Lagenda Bola Sepak dan Kasut Pilihan Mereka

Eikrem 6 bulan yang lalu

Sukan bola sepak telah lahirkan ramai lagenda dari zaman dahulu kala sehinggalah ke hari ini. Ada lagenda yang masih hidup, dan ada yang telah meninggalkan kita. Berikut adalah sebelas pemain terbaik sepanjang zaman, dengan kasut bola sepak masing-masing.

Penjaga gol : Lev Yashin

Lev Yashin merupakan penjaga gol Soviet Union dari tahun 1954 sehingga 1967, dan di peringkat kelab, Yashin hanya bermain untuk satu kelab – Dynamo Moscow selama 20 tahun sejak 1950. Apa yang istimewanya Yashin berbanding penjaga gol hebat yang lain?

Yashin merupakan satu-satunya penjaga gol hingga ke hari ini yang pernah menerima Ballon D’Or iaitu pada tahun 1963, dan untuk rekod, dia telah menyelamatkan 151 penalti dan menyelamatkan gawang sebanyak 270 perlawanan tanpa bolos.

Kasut pilihan : Adidas klasik Fritz Walter.

Pertahanan kanan : Cafu

Cafu boleh dikatakan sebagai pemain yang menggunakan enjin keretapi di mana dia sering kali turun naik di bahagian tepi padang tanpa penat. Cafu menguasai posisi pertahanan kanan Brazil selama 16 tahun, dari 1990 sehingga 2006, sebelum tempatnya diambil alih oleh Dani Alves.

Sepanjang 142 penampilan bersama Brazil, Cafu telah menjaringkan 5 gol dan lebih manis lagi, Cafu telah muncul kapten dalam kempen Piala DUnia 2002, sekaligus menjadi pemain yang menjulang piala teragung bola sepak itu pada tahun tersebut.

Kasut pilihan : Lotto Vento.

Pertahanan kiri : Paulo Maldini

Kalau tak kenal Paolo Maldini, maksudnya seseorang itu hanya mula menonton bola sepak selepas era Abramovich. Paolo Maldini merupakan lagenda AC Milan dan Itali.

Bersama AC Milan, Maldini telah berkhidmat selama 24 tahun dengan lebih 650 perlawanan! Bersama Itali pula Maldini telah menabur bakti selama 14 tahun dari 1988 sehingga 2002.

Pertahanan kental ini mewarisi bakat bapanya yang juga bekas pemain AC Milan dan Itali, Cesare Maldini. Antara detik terbaik Maldini ialah memenangi Serie A pada musim 1991-92 tanpa kalah di bawah bimbingan pewaris Arigo Saachi, Fabio Capello.

Kasut pilihan : Nike Tiempo

Pertahanan tengah kanan : Franz Beckenbauer

Franz Beckenbauer adalah antara pertahanan terbaik di zamannya dan juga sepanjang zaman sehingga tercipta Lagu Zaman oleh allahyarham SM Salim.

Beckenbauer juga merupakan pemain yang mempopularkan fungsi libero dalam taktikal bola sepak. Pencapaian agungnya ialah memenangi Piala Dunia sebagai pemain pada tahun 1974, dan sebagai pengurus pada tahun 1990.

Kasut pilihan : Adidas Cosmos

Pertahanan tengah kiri : Bobby Moore

Mungkin tidak ramai yang mengenali pemain lagenda England ini. Moore merupakan anggota pasukan England yang memenangi Piala Dunia 1966, yang diadakam di England.

Moore telah memberikan khidmat selama 11 tahun sebagai pemain England dan berjaya mengutip 108 caps dan dua gol manakala bersama West Ham, khidmatnya digunakan selama 16 tahun dengan lebih 500 perlawanan.

Kasut pilihan : Adidas Diamant

Pemain tengah : Zinedine Zidane

Zinedine Zidane merupakan pemain tengah terbilang sekitar tahun 1990-an dan awal 2000. Dia yang kini pengurus Real Madrid, telah menjulang Liga Juara-Juara selaku pemain dan juga pengurus.

Pada tahun 1998 Zidane mengetuai Perancis untuk memenangi Piala Dunia di laman sendiri di mana dia sendiri telah menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir. Tidak mustahil suatu hari nanti Zidane akan mengurus Perancis dan memenangi Piala Dunia bersama Les Bleus pula.

Kasut pilihan : Adidas Copa Mundial

Pemain tengah : Johan Cruyff

Johan Cruyff memulakan karier di Ajax Amsterdam pada tahun 1964, sebelum berhijrah Barcelona pad tahun 1978. Di Ajax, Cruyff menjadi nadi utama pasukan dalam menghidupkan falsafah ‘total football’ yang dibawa pengurus, Rinus Michel.

Setelah menyertai Barcelona, Cruyff membantu Barcelona memenangi gelaran La Liga pada tahun 1974, gelaran pertama sejak tahun 1960. Cruyff dianggap wira Catalan dek kehebatannya di atas padang. Bersama skuad Belanda, Cruyff pernah membawa pasukannya ke perlawanan akhir Piala Dunia 1974, sebelum tewas kepada tuan rumah, Jerman Barat.

Lagenda Jerman, Beckenbauer pernah berkata jika Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo bernilai €100juta, maka nilai Cruyff adalah berbillion Euro.

Kasut pilihan : Puma King

Pemain tengah : Alfredo Di Stefano

Lagenda Real Madrid ini boleh bermain di semua posisi di bahagian tengah, sama ada nombor 8, 6, pertahanan tengah, libero, penyerang dan lebih menarik lagi, lagenda ini lakukannya dalam satu perlawanan! Pemain ini cukup laju turun naik padang selain mempunyai kelebihna menggelecek bola yang sangat bagus.

Di Stefano telah bermain untuk tiga negara -Argentina, Colombia dan Sepanyol. Ketika itu, undang-undang FIFA belum cukup ketat seperti hari ini berkenaan kelayakan seseorang pemain bermain untuk negara. Lagenda Manchester United dan England, Bobby Charlton pernah berkata, “Di Stefano adalah pemain terbaik yang pernah aku lihat, Pele mungkin mempunyai ketajaman, tetapi Di Stefano masuk ke padang dan pergerakan permainan bagaikan bermula dari kepalanya.”

Di Stefano meninggal dunia pada tahun 2014 kerana serangan jantung pada usia 88 tahun dan telah meniggalkan satu legasi yang sukar untuk dituruti.

Kasut pilihan : High Cut Classic

Penyerang sayap kanan : Leo Messi

Messi adalah satu-satunya pemain yang masih aktif bermain dalam senarai ini. Dibawa ke Barcelona pada usia 12 tahun, Leo Messi kini adalah pemain terbaik dunia dengan lima Ballon D’Or, di samping mencipta rekod demi rekod bersama kelab Catalan tersebut.

Rasanya tak perlu pekenal dah Messi. Kalau kau tak kenal, sila pergi menyanyi dengan Aiman Tino.

Kasut pilihan : Adidas F50

Penyerang sayap kiri : Diego Maradona

Sebelum Messi, dunia mengenali Argentina kerana pemain rendang ini – Diego Maradona. Maradona telah bermain dalam empat edisi Piala Dunia dengan 1986 adalah kempen yang paling berjaya di mana dia telah mengetuai pasukannya memenangi piala berprestij tersebut di Mexico.

Perlawanan yang menjadi tumpuan adalah ketika separuh akhir di mana Maradona telah menjaringkan dua gol, dan kedua-dua gol tersebut menjadi sebutan sehingga ke hari ini kerana sebab yang berbeza. Gol pertama Maradona dijaringkan dengan menggunakan tangan sehingga digelar ‘Hand of God’, manakla gol kedua pula diundi gol terbaik sepanjang abad di fifa.com, di mana Maradona telah menggelecek 5 pertahanan England sebelum menjaringkan gol.

Maradona menerima anugerah bola emas selaku pemain terbaik kejohanan pada tahun itu. Detik terakhir pentas bola sepak antarabangsanya ialah pada Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat di mana Maradona telah disahkan positif dadah dan disingkirkan daripada pasukan.

Kasut pilihan : Puma King

Penyerang tengah : Pele

Jika di Malaysia Raja Bola ialah Ghani Minhat, maka di seluruh dunia gelaran Raja Bola diberikan kepada lagenda Brazil, Pele. Empunya nama Edson Arantes do Nascimento bermain di Piala Dunia pertamanya pada tahun 1958, ketika usianya 17 tahun. Pada tahun tersebut juga Pele mencipta rekod pemain paling muda yang bermain di perlawanan akhir ketika berusia 17 tahun, 249 hari – rekod yang kekal sehingga hari ini.

Apa yang membuatkan Pele istimewa berbanding pemain lain, dia telah memenangi tiga Piala Dunia – 1958, 1962, 1970 dan ini merupakan satu lagi rekod yang masih belum dicapai sampai sekarang. Pele bersara daripada bola sepak pada tahun 1977, selepas menjaringkan 77 gol buat negaranya.

Kasut pilihan : Puma King-Pele