Lima Pemain Yang Tiada Masa Depan di Real Madrid

Eikrem oleh Eikrem 6 bulan yang lalu

Real Madrid merupakan antara kelab yang paling kaya di dunia, di mana mereka mampu menarik minat dan membeli pemain-pemain terbaik dunia, kecuali Messi, dengan harga yang tinggi. Disebabkan reputasi dan sejarahnya yang gemilang, Real Madrid boleh menukar pemain ibarat menukar baju.

Memandangkan musim ini kian menghampiri penghujungnya, maka semestinya kelab gergasi ini sedang membuat perancangan untuk membawa masuk pemain-pemain kelas dunia yang lain, dan beberapa nama besar dikaitkan dengan kelab Castille ini. Antaranya ialah Pierre-Emerick Aubameyang dan Paulo Dybala, dan oleh sebab itu, beberapa pemain mungkin akan meninggalkan kelab ini pada musim panas nanti.

Berikut adalah lima pemain yang hampir pasti akan berhijrah mencari kelab baru sebaik jendela perpindahan dibuka nanti.

Fabio Coentrao

Bek kiri Portugal ini menyertai Real Madrid pada tahun 2011, selepas beraksi cemerlang bersama Benfica dan pasukan kebangsaan Portugal. Pada awalnya dia kerap juga mendapat tempat dalam perlawanan, namun segalanya berubah pada musim 2014-15 di mana dia banyak menghabiskan masa di klinik desa dan klinik kesihatan untuk menerima rawatan.

Sejak detik itu, Coentrao cuba kembali bermain seperti dulu namun peluangnya ditutup oleh Marcelo yang mendominasi posisi ini. Musim lalu dia dipinjamkan ke Monaco namun sekadar bemain 15 perlawanan. Musim ini pula Coentrao hanya bermain tiga perlawanan, dengan dua daripadanya sebagai pemain gantian.

Destinasi berikutnya buat pemain berbadan kecil ini mungkin kembali ke liga Portugal atau mencari pasukan di Serie A.

Lucas Silva

Selfie je la dia ni lepas main Real Madrid

Lucas Silva menyertai Les Merengues pada Januari 2015 dari kelab Brazil, Cruzeiro. Bersama Cruzeiro, dia dinobatkan sebagai pemain tengah bertahan terbaik dalam Campienato Serie A, sekaligus menarik minat Real untuk membawanya ke Bernabeu. Silva melakukan debut buat Real Madrid pada Februari berikutnya, dan pada musim panas tahun tersebut, Silva dipinjamkan ke kelab Ligue 1, Marseille.

Bersama Marseille, Silva bermain sebanyak lebih 20 perlawanan namun prestasinya jarang berada di tahap yang boleh dibanggakan. Musim berikutnya Silva kembali ke Madrid selama enam bulan, sebelum dipinjamkan ke kelab asalnya, Cruzeiro pada Januari 2017. Real Madrid dijangka bakal menukar kontrak pinjaman tersebut kepada kontrak kekal.

Impian yang berkecai tidak bermaksud hari akan mendung selamanya. Semoga Silva tabah dengan dugaan ini dan mencuba nasib di kelab lain pula. Pasukan Liga Malaysia memang minat import dari Amerika Selatan.

Danilo

Danilo menyertai Real Madrid pada tahun 2015 dari Porto, dan pada musim ini, dia telah bermain sebanyak 15 perlawanan dan menjaringkan satu gol. Kalau nak ikutkan, rekod ini boleh dikatakan satu rekod yang baik, tetapi posisi bek kanan Real Madrid kini telah dipajak oleh Dani Carvajal. Liverpool dikatakan berminat untuk mendapatkan Danilo, namun Danilo difahamkan mahu kembali ke kelab asalnya di Portugal.

Karim Benzema

Karim Benzema membentuk gandingan mantap bersama Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo dan mereka digelar BBC. Sejak menyertai Real Madrid pada tahun 2009, Benzema telah menjaringkan lebih daripada 100 gol buat kelab ini. Walaupun telah menjaringkan 14 gol setakat ini dalam semua pertandingan musim ini, Benzema dikatakan tidak akan kekal di Madrid pada musim hadapan.

Ini kerana ketua jurulatih, Zinedine Zidane dikatakan berminat untuk membawa Pierre-Emerick Aubameyang dan Paulo Dybala ke Santiago Bernabeu. Sekiranya meninggalkan Madrid, kemungkinan besar Benzema akan mengikut jejak langkah Mesut Ozil dengan menyertai Arsenal atau kembali ke Perancis untuk berkhidmat buat PSG.

James Rodriguez

James Rodriguez disambar Real Madrid setelah beraksi cemerlang bersama Monaco di Ligue 1, dan juga membantu membawa Colombia ke suku akhir Piala Dunia 2014. James mempunyai kemampuan untuk menjaringkan gol dari jarak jauh, tetapi peluangnya untuk membarisi kesebelasan utama Real Madrid agak terhad.

Zidane lebih suka menggunakan khidmat Toni Kroos dan Luca Modric, selain James terpaksa bersaing untuk merebut tempat dengan Isco. Difahamkan James amat kecewa dengan peluang yang terhad ini dan sedang mencari kelab yang sudi mendapatkan khidmatnya pada musim hadapan, ditambah dengan khabar angin bahawa Madrid mahu mendapatkan Hazard bagi memperkuatkan lagi bahagian serangan mereka.




Paparkan Komen