The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Lee Chong Wei Di Ranking Ketiga Dunia

Encik Bakri pada November 27, 2015

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berada di landasan tepat untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil selepas menduduki ranking ketiga dunia, demikian menurut ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikeluarkan hari ini.

lee-chong-wei-ranking-ketiga-dunia
Kedudukan Terkini Lee Chong Wei

Kedudukan Chong Wei dalam ranking dunia melonjak selepas pemain nombor satu Malaysia itu meraih tiga gelaran berturut-turut di Terbuka Perancis, China dan Hong Kong, baru-baru ini.

Chong Wei kembali beraksi pada kejohanan kompetitif Jun lepas, selepas menjalani penggantungan selama lapan bulan oleh BWF kerana kesalahan doping. Berikutan itu, ranking beliau jatuh merudum daripada pemain nombor satu dunia kepada kedudukan ke-180.

Mengulas pencapaian itu, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen berkata ranking Chong Wei naik mendadak daripada kedudukan ke-180 kepada ketiga dunia, dalam tempoh kurang enam bulan.

kedudukan-rangking-lee-chong-wei
Kedudukan Lee Chong Wei Pada 19 November 2015

“Chong Wei menampilkan prestasi mengagumkan…ia pencapaian yang hebat kerana beliau menjuarai tiga kejohanan berturut-turut.

“Kejayaannya baik untuk badminton negara. Jangkaan saya tepat…sejak hari pertama berada di sini, saya percaya Chong Wei mampu melakukannya,” kata Frost di sini, hari ini.

Frost ditemui pemberita ketika hadir menyaksikan Kejohanan Badminton Remaja Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) 2015 di Arena Sukan Sentosa di sini, hari ini.

kronologi-ranking-lee-chong-wei
Kronologi Ranking Lee Chong Wei Dari Bulan Jun 2015

Mengenai jurulatih perseorangan lelaki negara, Frost berkata pada masa ini, beliau tidak dapat mengumumkan senarai nama jurulatih berkenaan, namun mereka terdiri daripada jurulatih tempatan dan asing bagi membimbing pemain kebangsaan.

“Saya belum berbincang dengan Chong Wei mengenai jurulatih perseorangan… seperti yang saya katakan, terdapat pilihan dalam senarai jurulatih. Saya berharap dapat memilih jurulatih perseorangan menjelang akhir Disember ini,” katanya.

-BERNAMA