengambil alih jawatan Presiden FAM.

“Peminat bola sepak kita selalu cakap tukar Presiden. Jadi, saya fikir apa kata mereka namakan calon yang dirasakan sesuai tetapi jangan bagi nama semata-mata sebaliknya jumpa individu tersebut untuk minta persetujuan. Kemudian, buat surat untuk pencalonan,” katanya lagi.

Malah, Rosman berkata, jika Tony yang merupakan pemilik kelab bola sepak Inggeris, Queen Park Rangers (QPR) berminat untuk menjadi Presiden FAS, dia tidak mempunyai masalah untuk menguruskannya.

Jawatan Presiden FAM mula menjadi bualan selepas Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyuarakan hasrat untuk berundur sejak mengambil alih tugas tersebut pada 2014.

Sumber : Utusan Online


Download aplikasi The Sukan di Google Play