Lima Pemain Yang Merosakkan Karier di England

Eikrem oleh Eikrem 8 bulan yang lalu

Berita Gianluigi Donnarumma meminta gaji mahal di AC Milan mungkin belum dapat disahkan secara rasmi namun sudah cukup kuat untuk membuatkan para pegawai di kelab-kelab Liga Perdana Inggeris berada dalam keadaan bagai cacing kepanasan.

Donnarumma menjadi sensasi satu malam (terjemahan terus kepada Overnight sensation) setelah menjadi penjaga gol utama AC Milan pada usia 17 tahun. Dia juga dikatakan bakal menjadi Putera Mahkota kepada Gigi Buffon sebagai penjaga gol utama Italli untuk 20 tahun yang akan datang.

Liga Inggeris sememangnya menjadi mimpi buat kebanyakan pemain bola sepak dunia termasuk Malaysia kerana faktor gaji yang tinggi melampau. Bayangkan pemain simpanan pasukan bawahan (tangga keenam) mampu mendapat gaji lebih £100,000 (RM550,000) seminggu sebelum cukai, sama kan dengan liga Malaysia?

Di sebalik perpindahan berprofil tinggi, tak ramai pemain yang mampu cemerlang di liga Inggeris sekaligus dilabel pemain yang gagal.

Berikut adalah senarai lima pemain yang pernah acah-acah nak jadi bintang di Liga Perdana Inggeris.

Kleberson

Detik terbaik Kleberson di Manchester United ialah bergambar dengan Pak Alex dan Ronaldo ketika hari pertamanya.

Kelab : Manchester United (2003-2005)

Pada tahun 2002, Kleberson berada di kesebelasan utama Brazil dalam perlawanan akhir Piala Dunia menentang Jerman, sebaris dengan Ronaldo Original, Roberto Carlos, Cafu dan Rivaldo. Dek kecemerlangannya juga, pengurus lagenda Manchester United, Sir Alex Ferguson telah membawanya ke England dari Atletico Paranese, bersama-sama dengan Cristiano Ronaldo dan Eric Djemba-Djemba.

Selepas dua musim bersama United, Kleberson berhijrah ke kelab Turki, Fenerbahce selepas tidak mendapat tempat dalam skuad Ferguson. Alasan Kleberson ialah dia tidak mampu menyesuaikan diri dengan kepantasan Liga Inggeris dan menyebabkannya sering memanaskan bangku simpanan.

Andy van der Meyde

Seks, Dadah dan Alkohol - pemusnah karier Van DEr Meyde

Kelab : Everton (2005-2009)

Van der Meyde merupakan antara pemain yang cemerlang bersama Belanda ketika kempen Euro 2004, di mana Belanda menamatkan kempen di separuh akhir, tewas 2-1 di tangan tuan rumah, Portugal hasil jaringan Ronaldo dan Maniche.

Pada tahun 2005, Everton menamatkan liga di tangga keempat dan layak ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara. Dek teruja dadn terkejut dengan pencapaian pasukannya, pengurus lagenda Manchester United dan Everton, David Moyes telah membawa pemain ini ke Goodison Park dari Inter Milan.

Empat tahun kemudian, Van Der Meyde sekadar bermain 20 perlawanan tanpa sebarang jaringan. Apabila ditanya tentang prestasi teruknya di England, Van Der Meyde lebih menyalahkan dirinya sendiri yang gagal untuk setia kepada kekasihnya di Belanda, di samping masalah alkohol dan dadah.

Juan Sebastian Veron

Veron, lagenda yang tak tercapai

Kelab : Manchester United (2001-2003), Chelsea(2003-2005)

Juan Sebastian Veron juga dikenali sebagai The Little Witch kerana gelaran The Witch diberikan kepada bapanya yang juga penyerang utama Argentina suatu ketika dahulu. Veron tiba di eropah pada tahun 1996 dengan menyertai Sampdoria sebelum berhijrah ke Parma dan Inter Milan. Kecemerlangannnya di Inter membuka hati Pak Alex untuk membawanya ke Old Trafford.

Pemain tengah serba boleh ini dibeli untuk mencabar Paul Scholes dan Roy Keane di jentera tengah United namun selepas dua tahun, dia sekadar bermain sebanyak 57 perlawanan buat United. Kalau dilihat jumlah perlawanan, 57 perlawanan selama dua musim merupakan nombor yang memuaskan tetapi bagi kelab yang bermain lebih 50 perlawanan semusim, jumlah itu dikira sedikit.

Demi mendapat lebih perlawanan, Veron dijual kepada Chelsea pada tahun 2003 dan lebih teruk, selepas dua musim Veron sekadar bermain 14 perlawanan dalam semua pertandingan, sebelum kembali ke Itali secara pinjaman.

Kini Veron merupakan pengerusi kelab pertamanya di Argentina, Estudiantes de La Plata, yang juga merupakan kelab terakhirnya sebelum bersara.

Roberto Soldado

Soldado - penjaring penalti terbaik, layak bermain untuk kelab di selatan Malaysia.

Kelab : Tottenham Hotspur (2013-2015)

Pemain lulusan akademi Real Madrid ini mencipta nama di Valencia apabila menjaringkan 81 gol dalam 141 perlawanan, sekaligus membuka hati pengurus Spurs ketika itu, Tim Sherwood untuk memecahkan rekod perpindahan kelab dan membawa Soldado ke White Hart Lane.

Akan tetapi segalanya tidak menjadi buat Soldado yang sekadar menjaringkan 7 gol dalam 52 perlawanan liga dan majority daripadanya adalah penalti dan menyebabkan Mouricio Pochettino menjualnya kepada Villareal.

Pembeliannya diharapkan mampu menjadi Robbie Keane berikutnya, namun dia sekadar menjadi Bobby Zamora.

Andriy Shevchenko

Shevchenko telah menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Istanbul menentang Liverpool.

Kelab : Chelsea (2006-2008)

Lagenda AC Milan ini mula bermain untuk kelab Itali pada tahun 19969 sehingga 2006, dengan 127 jaringan dalam 226 perlawanan, tak termasuk gol di peringkat eropah. Oleh kerana ketajamannya di hadapan gol, rakan karibnya yang juga pemilik Chelsea membelinya dari Milan dengan harga £30 juta.

Pengurus Chelsea ketika itu pada mulanya enggan membeli pemain Ukraine ini kerana baginya Sheva tidak sesuai dengan corak permainan yang diterapnya bersama The Blues, namun akhirnya akur dengan arahan daripada bos besar.

Di England, Sheva sekadar meredkodkan 9 gol dalam 48 perlawanan domestic, sekaligus memadamkan aura hebatnya bersama AC Milan suatu ketika dahulu. Pada tahun 2008 dia kembali ke Milan selama semusim namun sekadar menjaringkan 2 gol dalam 20 perlawanan, tidak cukup banyak bagi pemain hebat sepertinya.

Pada 2009, Sheva kembali ke Kiev dan bermain sehingga 2013 di mana dia telah mengakhiri kariernya sebagai seorang pemain. Kini dia adalah pengurus skuad kebangsaan Ukraine dan mula memegang jawatan tersebut sejak 2016.




Paparkan Komen