Legasi RM53.4 billion Olimpik Brazil Kini Reput Dimamah Mentari

Eikrem 5 bulan yang lalu

Pada musim panas 2016, Brazil telah menganjurkan sukan Olimpik di Bandaraya Rio de Janeiro di mana acara ini dilangsungkan dengan pelung cemerlang gemilang dan terbilang. Pada ketika itu seluruh dunia bertumpu ke Brazil untuk menyaksikan permainan dan perlawanan sukan-sukan utama di dunia.

Perbelanjaan Besar dan Kesan Buruk

Sebelum sukan Olimpik bermula, kerajaan Brazil telah berbelanja sebanyak $12 billion (RM53.4 billion) untuk menyediakan kemudahan-kemudahan sukan dan penginapan kepada atlet dan juga pelancong yang bakal hadir, meskipun sudah sedia maklum bahawa kerajaan pusat sedang mengalami krisis kewangan. Malah ketika itu, gaji penjawat awam juga sering dibayar lambat.

Lebih teruk lagi, Olimpik dianjurkan hanya selepas dua tahun Brazil menganjurkan Piala Dunia di mana mereka telah berbelanja sebanyak $11.6 billion (RM 51.6 billion), menyebabkan rakyat negara tersebut menunjuk perasaan tanda protes di jalanan.

Lapan bulan berlalu, krisis kewangan Brazil bertambah teruk di mana KDNK mereka menyusut sebanyak 8.4% dan gaji penjawat awam terpaksa dipotong sebanyak 30%.

Disebabkan masalah kewangan juga, mereka gagal untuk menyediakan peruntukan untuk mengawal selia dan penyelenggaraan pusat-pusat sukan seperti stadium dan pusat akuatik terbiar dan reput dimamah mentari.

Infrastruktur Dulu dan Sekarang

Pusat akuatik – dibina sebagai biaan sementara untuk sukan tersebut, kolamnya telah kering kontang dan arena tersebut secara keseluruhannya kelihatan sangat kpak di bahagian dalam – cukup berbeza berbanding ketika sukan berlangsung.

Pusat akuatik ketika Olimpik
Pusat akuatik kini
Pandangan pusat akuatik dari luar

Stadium Maracana – stadium berlangsungnya perlawanan akhir Piala Dunia 2014 pula ditinggalkan bagai rumah tumpangan Sabul, padangnya yang suatu ketika dahulu menghijau mekar kini kuning mereput di bawah cahaya matahari.

Maracana ketika majlis penutup Olimpik
Maracana kini

Bekalan elektrik pula telah dipotong kerana bil yang tidak dibayar – sekitar $1 juta (RM4.45 juta) dan seperti arena lain yang digunakan ketika Olimpik tahun lalu, perancangan untuk kemudahan ini masih lagi samar-samar.

Stadium ini juga telah menjadi tempat orang ramai mencuri apa-apa yang boleh dicuri sehinggakan pihak pengurusan stadium meminta campur tangan pihak berkuasa.

Kerusi stadium ini boleh dibawa ke Malaysia memandangkan orang bola di negara ini suka benda-benda macam ni

Manakala di Rio pula, akhbar melaporkan pihak berkuasa tempatan meramalkan belanjawan pada tahun ini akan berkurang $1 billion (RM4.45 billion) dengan bajet untuk seluruh negeri juga dikatakan menyusut $6 billion di samping hutang yang bernilai $10 billion.

Perancangan Besar Infrastruktur Olimpik Setelah Acara Tamat

Arena taekwondo dirancang untuk dijadikan sebuah sekolah dengan akuarium  dikatakan bakal diroboh untuk memberi laluan kepada dua buah sekolah. Akan tetapi tiada satu pun daripada perancangan ini menjadi realiti dan rakyat Brazil kini mempersoal kewajaran penganjuran acara utama dunia itu.

Kerusi stadium dicabut dan bertaburan

Perkampungan atlet ketika Olimpik sepatutnya kini menjadi perumahan mewah seperti Vista Komanwel di Bukit Jalil yang digunakan sebagai perkampungan atlet sukan Komanwel 1998, tetapi hanya sebahagian kecil lot rumah yang berjaya dijual.

Perkampungan Olimpik kini sepi bagaikan rumah urut yang baru diserbu polis

Lebih mengecewakan rakyat Brazil, pusat tenis dan velodrom ditutup kepada orang awam kerana kegagalan mendapatkan pengurusan baru dan padang golf di ibu negara Brazil yang bernilai $20 juta terkapai-kapai mencari ahli kelab yang baru.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Brazil menerima impak yang negative pasca dua acara besar – Sukan Olimpik dan Piala Dunia dianjurkan di negara mereka dan di sebalik kontrak-kontrak kerja yang diagih untuk penyediaan infrastruktur, pasti ada penyelewengan yang berlaku sekaligus menjadikan orang awam sebagai mangsa.

Sumber : Daily Mail