The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

MALAYSIA 1-1 TIMOR LESTE : 5 PERKARA YANG KITA PELAJARI

Eikrem pada June 12, 2015

Gol minit kecederaan Ramon Raso menjadikan seluruh bumi Malaysia berduka lara. Malaysia gagal menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri dalam perlawanan pembukaan kelayakan Piala Dunia 2018.

Kalau di stadium, penyokong membaling bungkusan kuaci sebaik Ramon menjaringkan gol. Di rumah TV diherdik tanpa rasa belas kasihan.

Berikut 5 perkara yang dipelajari dari perlawanan semalam.

  1. Junior Eldstal belum mampu untuk bermain di ‘Makalele Role’.

Jika dilihat dalam perlawanan tersebut, Junior diletakkan di posisi Makalele role, di belakang Safiq Rahim. Tugas utamanya adalah menjadi ball winner, merampas bola dari pemain Timor Leste di kawasan separuh kedua padang.  Akan tetapi, pergerakannya perlahan dan seolah-olah gagal memahami positioning yang sepatutnya. Acap kali Junior gagal berada di posisi yang tepat dan membenarkan Timor Leste mengatur rentak permainan mereka sendiri.

Sepatutnya Nasir Basharuddin diberi peluang untuk posisi ini kerana Nasir dilihat mempunyai work rate yang tinggi di samping pecutan yang lebih laju dari Junior, walaupun secara fizikalnya Junior mempunyai kelebihan.

  1. Malaysia masih memerlukan Safee Sali

Safee yang menjaring. Pemain ini pernah dikutuk kerana gambarnya merokok di Singapura sewaktu Piala AFF Suzuki 2014, dan juga prestasinya yang terumbang ambing. Beliau juga dikutuk kerana terlalu emosi di media sosial. Itu cerita lama.

safee

Safee mempunyai satu kelebihan. Hanya satu. Fox in the box, dengan kata lain dia adalah seorang yang berbahaya di dalam kotak penalti. Tendangannya padu dan tepat. Jika dia boleh memantapkan lagi permainnanya di luar kotak penalti, dia akan menjadi yang lebih digeruni.

  1. Safiq yang menghilang

Safiq Rahim gagal memindahkan prestasinya bersama JDT ke skuad kebangsaan. Bersama JDT, Safiq menunjukkan bahawa dia adalah pemain tengah perancang terbaik negara. Hantaran pendek, jauh, bermain 1-2 kebanyakannya menjadi. Akan tetapi, semua itu tiada di dalam perlawanan menentang Timor Leste. Hantaran cross-field darinya tidak sampai kepada rakan, bola through tidak dapat dilihat dan sepakan percumanya sekadar menghentam benteng pihak lawan. Segalanya tidak menjadi bagi kapten Malaysia.

  1. Malaysia memerlukan pakar psikologi

Jika di eropah, kebanyakan kelab dan pasukan negara menggunakan khidmat pakar psikologi untuk membantu meningkatkan kekuatan mental pemain pasukan mereka. Di Malaysia, perkara ini cukup asing. Pemain masih lagi gagal menghilangkan rasa gemuruh walaupun sudah berada di padang selama 15 minit. Contohnya Afiq Azmi. Dia mempunyai dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol, tetapi dilepaskan.

Juga, pakar psikologi diperlukan untuk membantu pemain kekal focus sepanjang 90 minit perlawanan. Pemain Malaysia, baik bersama skuad kebangsaan atau liga tempatan, mereka mudah kehilangan fokus apabila perlawanan memasuki minit 70 atau 80. Jika perkara ini dapat diatasi, Malaysia pastinya dapat menambah lebih banyak jaringan pada hujung-hujung permainan kerana pemain Timor Leste ramai yang sudah kepenatan.

Gol yang dijaringkan Ramon juga disebabkan pemain Malaysia hilang fokus dan sekadar menonton sahaja Ramon menanduk bola terus ke dalam gol. Tiada siapa pun yang mencabar bola tersebut.

  1. Malaysia memilih jalan sukar.

Enam mata wajib sepatutnya dikumpul menentang Timor Leste dan Palestin. Akan tetapi dua mata telah keciciran. Jadi untuk perlawanan berikutnya menentang Palestin pada 16 Jun ini, Malaysia perlu menang dengan jumlah jaringan yang besar. Ini akan menjadi bekalan untuk sekurang-kurangnya menduduki tempat ke dua dalam kumpulan dan melayakkan diri ke pusingan ke tiga kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Selepas Palestin, Malaysia akan berhadapan dua gergasi bola sepak Asia, UAE dan Arab Saudi. Jika dapat memenangi kedua-dua perlawanan ini, Malaysia akan menjadi satu nama yang perlu diberi perhatian oleh bola sepak Asia.


Download aplikasi The Sukan di Google Play