The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Masuk Secara Percuma Perlawanan Malaysia vs Papua New Guinea

Encik Bakri pada November 11, 2016

FAM melalui laman sesawang rasminya telah mengeluarkan kenyataan untuk siaran media telah mengumumkan bahawa tiada tiket dikenakan untuk perlawanan Malaysia vs Papua New Guinea dan masuk adalah percuma sebagai menghargai para penyokong.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan bahawa tiada tiket akan dikenakan kepada para penyokong untuk hadir menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa “A” antara Malaysia menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada Isnin ini, 14 November 2016, sepak mula jam 3.00 petang.

Setiausaha Agung FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata, keputusan berkenaan dibuat sebagai menghargai sokongan penuh para penyokong setia skuad Harimau Malaysia yang tetap hadir ke stadium setiap kali perlawanan membabitkan skuad kebangsaan sepanjang tahun 2016 biarpun dikenakan bayaran tiket sebelum ini.

“Mengikut ketetapan, tiket bagi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” membabitkan skuad kebangsaan adalah berharga RM30 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

“Tapi sebagai penghargaan kepada para penyokong untuk tahun 2016 dan pada masa sama perlawanan menentang Papua New Guinea ini juga adalah perlawanan terakhir skuad Harimau Malaysia sebelum beraksi pada Piala Suzuki AFF 2016, pihak FAM telah bersetuju untuk para penyokong masuk percuma ke perlawanan pada Isnin ini,” kata Dato’ Haji Hamidin, hari ini.

Perlawanan menentang Papua New Guinea, Isnin ini merupakan perlawanan kelima di laman sendiri buat skuad Harimau Malaysia bagi tahun 2016 selepas aksi persahabatan bertemu Macau di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 28 Mac, dua aksi Play-off Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor-Leste di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada 2 dan 6 Jun serta aksi persahabatan bertemu Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berharap para penyokong dapat menggunakan peluang masuk percuma ini dengan sebaiknya untuk mereka sama-sama hadir membanjiri stadium pada Isnin ini memandangkan ia aksi terakhir skuad Harimau Malaysia sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar pada 16 November ini bagi memulakan kempen Piala Suzuki AFF 2016.

“Sudah tentu sebagai jurulatih, saya mahu melihat stadium kita dibanjiri para penyokong setiap kali kita beraksi di gelanggang sendiri kerana ia secara tidak langsung akan memberi semangat tambahan kepada para pemain bagi mereka memperagakan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan.

“Lagipun ini merupakan pentas terakhir sebelum saya menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala Suzuki AFF 2016. Jadi harap dengan kemasukan percuma ini, lebih ramai penyokong akan dapat sama-sama hadir ke Stadium Shah Alam, Isnin ini bagi memberikan sokongan,” kata Kim Swee.

Sepak mula perlawanan menentang Papua New Guinea ini ditetapkan pada jam 3.00 petang bagi membolehkan skuad Harimau Malaysia menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas memandangkan dua perlawanan awal Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016 bertemu Kemboja (20 November) dan Vietnam (23 November) di Yangon akan berlangsung jam 3.00 petang.


Download aplikasi The Sukan di Google Play