The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Liga bola sepak Thailand – satu blueprint yang perlu dilihat serius penggiat bola di Malaysia

Eikrem pada December 29, 2015

Thailand merupakan jiran di sempadan utara Malaysia dan beberapa pekan di selatan negara tersebut lebih dikenali sebagai tempat untuk bercanda ria bagi jantan-jantan dari Malaysia seperi Golok dan Danok.

Selain dari pekan-pekan libur yang disebut, Thailand juga dikenali kerana pasukan bola sepaknya sebagai yang terkuat di Asia Tenggara. Dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2017, Thailand kini berada di tangga teratas kumpulan F yang terdiri daripada Iraq, Vietnam dan Taiwan.

Cukup power bola sepak Thailand dan mereka telah melahirkan beberapa pemain yang hebat dari era Therdsak Chaiman, Kiatisuk Senamuang dan Worawoot T Srimaka sehingga ke bintang terkini – Terasil Dangda, Charyl Chappuis dan Chanatip Songkrasin yang menarik beberapa kelab eropah dan Liga J1. Malah Terasil pernah bermain dengan kelab La Liga, Almeria, walaupun tidak dapat menempatkan dirinya sebagai penyerang utama.

Berbanding dengan pemain Malaysia yang lebih selesa bermain bola di bawah ketiak bini, pemain Thailand berani dan seringkali menjadi pilihan pemain import sekurang-kurangnya di liga asia tenggara dan asia.

Bagaimana Thailand mampu menghasilkan pemain-pemain hebat yang ramai?

Jawapannya simple. Mereka mempunyai banyak kelab bola sepak professional – 159 kelab yang bergerak secara professional!

Apabila banyak pasukan yang bertanding secara professional, maka peluang untuk pemain muda mempertaruhkan bakat mereka lebih terbuka. Bagaimana sistem liga mereka mampu menampung begitu banyak pasukan, ini jawapannya.

Thai Premier League (TPL)

Buriram Untied, Bangkok Glass, Chonburi adalah antara pasukan yang bersaing di divisyen tertinggi dalam pyramid bola sepak Thailand, TPL. Keseluruhannya, TPL mempunyai 18 pasukan, di mana setiap pasukan akan bermain di kalangan mereka sebanyak dua kali dari bulan Februari sehingga Disember.  Ini bermaksud setiap pasukan perlu menghabiskan 34 perlawanan dalam masa 11 bulan, bersamaan kira-kira 45 minggu dan biasanya perlawanan dimainkan pada hujung minggu, kadang kala pada hari bekerja.

Buriram - pasukan Thailland terkuat ketika ini
Buriram – pasukan Thailland terkuat ketika ini

Ini memberikan ruang dan waktu untuk pemain berlatih mengikut jadual dan semestinya bakal memberikan impak positif kepada persembahan pemain.

Jika ada kempen atau perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan, liga akan berehat paling lama selama 2 minggu. Itu sahaja. Usai kempen pasukan nasional selesai, liga bersambung seperti sedia kala.

Lebih menarik lagi, had maksimum pemain import di TPL ialah 5 orang, dan pemain mereka dilihat tidak bermasalah untuk bersaing dengan pemain import.

3 pasukan terbawah pada penghujung saingan liga akan diturunkan ke Thai Division 1.

Thai Division 1 (TD1)

TD1 adalah divisyen 2 dalam sistem pyramid bola sepak Thailand, dan mempunyai 20 pasukan. Liga ini dimainkan dari bulan Mac sehingga Oktober, iaitu selama 8 bulan bersamaan kira-kira 35-36 minggu.

Thai Division 1 | Gambar : Wikipedia
Thai Division 1 | Gambar : Wikipedia

Ini bermakna setiap pasukan perlu menghabiskan 38 perlawanan liga dalam tempoh tersebut dan mereka secara umumnya akan berehat selama 4 bulan dari November ke Februari.

Tiga pasukan teratas pada penghujung saingan liga akan dinaikkan ke TPL dan 4 pasukan terbawah akan diturunkan ke liga divisyen 3.

4 pasukan? Banyak kan? Takpa. Nanti kita ulas lebih dalam lagi.

Sama seperti TPL, 5 pemain import dibenarkan untuk beraksi dalam setiap pasukan dan pemain tempatan dilihat tiada masalah untuk memberikan saingan.

Regional League Division 2

Liga regional league ini dimainkan mengikut enam wilayah,

  1. Wilayah Bangkok – 14 pasukan
  2. Wilayah Tengah dan Timur – 14 pasukan
  3.  Wilayah Tengah dan Barat – 13 pasukan
  4. Wilayah Utara – 14 pasukan
  5. Wilayah Timur Laut – 18 pasukan
  6. Wilayah Selatan – 10 pasukan

Juara dan naib juara setiap wilayah akan layak ke pusingan ‘Champions League’ dan dibahagikan kepada dua kumpulan.

Regional Thai Division 2 | Gambar : America Pink
Regional Thai Division 2 | Gambar : America Pink

Juara dan naib juara setiap kumpulan ini akan dinaikkan ke liga divisyen 1, dan empat pasukan terbawah divisyen 1 akan diturunkan ke Liga wilayah.

Keistimewaan liga wilayah.

Kalau dilihat secara keseluruhan, sebanyak 83 pasukan yang bertanding di peringkat wilayah dan kebanyakannya adalah kelab professional.

Liga ini juga dimainkan dari bulan Mac, sehingga September. Manakala pusingan ‘Champions League’ pula bermula dari Oktober sehingga Disember dan ini bermaksud, kelab mempunnyai musim bola sepak yang panjang, berbanding Liga FAM yang selalunya dimainkan dari Januari sehingga Jun dan aktiviti rasmi bola sepak pasukan terhenti selama 6 bulan.

Liga wilayah juga tidak memerlukan perbelanjaan perjalanan yang tinggi dari setiap pasukan memandangkan kedudukan geografi pasukan yang dekat. Malah untuk perlawanan away, pasukan pelawat tidak perlu menempah hotel untuk hospitaliti pasukan.

Liga wilayah ini perlu dipandang dengan lebih serius oleh penggiat bola sepak di Malaysia. Pengulas bola sepak terkenal, Shebby Singh pernah mencadangkan liga peringkat wilayah ini bagi divisyen bawahan namun cadangan tersebut bagaikan ditiup angin sahaja.

Berikut adalah kesimpulan perbandinganliga bola sepak Malaysia dan Thailand.

Perbandingan sistem bola sepak Malaysia dan Thailand

Jumlah divisyen utama 3 3
Divisyen tertinggi Thai Premier League Liga Super Malaysia
Jumlah pasukan 18 12
Divisyen pertengahan Thai Division 1 Liga Perdana Malaysia
Jumlah pasukan 20 12
Divisyen 3 Regional League division 2 Liga FAM
Jumlah pasukan 83 19
Format divisyen 3 Dimainkan mengikut wilayah dan terbahagi kepada 5 wilayah bermula 2016* Dibahagi kepada dua kumpulan  peringkat nasional, tidak mengikut wilayah
Piala FA Kalah mati Kalah mati
Piala Tambahan Piala Liga – Kalah mati Piala Malaysia – 4 kumpulan diikuti kalah mati

* Liga wilayah sebelum 2016 terbahagi kepada 6 wilayah


Download aplikasi The Sukan di Google Play