Mourinho: Lukaku Tahu Beliau Mampu 'Ayamkan' Lovren Sebelum Perlawanan

Izuddin oleh Izuddin 9 bulan yang lalu

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengakui beliau gembira melihat Romelu Lukaku memberikan mimpi ngeri kepada pemain pertahanan Liverpool, Dejan Lovren dalam perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan 2-1 berpihak kepada United.

Pemain antarabangsa Belgium ini dilihat berjaya 'mendominasi' Lovren sepanjang perlawanan dan menerima pujian dari Mourinho atas sumbangannya kepada pasukan walaupun gagal menjaringkan sebarang gol.

Lukaku yakin mampu 'ayamkan' Lovren sebelum perlawanan dan itulah yang beliau berjaya lakukan

Pemuda muda sensasi England, Marcus Rashford menjadi wira buat Manchester United selepas berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut.

Kali terakhir Rashford menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan adalah pada Februari 2016 ketika beliau melakukan debut menentang Arsenal.

Kesilapan pemain pertahanan antarabangsa Ivory Coast, Eric Bailly menjaringkan gol sendiri pada minit ke-66 memberikan harapan kepada Liverpool dan membuatkan perlawanan menjadi lebih menarik.

Anak buah Jurgen Klopp melakukan serangan bertali arus selepas itu ke arah kubu United tetapi gagal benar-benar menguji David De Gea. Kemenangan ini meletakkan United 5 mata di hadapan Liverpool dalam persaingan merebut tempat ke-2 dalam Liga Perdana Inggeris.

Akhirnya kemarau gol dalam 10 perlawanan berakhir 

Lovren dan seorang lagi pemain pertahana Liverpool, Trent Alexander-Arnold mengharungi 90 minit yang ingin dilupakan kerana mereka berdua gagal mengekang gandingan Lukaku-Rashford dari mencetuskan onar di kawasan gol Liverpool.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan tersebut, Mourinho gembira dengan impak yang dihasilkan Lukaku dalam perlawanan tersebut dan mendakwa beliau tidak menyuruh anak buahnya menyasarkan Lovren ketika melakukan serangan.

"Saya memberikan beberapa pilihan kepada pemain. Saya bukan seorang pengurus yang mekanik. Saya tidak akan menyuruh pemain A memberi bola kepada pemain B, dan B kepada C, dan C kepada D. Kami merangka beberapa pilihan untuk dipilih pemain."

"Kami juga mempunyai pilihan untuk melakukan hantaran tinggi kepada Scott McTominay dan juga melambungkan bola tinggi di bahagian Andrew Robertson. Lukaku berasa sangat yakin mampu mendominasi Lovren berdasarkan pengalaman beliau berhadapan dengan pemain tersebut sebelum ini."

Mourinho juga sempat memberikan pujian kepada pemain muda United, Marcus Rashford yang mengakhiri rentetan 10 perlawanan tanpa sebarang gol.

Mourinho percaya dua gol yang berjaya dijaringkan beliau di hadapan pengurus England, Gareth Southgate akan menaikkan keyakinan diri Rashford.

"Rashford berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan penting menentang pasukan besar. Apa yang bagusnya adalah beliau menjaringkan gol pertamanya menerusi peluang pertama beliau."

"Beberapa bulan sebelum ini, beliau bergelut untuk melakukan perkara tersebut dan gol tadi diharap mampu menaikkan keyakinan beliau."

Rashford dikeluarkan pada minit ke-70 dan digantikan dengan Maroune Fellaini dengan Mourinho berusaha untuk memperkuatkan bahagian pertahanannya yang diserang bertali arus Liverpool.

Tindakan mengeluarkan Rashford tidak disenangi penyokong tuan rumah tetapi Mourinho berkata beliau tidak kisah dengan perkara tersebut.

Mourinho puji tindakan McTominay mengekalkan penguasaan bola United pada lewat permainan

Selain itu, penyokong United juga menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadapp McTominay apabila pemain tersebut membuat hantaran ke belakang ketika pasukan berpeluang melakukan serangan balas. Mourinho jelas tidak senang dengan reaksi tersebut dan memuji McTominay atas tindakan beliau itu.

"Penyokong boleh buat apa yang mereka mahu lakukan. Saya tidak berasa kecewa dengan reaksi mereka, tetapi saya lebih kecewa dengan reaksi mereka terhadap Scott McTominay.

"Pemain muda berusia 20 tahun membuat keputusan yang betul sepanjang perlawanan tetapi peminat mahu McTominay melakukan tindakan yang salah."

"Apabila McTominay bertindak menghentikan intensiti permainan, beliau memilih untuk tidak hilang bola dan mengekalkan penguasaan bola dengan melakukan hantaran ke belakang. Ia merupakan satu jalan penyelesaian yang sangat baik, dan ramai pemain berpengalaman tidak melakukan tindakan tersebut."




Paparkan Komen