Liverpool Sudah Rancang Perarakan Kemenangan Liga Juara-Juara Eropah

Izuddin oleh Izuddin 5 bulan yang lalu

Perancangan telah dilakukan bagi mengadakan perarakan kemenangan sekiranya Liverpool berjaya memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah bakal menemukan dua pasukan yang mempunyai tradisi Eropah yang kuat iaitu Real Madrid menentang Liverpool. Perlawanan tersebut dijadualkan bakal berlangsung pada 26 Mei di Kiev, Ukraine.

Sentuhan trio maut Liverpool amat ditagih bagi merobek bahagian pertahanan Real Madrid

Cadangan mengenai bagaimana perarakan tersebut bakal dilakukan telah dibincangkan lebih awal memandangkan masalah logistik dijangka berlaku pada hari perarakan itu nanti. Masalah logistik dijangkan timbul kerana Bandar Liverpool bakal menjadi tuan rumah kepada dua acara besar pada hujung minggu yang sama iaitu acara 'Three Festivals Tall Ships Regatta' dan 'Bordeaux Wine Festival'.

Sekiranya Liverpool muncul juara di Ukraine, mereka akan pulang ke England pada hari Ahad bersamaan 27 Mei. Keseluruhan pasukan akan diarak menggunakan bas tidak berbumbung dan akan melalui perairan Liverpool yang mana perarakan tersebut dijangka tamat di tapak konsert Liverpool Olympia.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Datuk Bandar Liverpool Joe Anderson, beliau berkata seluruh penduduk Liverpool harus berasa bangga dengan pencapaian pasukan bolasepak Liverpool mara ke perlawanan akhir dan mengharumkan nama bandar tersebut.

Perarakan kemenangan Liverpool selepas menewaskan AC Milan melalui penalti dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim 2004/2005

"Tidak kira sama ada anda seorang Red, Blue atau bukan peminat bolasepak, acara sebesar ini akan memberikan impak yang positif dan sekali lagi bandar ini bakal menarik perhatian dunia."

"Kami semua amat berbangga dengan pencapaian kelab bolasepak Liverpool dan anda sudah dapat merasai suasana teruja dalam kalangan penduduk bandar ini menjelang perlawanan akhir itu nanti."

"Kelab bolasepak Liverpool telah membuat permohonan untuk mengadakan perarakan pada hari Ahda [keesokan hari selepas perlawanan akhir]. Walaupun hari Ahad tersebut bakal menjadi hari yang sibuk bagi bandar ini, kami bersedia untuk menyambut kepulangan 'hero-hero' Liverpool sekiranya mereka berjaya pulang selaku juara."

Jurgen Klopp masih lagi mandul sejak mengambil alih Liverpool

"Saya faham akan ada peminat Liverpool yang kecewa kerana tidak sempat pulang ke Liverpool selepas menonton aksi final di Kiev, tetapi situasi ini serupa dengan tahun 2005 [Liverpool muncul juara Liga Juara-Juara tahun tersebut]. Kami menerima panduan daripada pihak kelab mengenai masa dan tarikh perarakan bakal berlaku."

"Kami semua berharap pasukan Liverpool bakal mencatat kejayaan dalam perlawanan akhir itu nanti seterusnya menaikkan nama Liverpool seperti yang telah mereka lakukan sepanjang kejohanan tersebut."




Paparkan Komen