The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Malaysia Bakal Ke Piala Dunia 2034

Encik Bakri pada August 14, 2015

Cadangan Malaysia untuk memulakan kajian mengenai kemungkinan Asia Tenggara akan membida tuan rumah bola sepak Piala Dunia 2034 telah dipersetujui semua negara ASEAN, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy, persetujuan tersebut dicapai dalam mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN Ke-3 di sini semalam, dan mereka akan meminta Persekutuan Bola Sepak ASEAN untuk segera me­lakukan kajian, sebelum keputusan diserah kepada kerajaan negara masing-masing.

1409402-world_cup_trophy

Katanya, hasil kajian itu nanti akan menentukan sama ada negara ASEAN wajar membida hak tuan rumah Piala Dunia dan sekiranya mereka mengambil keputusan untuk membida, maka satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan.

Kajian tersebut dijangka siap tahun depan, manakala jawatankuasa untuk membida Piala Dunia 2034 akan ditubuhkan setahun atau dua tahun selepas itu bagi membolehkan proses bidaan dilakukan pada 2019.

“Ini bukan bidaan tetapi satu kajian untuk langkah awal kita menilai sama ada boleh atau tidak membida tuan rumah Piala Dunia 2034.

“Sebelum membida kita perlu membuat kajian dan mengambil kira beberapa faktor kerana pada akhirnya nanti bukan semua negara ASEAN terlibat sebagai tuan rumah berikutan tidak diterima oleh pihak FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

“Bagaimanapun, pihak FIFA mungkin akan mempertimbangkan jika ada empat negara menjadi tuan rumah bersama dan itu semua tertakluk kepada perbincangan dengan badan induk bola sepak dunia tersebut,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN Ke-3 2015, di sini, semalam.

Sementara itu, Khairy turut memberitahu, Malaysia turut telah mengutarakan beberapa cadangan pada mesyuarat tersebut untuk dinilai sebelum dipersetujui bersama.

Antara cadangan yang diutarakan adalah pelaksanaan Liga Super ASEAN, Hari Sukan ASEAN dan penganjuran Sukan SEA untuk atlet pelapis.

“Secara keseluruhan saya puas hati dengan mesyuarat hari ini dan semua negara ASEAN komited dengan sukan untuk menyatukan negara dan bertukar-tukar pandangan dalam usaha membantu meningkatkan sukan di rantau ini.

“Semua cadangan tersebut akan dikaji oleh pegawai kanan sukan negara masing-masing sebelum sebarang keputusan dibuat,” kata Khairy.

– http://www.utusan.com.my


Download aplikasi The Sukan di Google Play