Muzik Rap Untuk Bola Sepak : Membina Atau Membunuh?

Perakmania oleh Perakmania 7 bulan yang lalu

Sebelum bermula Liga Super 2017, ada terlintas di hati saya sempena penjenamaan semula Perak FA dengan menyajikan lagu semangat berunsur Rap kepada Fan Perak melalui PerakMania. Hal ini telah dilakukan oleh beberapa pasukan yang memulakan kempen dengan dengan muzik rap yang mewakili muzik moden untuk menaikkan semangat penyokong hadir ke stadium.

Namun begitu setelah saya membuat sedikit kajian dari Liverpool hingga ke Malaysia mengenai kaitan antara muzik Rap dan sukan bola Sepak terus saya membatalkan niat saya untuk membuat satu tribute Rap kepada Perak FA. Sebab apa tuan-tuan?

Kebanyakkan pasukan yang menggunakan lagu RAP mengalami kemurungan prestasi dan bergelut mencari sinar.

Liverpool - Anfield Rap (Red Machine in Full Effect)

Sebagai pelopor yang membawa unsur-unsur hiphop dan Rap dalam dunia bola dan diyakini hampir kesemua fan Liverpool dari golongan Hip Hop. Berbeza sungguh dari apa yang kita ketahui bahawa pelopor muzik Roll and Roll, The Beatles yang juga berasal dari Liverpool.

Anfield Rap (Red Machine in Full Effect) merupakan lagu yang dikeluarkan sebelum Final Piala FA 1988 di mana Liverpool bertemu dengan Wimbledon FC. Lagu ini telah dihasilkan oleh pemain tengah Liverpool sendiri ketika itu iaitu Craig Johnston, Derek B iaitu seorang rapper terkenal ketika itu dan Mary Byker.

Apa yang menarik, lagu ini telah menduduki carta hit UK ketika itu. Di dalam muzik Rap, seperti kita sedia maklum, akan ada unsur bahan membahan.

Bagi lagu ini , ia telah dinyanyikan oleh pemain Liverpool sendiri John Aldridge dan Steve McMahon dimana mereka telah membahan dan mengejek pemain Liverpool yang lain seperti John Barnes, Bruce Grobbelaar, Craig Johnston, Kevin MacDonald, Gary Gillespie, Steve Nicol, Ronnie Whelan, Alan Hansen, Ray Houghton, Jim logo pasukan, Nigel Spackman dan Jan Molby, dan tidak dilupakan pengurus ketika itu Kenny Dalglish.

Sebenarnya lagu ini adalah parodi dari beberapa trek hip hop terkenal ketika itu dan mereka telah padatkan menjadi sebuah lagu terutamanya intro dari LL Cool J "Rock the Bells" dan Eric B. & Rakim "I Know You Got Soul" .

Selain itu, apa yang menarik ialah kita dapat kesan unsur muzik dari The Beatles di dalam lagu “ Twist and shout”. Untuk itu, adalah tidak mustahil kita melihat Liverpool sebagai pasukan yang agak kelakar hingga ke hari ini.

Negeri Sembilan - Rembau Most wanted, Waghih

"Kito monang kito monang yo
Duo satu kocik bonar
Ompek satu sonyum lebar "

Siapa yang tidak dapat melupakan bait-bait lirik lagu ini dimana sampai ke hari ni penyokong Nogori senyum lebar. Dengan lirik yang agak padu, Rapping dari Waghih ini dapat saya nyatakan sebagai satu sumpahan kepada pasukan Negeri Sembilan.

Memulakan kempen 2012 di liga Super 2012 dengan Piala Sumbangsih dan pasukan ini terus mara ke suku akhir Piala Malaysia 2012 maka 2013 melalui lagu Rembau Most Wanted ini mereka terus tersingkir ke liga Perdana 2014 sehingga ke hari ini.

Namun begitu, apa yang membanggakan ialah kerjaya Waghih terus maju dan berjaya hingga ke hari ini, Tahniah Jang.

Penang FA - Haria Penang Haria, Nawi feat. Al-Z (NtahSape2Ntah) & Muariffah

Rapping yang agak menarik serta padu. Kedengaran bunyi trompet dan lirik-lirik rapping yang menggambarkan pasukan Penang FA. Tidak cukup dengan sekitar stadium bandaraya, sekitar Georgetown, mereka membuat video klip terus ke stadium Batu Kawan.

Lagu ini dikeluarkan pada 2014 sebagai satu amaran kebangkitan Penang FA. Wow, bunyi macam power tapi sebenarnya sumpahan baru bermula.

SAYA BUKAN CERITA LEBAT NI BETUI SAYA HABAQ
NANTI SAMPAI SATU MASA HAMPA SEMUA PAKAT KETAQ
MAI LA APA PUN SEMUA BENDA KAMI LANGGAQ

AMARAN DAH DIBERI, JANGAN KATA CHEQ TAK HABAQ

Tahun 2014 ketika lagu ini dikeluarkan memang kita akui pasukan Penang FA memang agak kuat di liga Perdana dan mereka berjaya naik ke Liga Super 2016. Namun begitu pada 2016 , prestasi yo-yo mereka di liga Super hampir melayakkan mereka kembali Liga Perdana 2017.

Namun begitu tahun 2016, apa yang menarik ialah kemenangan Faiz Subri melalui anugerah PUSKAS. Jadi 2017, sekiranya mereka kembali ke liga perdana, rasa molek benar mereka hayati bait-bait lirik Haria Penang Haria.

Selangor FA - VIVA Selangor, KRU

Saya kurang pasti samada generasi baru penyokong bola sepak Selangor hari ini kenal lagu ini. Yela, pintu stadium Shah Alam pun boleh ada penyokong generasi baru ini sesat. Berbalik kepada lagu VIVA Selangor oleh KRU ini, bila pasukan dah power, akan datanglah artis-artis tumpang populariti untuk meraikan bersama-sama pasukan.

Lagu ini tahun 1997. Memang klasik betul cara rapping tahun ini dan dikatakan bahawa lagu ini telah dinyanyikan oleh para pemain Selangor ketika itu zaman itu Zainal Abidin Hasan, Shahril Arsad, K. Sambagamaran, Tony Cottee, Azman Adnan dan lain-lain.

Satu rangkap satu pemain menyanyikannya. Jujurnya lagu ini kedengaran seperti lagu Drama Cili Padi yang begitu popular ketika itu. Konsep menggunakan pemain untuk menyanyikan lagu rap ini telah digunakan 10 tahun sebelum itu oleh Liverpool.

Selepas itu Selangor terus terumbang-ambing mungkin kerana enjin VIVA Selangor hanya 660cc.

Kelantan FA - Oghe Kito Official, Iwere feat dikir warriors

Rapping mamat ni memang power, 2 3 perkataan sesaat. Tak ramai orang boleh buat, namun begitu lirik dia lebih kepada ceritakan mengenai masyarakat. Memang jauh la nak dengar pasal bola Kelantan.

Perak FA - Ipoh Mali (Point Blancs)

Lagu sedap tapi langsung tiada kaitan dengan Bola Sepak sebaliknya menceritakan pasal kehidupan dia di Ipoh. Padahal lagu Ipoh Mali tu asalnya dari stadium.

Bonus Trivia Aiman Tino - Menunggu Mati

Lagu ini sememangnya membunuh walaupun tiada kaitan dengan bola sepak dan RAP. Setia seorang Aiman menunggu meski pun maut mendatang menjemput beliau. Aiman juga menghitung menunggu mati dengan harapan permergian beliau merupakan sesuatu yang terbaik.

Aiman Tino atau nama sebenarnya, Mohd. Aiman Yusri, tidak menduga lagu demo yang dirakam oleh bapanya mengundang perhatian pemain gitar kumpulan Khalifah, Harry, yang kemudian mencadangkan kepada Aries Music untuk diambil sebagai artis rakaman.

Aiman Tino, 18 tahun, telah berjinak-jinak dengan dunia nyanyian sejak berusia 10 tahun dan sering terlibat dalam aktiviti kesenian di sekolah. Beliau mendapat bimbingan daripada bapanya, Yusri Ishak, merupakan finalis Bintang HMI 1992.

Menurut Aiman Tino, lagu KuRela Dibenci ciptaan bapanya itu mulanya telah dimuatnaik ke laman Youtube dan mendapat tontonan seramai 30 ribu dalam masa 3 bulan, tetapi dinyahkeluarkan setelah menandatangani kontrak bersama Aries Music.

"Saya akui ia satu kesilapan, tetapi lagu itu kini telah dimuatturun semula oleh pihak Aries Music dalam versi rakaman," jelasnya.

Boleh bermain gitar, menurut Aiman Tino dia mahu bersungguh-sungguh setelah bergelar artis rakaman selain membantu keluarganya dalam perniagaan restoran.

Restoran Asam Pedas mereka terletak di Dataran Kuala Kubu Bahru, Selangor.

Selain menyanyi dan bermain gitar, Aiman Tino juga pakar menggoreng Char Kue Teaw dan di restoran keluarganya itu terdapat papantanda bertulis Aiman Char Kue Teaw.

Selain Char Kue Teaw, beliau juga pakar membuat sambal nasi lemak.

"Memang saya telah diajar membuat sambal nasi lemak oleh bapa sejak kecil dan kini sayalah yang membuat sambal nasi lemak yang dijual di restoran kami," katanya gembira walaupun sentiasa menunggu mati.




Paparkan Komen