The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Liga Perdana: T-Team Kekal Sebagai Peneraju Liga

Encik Bakri pada June 20, 2015

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) –T-Team mengekalkan penguasaan dalam saingan Liga Perdana apabila mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Inspen, Bangi, Jumaat malam.

Kemenangan itu sekali gus melebarkan penguasaan T-Team dalam kedudukan liga dengan 26 mata daripada 11 perlawanan.

Pada aksi malam ini, T-Team terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-46 menerusi jaringan Ahmad Takiyuddin, sebelum Fairuz Abdul Aziz menyamakan kedudukan pada minit ke-71.

Ketika perlawanan dilihat berakhir dengan keputusan seri, Farhod Tadjiyev muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan pelawat pada minit ke-90+3.

Liga Perdana T Team kekal teraju liga P Pinang PKNS JDT II Sabah lakar kemenangan Sukan Berita Harian

Sementara itu, Sabah menewaskan NS Matrix 3-1 di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, sekali gus meraih kedudukan kedua liga berdasarkan kelebihan gol walaupun berkongsi 22 mata bersama Kedah dan Pulau Pinang.

Sabah membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi Alto Linus, diikuti oleh jaringan pemain import dari Australia, Joel Chianese pada minit ke-35 dan Abdoulaye Faye (minit ke-44) sebelum tuan rumah memperoleh gol sagu hati melalui Forkey Doe pada minit ke-85.

Pasukan UiTM FC yang menggunakan Stadium Perak, Ipoh sebagai laman sendiri, pula seri 2-2 berdepan Kedah, hasil dua gol pada babak pertama menerusi Dao Bakary pada minit ke-13 dan Raslam Khan Abdul Rashid pada minit ke-21.

Kedah yang ketinggalan 0-2, menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-52 dan penyerang import dari Brazil, Sandro da Silva pada minit ke-74.

Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, pasukan tuan rumah mencipta kemenangan ke atas pasukan tercorot liga, SPA Putrajaya FC 3-1.

Pulau Pinang bermula garang apabila menjaringkan gol seawal minit pertama menerusi penyerang import dari Brasil, Alberto Goncalves sebelum Mohd Faiz Subri dan Alberto menambah jaringan, masing-masing pada minit ke-42 dan 76.

Gol tunggal SPA Putrajaya pula dijaringkan oleh Mohd Norhafizzuan Jailani pada minit ke-79.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan FA gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-3 kepada pasukan PKNS.

Pemain import dari Argentina, Gabriel Miguel Guerra muncul wira PKNS apabila menjaringkan hatrik.

Beliau menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-55, sebelum menambah jaringan pada minit ke-63 dan 75, manakala gol Kuantan FA dijaringkan oleh Milan Purovic pada minit ke-44.

Pasukan dari selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim II pula menang tipis 1-0 ke atas pasukan DRB-Hicom FC di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Gol tunggal skuad Harimau Selatan itu dijaringkan oleh Leandro Sabastian pada minit ke-81.

— BERNAMA


Download aplikasi The Sukan di Google Play