Mourinho: Mbappe Lebih Bernilai Daripada Messi & Ronaldo

Izuddin oleh Izuddin 2 bulan yang lalu

Jose Mourinho percaya kebolehan yang ditunjukkan Kylian Mbappe pada usia yang sangat muda membuatkan beliau lebih bernilai daripada Lionel Messi mahupon Cristiano Ronaldo.

Pengurus berasal dari Portugal itu juga percaya Mbappe patut diangkat menjadi pemain paling mahal di dunia, lebih bernilai daripada mana-mana pemain terkenal masa kini.

Jika Safawi Rashid dianggap pemain paling mahal di Malaysia, Perancis pula mempunyai Mbappe sebagai jawapan kepada Safawi

Walaupun masih belum mencecah usia 21 tahun, bintang Paris Saint-Germain itu sudah berjaya memenangi Piala Dunia dan menjulang trofi kejuaraan Ligue 1 sebanyak dua kali. Mbappe juga telah menjaringkan 55 gol di peringkat tertinggi dan diundi pada kedudukan ke-4 dalam undian Ballon d'Or bagi tahun 2018.

Disebabkan pencapaian tersebut, Mourinho meletakkan nilai yang sangat tinggi terhadap Mbappe, melebihi nilai yang ada pada Messi dan Ronaldo.

Lebih menarik, bekas pengurus Manchester United, Inter Milan dan Real Madrid itu juga mendakwa Mbappe akan menerima yuran perpindahan yang lebih tinggi berbanding Neymar yang kini memegang rekod dunia sebagai pemain termahal dunia dengan nilai sekitar £200 juta.

Faktor usia menyebabkan nilai Ronaldo dan Messi menurun.

"Untuk pemain seperti Mbappe, apabila anda bercakap mengenai masa depan, anda tidak perlu bercerita mengenai kemampuan pemain tersebut selepas 5 tahun atau 10 tahun."

"Anda hanya perlu fokus pada waktu sekarang. Mbappe sekarang sudah cukup menakjubkan."

"Saya rasa melihat pada umur beliau dan berdasarkan umur Ronaldo dan Messi yang masing-masing berusia lebih 30 tahun, dan Neymar yang kini berusia 27 tahun.... saya rasa Mbappe adalah pemain paling berharga di dunia jika kita mengambil kira faktor usia dalam pasaran perpindahan pemain."

"Mbappe adalah pemain paling mahal di dunia sekarang. Dari segi kualiti, kebolehan Mbappe sungguh sukar untuk dipercayai. Ia sudah cukup untuk menggambarkan beliau sebagai seorang pemain kerana beliau mampu melakukan semua perkara."

Dalam perlawanan terakhir PSG menentang Marseille sebelum saingan domestik berhenti rehat, Mbappe berjaya menjaringkan satu gol untuk membantu pasukannya meraih 3 mata penuh.

Namun beliau terpalit dengan kontroversi kerana enggan memberikan sepakan penalti kepada Angel Di Maria untuk mencetak hatrik pada penghujung permainan. Tambah malang, Mbappe gagal menyempurnakan sepakan penalti itu.

Mbappe kini sudah menyertai kem kebangsaan Perancis menjelang pusingan kelayakan Euro 2020 menentang Moldova dan Iceland.

Mbappe sudah biasa menjadi sasaran pihak lawan di atas padang, sama seperti Neymar.

Ketika bercakap kepada pemberita menjelang pertemuan tersebut, jurulatih Perancis Didier Deschamps memuji kematangan yang dipamerkan Mbappe dan kebolehan pemain tersebut untuk menyerlah walaupun menjadi sasaran pemain lawan.

"Beliau mempunyai kebolehan yang mana beliau mampu menghadapi cabaran yang sukar di atas padang. "

"Beliau bijak mengatasi situasi sukar. Beliau sudah biasa dengan situasi sukar di atas padang. Beliau merasai layanan seperti itu sejak permulaan karier beliau lagi. Beliau akan terus menjadi sasaran pemain lawan sehingga penghujung kariernya kerana kemampuan beliau di atas padang."




Paparkan Komen