Lukaku: Terpulang Kepada Manchester United Untuk Tentukan Masa Depan Saya

Izuddin oleh Izuddin 4 hari yang lalu

Penyerang antarabangsa Belgium, Romelu Lukaku membuat kenyataan secara terbuka meminta Manchester United untuk menentukan masa depannya secepat yang mungkin selepas beliau sekali lagi beraksi cemerlang membantu Belgium menewaskan Scotland dalam perlawanan kelayakan EURO 2020.

Dalam perlawanan pusingan kelayakan untuk ke EURO 2020 malam tadi, Lukaku berjaya menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Scotland. Dengan jaringan tersebut, Lukaku meneruskan rekod baik beliau di peringkat antarabangsa dan kini sudah mengumpul 48 gol bersama Belgium.

Lukaku menyerahkan segala-galanya kepada United mengenai hala tujunya musim hadapan

Walau bagaimanapun, prestasi Lukaku bersama Manchester United terus menjadi perhatian kerana beliau hanya mampu menyumbang 12 gol dalam Liga Perdana Inggeris musim lepas.

Disebabkan ketumpulan Lukaku bersama United, beliau sering menjadi sasaran kritikan peminat sendiri dan spekulasi mula bertiup kencang mengatakan pemain tersebut akan berhijrah pada musim panas ini.

Lukaku dikaitkan dengan perpindahan ke Serie A untuk menyertai Inter Milan dan ejen yang mewakili Lukaku, Federico Pastorella dipetik berkata pada April lalu yang masa depan pemain tersebut akan ditentukan pada penghujung musim ini.

Namun sehingga kini, tiada sebarang pengumuman atau kenyataan rasmi telah dibuat mana-mana pihak mengenai masa depan Lukaku di Old Trafford. Apabila ditanya mengenai masa depan beliau bersama Manchester United, Lukaku menyerahkan segala-galanya kepada pihak kelab.

Tumpul di Olr Trafford tidak memberi sebarang kesan terhadap prestasi Lukaku bersama Belgium

"Segalanya terpulang kepada kelab. Mereka perlu mengeluarkan satu kenyataan. Saya berdiri di sini bukan untuk melayan spekulasi."

"Saya hanya mahu bermain bola sepak dan kita akan lihat apa yang berlaku selepas ini."

Lukaku berpindah ke Old Trafford dalam perpindahan ke-2 termahal dalam sejarah kelab, dimana United membayar £75 juta untuk mendapatkan khidmat Lukaku dari Everton. Ini merupakan musim ke-2 Lukaku bersama Red Devils dan beliau masih mempunyai baki kontrak selama 3 musim lagi.

Pemecatan Jose Mourinho juga tidak banyak membantu situasi Lukaku dan keadaan menjadi bertambah sukar apabila Ole Gunnar Solskjaer lebih gemar menggunakan Marcus Rashford selaku penyerang utama.

Lukaku juga pernah mengeluarkan kenyataan mendakwa impiannya adalah untuk bermain di Serie A suatu hari nanti, lantas menguatkan lagi spekulasi yang mengaitkan beliau dengan perpindahan ke Inter Milan.

Walaupun mengharungi musim yang mengecewakan di peringkat kelab, Lukaku masih mampu mencatatkan purata 1 gol dalam setiap 2 perlawanan. Ia menjadikan Lukaku penyerang ke-12 terbaik dalam ranking penyerang Liga Perdana Inggeris.

Statistik Lukaku musim lepas. Biashe-biashe je

Rakan sepasukan Lukaku di United yang menjadi mangsa semalam, Scott McTominay mengakui Lukaku adalah penyerang berbisa.

"Lukaku adalah penyerang berkelas dunia dan juga rakan baik saya. Beliau seorang yang mampu membunuh - jika diberikan peluang, beliau akan mengambilnya."




Paparkan Komen