The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Gambar: FAM

Lupakan Emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 – Frank Bernhardt

Encik Bakri pada August 30, 2016

KUALA LUMPUR 29 Ogos – MALAYSIA mungkin boleh melupakan pingat emas apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 (KL 2017) jika beberapa masalah yang menyelubungi skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) gagal diatasi, kata ketua jurulatihnya, Frank Bernhardt.

Antara perkara paling membimbangkan jurulatih kelahiran Jerman itu adalah kurangnya aksi antarabangsa serta tempoh menyediakan pasukan yang terlalu singkat.
Tegasnya, jika beliau hanya dibenarkan mengumpulkan pemain mengikut jadual yang ada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), keadaan pasti sangat sukar.

“Jika kami hanya mengikut jadual sedia ada dalam kalendar FIFA, bermakna kita cuma ada dua perlawanan tahun depan.

“Ia tidak cukup untuk persiapan skuad negara, apatah lagi jika kita mahukan pingat emas Sukan SEA,” katanya dalam sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan menentang skuad bawah 22 Bahrain di sini, hari ini.

Kali terakhir skuad muda negara ini dikumpulkan adalah ketika aksi persahabatan di Jepun, Jun lalu dan selepas itu semua pemain kembali ke pangkuan pasukan negeri atau kelab masing-masing untuk mengharungi Liga Malaysia.

Selepas aksi pertama menentang Bahrain di Stadium Shah Alam esok (8.45 malam), skuad B-22 akan bertemu pasukan yang sama di Stadium Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Jumaat ini pada pukul 4.45 petang.

Bernhardt turut menyuarakan keresahan atas kelewatan pemain melapor diri kerana terikat dengan tugasan bersama pasukan negeri masing-masing.

“Sepuluh pemain baru melapor diri hari ini kerana mewakili pasukan mereka dalam Piala Malaysia dan lima daripadanya beraksi selama 90 minit semalam.

“Jadi kemungkinan besar saya tidak akan menggunakan mereka esok dan harap peluang ini dapat digunakan sebaik mungkin oleh pemain lain untuk menyerlah,” jelasnya.

Bagaimanapun Bernhardt berharap, penyelesaian terbaik dapat dicapai apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan negeri serta kelab yang diwakili pemain untuk membincangkan mengenai perancangan skuad Projek Sukan SEA 2017.

Pertemuan akan diadakan di Wisma FAM, esok.

Sumber: Utusan Online