The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Liga Perdana | Perebutan Takhta Liga Masih Terbuka Buat Pulau Pinang dan T-Team

Encik Bakri pada August 15, 2015

Persaingan kejuaraan Liga Perdana akan diketahui sehingga ke penghujung musim selepas pendahulu Kedah tewas mengejut 2-0 kepada NS Matrix di Seremban manakala T-Team sekadar seri berdepan UiTM FC.

Keputusan tersebut bagaimanapun tidak menggugat kedudukan Kedah yang masih mendahului liga dengan pungutan 42 mata selepas 20 perlawanan tetapi hanya dibezakan dengan tiga mata daripada pasukan tempat kedua dan ketiga.

FT | NS Matrix 2-0 Kedah

Pada aksi di Paroi itu, Negeri Sembilan yang dikenali sebagai NS Matrix musim ini meraih jaringan menerusi Francis Forkey Doe pada minit ke-72 dan pemain gantian, N. Thanabalan tujuh minit sebelum permainan tamat.

FT | Pulau Pinang 4-0 Sabah

Pulau Pinang pula memintas T-Team di kedudukan kedua liga selepas membenam Sabah 4-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Walaupun berkongsi 39 mata bersama T-Team, Pulau Pinang berada pada tangga kedua carta Liga Perdana berdasarkan perbezaan jaringan.

Empat gol skuad Harimau Kumbang dijaringkan Elias Sulaiman pada minit ke-41, Mohd Azinee Taib (minit ke-48 dan 73) dan Mohd Faiz Subri pada minit ke-61.

FT | UiTM FC 2-2 T-Team

Di Stadium UiTM, Shah Alam, pasukan UiTM FC berjaya mengikat T-Team dengan keputusan 2-2. Dua gol skuad ‘The Lion Troops’ dijaringkan oleh kapten pasukan, Dao Bakary pada minit ke-41 dan Aiman Syazwan 11 minit selepas itu manakala pemain import dari Uzbekistan, Sadriddin Abdullaev meledak dua gol untuk T-Team pada minit ke-34 dan ke-54.

FT | DRB Hicom 1-1 PKNS FC

Pasukan kelab, PKNS FC pula kekal di tangga keempat liga walaupun seri 1-1 menentang DRB Hicom FC di Stadium Proton, Tanjung Malim, Perak.

FT | JDT II 2-1 Kuala Lumpur

Dalam pada itu, pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) kembali meraih kemenangan selepas menang tipis 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu.

Pemain import dari Korea Selatan, Choi Hyun Yeon mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi jaringan pembukaan pada minit ke-33 sebelum JDT II bangkit meledak dua gol menerusi Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak tujuh minit selepas babak kedua bermula diikuti Mohd Akmal Ishak pada minit ke-69.

Esok berlangsung perlawanan tunggal Liga Perdana melibatkan dua pasukan tercorot liga iaitu SPA Putrajaya FC dan Kuantan FA di Stadium UiTM, Shah Alam.