Lovren Minta Diiktiraf Sebagai Salah Seorang Pemain Pertahanan Terbaik Dunia

Izuddin oleh Izuddin 5 bulan yang lalu

Pemain pertahanan Croatia, Dejan Lovren percaya beliau merupakan salah seorang pemain pertahanan terbaik dunia ketika ini selepas membantu Croatia menewaskan England dalam pusingan separuh akhir Piala Dunia 2018.

Kecemerlangan Lovren telah membawa dua pasukan berbeza ke pentas akhir dalam kejohanan teragung bola sepak iaitu Champions League bersama kelab power Liverpool dan Piala Dunia membawa negara kelahiran ke final buat pertama kali dalam sejarah Croatia.

Di peringkat kelab, Lovren mengharungi musim yang cemerlang bersama Liverpool dimana beliau membantu kelab tersebut mara sehingga ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dan menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris dalam posisi 4 teratas.

Lovren memeluk hero Croatia selepas England berjaya dihantar pulang

Bekas pemain Southampton ini bakal beraksi dalam perlawanan terbesar bola sepak pada hari Ahad ini apabila turun menentang Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia. Lovren berkata beliau telah membuktikan kemampuan sebenar beliau musim ini selepas sering dikritik kerana kerap melakukan kesilapan ketika bermain dengan Liverpool.

"Pentas final ini bakal menjadi detik yang istimewa buat saya. Dari sudut pandangan saya, ramai pihak mendakwa saya mengharungi musim yang sukar tetapi saya tidak bersetuju dengan pendapat tersebut."

"Saya berjaya membawa Liverpool mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dan sekarang bersama pasukan kebangsaan, saya akan bermain dalam pentas akhir Piala Dunia."

"Saya rasa peminat harus mula menganggap saya sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik dunia dan ini bukan perkara yang tidak masuk akal keluar dari mulut saya."

Lovren mahu lebih kredit kerana berjaya bantu Croatia dan Liverpool mara ke final

Dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia awal pagi tadi, Croatia bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan England 2-1 dalam masa tambahan. England terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan percuma pemain wing-back kanan, Kieran Trippier seawal minit ke-5.

Croatia kembali mengatur perlawanan pada babak kedua dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-68 menerusia Ivan Perisic yang menanduk masuk hantaran cantik daripada Sime Vrsaljko.

Perlawanan terikat 1-1 selepas waktu sebenar tamat dan perlawanan terpaksa dibawa ke masa tambahan. Croatia akhirnya menemui gol kemenangan pada minit ke-109 menerusia Mario Mandzukic yang bijak mencuri ruang di dalam kotak penalti untuk merembat deras bola menewaskan Jordan Pickford.

Dengan kemenangan ini, Croatia bakal tampil dalam perlawanan akhir Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah bola sepak.

Kemenangan ini juga merupakan kemenangan ke-3 berturut-turut dicatatkan Croatia menerusi masa tambahan atau penentuan sepakan penalti. Dalam pusingan sebelum ini, Croatia menyingkirkan Denmark dan Russia menerusi penentuan sepakan penalti untuk layak ke pusingan separuh akhir.

Kieran Trippier memberi harapan palsu kepada rakyat England

"Saya tidak akan melupakan pengalaman ini. Seluruh rakyat Croatia menangis kegembiraan dengan kejayaan ini."

"Ini merupakan detik yang bersejarah buat kami. Kami tidak akan melupakan pengalaman ini. Kami berjaya meleburkan rekod yang dicatatkan pasukan Croatia 20 tahun lepas dengan mara ke pentas final."

"Kami tidak lagi terbeban dengan rekod tersebut dan rakyat Croatia tidak akan melupakan skuad ini buat selama-lamanya. Sekarang kami berpeluang untuk mencatatkan sesuatu yang lebih gemilang dan saya amat berharap kami mampu melakukannya."




Paparkan Komen