The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Nak Jadi Presiden FAM? Tunggu Dulu Tony Kata KJ

Rusdy Ahmad pada September 11, 2016

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menasihati Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes yang menawarkan diri menerajui FAM, agar memahami perlembagaan badan induk bola sepak itu terlebih dahulu.

Khairy berkata sebagai sebuah persatuan sukan, FAM mempunyai perlembagaan tersendiri dan tidak memerlukan persetujuan beliau.

“Itu (pemilihan presiden FAM) terpulang pada ahli gabungan FAM dan secara jelas dalam perlembagaan ada dinyatakan kaedah pemilihan (jawatan) sama ada melalui pemilihan Kongres FAM dan mendapat sokongan ahli gabungan.

“Jadi kalau nak jadi Presiden FAM, perkara pertama nasihat saya kena faham perlembagaan. Kalau suruh menteri jawab itu maknanya dia tak faham perlembagaan. Menteri tak boleh tentukan sebab FAM dipilih secara demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sik di sini hari ini.

Khairy mengulas laporan media yang menyatakan kesediaan Tony yang juga pemilik kelab bola sepak Inggeris Queens Park Rangers (QPR) untuk menerajui FAM sekiranya diberi peluang.

Dalam kenyataannya Tony dikatakan meminta media untuk bertanyakan kepada Khairy selaku Menteri Belia dan Sukan sekiranya mahu beliau (Tony) menjadi Presiden FAM.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Khairy percaya kontinjen negara di Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil mampu menyumbang pingat dalam tiga acara akhir olahraga esok iaitu lontar peluru, lompat jauh dan 100 meter lelaki.

Tiga atlet paralimpik yang akan menggalas cabaran pada pagi esok ialah Ziyad Zulkifli (lontar peluru F20), Mohd Ridzuan Mohd Puzi (100m lelaki T36) dan Abdul Latif Romli bagi acara lompat jauh T20.

“Kita tidak sasarkan warna pingat tapi kita yakin ketiga-tiga atlet ini mampu sumbang pingat untuk negara,” katanya.

Sumber : Bernama


Download aplikasi The Sukan di Google Play