Klopp: Liverpool Kembali Ke Tempat Yang Sepatutnya Mereka Berada

Izuddin oleh Izuddin 1 bulan yang lalu

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengumumkan Liverpool telah kembali ke tempat yang sepatutnya mereka berada berada dalam 'dunia bola sepak' selepas menumpaskan Bayern Munich dalam perlawanan timbal balik pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Selepas perlawanan pertama di Anfield berakhir tanpa sebarang jaringan, Liverpool berdepan tugas sukar untuk mencari kemenangan di tempat lawan menentang juara bertahan Bundesliga itu.

Liverpool is back !

Status Bayern Munich selaku salah sebuah pasukan pilihan untuk menjulang Liga Juara-Juara Eropah nyata tidak dihiraukan Liverpool  apabila mereka beraksi cemerlang untuk menewaskan pasukan tersebut 3-1 di Allianz Arena awal pagi tadi.

Pemain antarabangsa Senegal, Sadio Mane berjaya membuka jaringan untuk Liverpool pada minit ke-26 selepas bijak memperdayakan Manuel Neuer yang meluru ke arah beliau untuk menghalang Mane dari membuat percubaan.

Walau bagaimanapun, kegembiraan Liverpool tidak kekal lama kerana Bayern Munich berjaya menyamakan kedudukan sebelum rehat separuh masa apabila Joel Matip menampan bola ke dalam gawang sendiri.

Liverpool kembali di hadapan pada minit ke-69 menerusi tandukan pemain tinggi lampai, Virgil van Dijk menerus sepakan sudut.

Mane bijak memperbodohkan Neuer untuk jaringan pembukaan Liverpool

Mane sekali lagi muncul wira buat pasukannya apabila menjaringkan gol ke-3 Liverpool menerusi tandukan selepas menerima hantaran daripada Mohamed Salah pada penghujung permainan.

Dengan kemenangan ini, Liverpool menjadi pasukan ke-4 dari Liga Perdana Inggeris untuk layak bersaing dalam pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam temu bual selepas tamat perlawanan, Klopp meluahkan perasaan gembiranya dengan kemenangan tersebut dan mendakwa Liverpool akhirnya kembali ke tempat yang sepatutnya mereka berada dalam arena bola sepak.

"Untuk menjaringkan 3 gol di Allianz Arena merupakan perkara yang cukup susah. Jadi kemenangan ini cukup bermakna dan satu langkah yang besar buat kami."

"Kita akan lihat apa yang kami mampu lakukan selepas ini, tetapi ini adalah petanda yang baik. Saya amat gembira."

"Kami berjaya meninggalkan satu petanda yang cukup bermakna untuk Liverpool dan kami juga sudah membuktikan yang kelab bola sepak ini kembali ke persada arena bola sepak."

"Kami semua merasakan yang kelab ini sepatutnya berada di persada dunia bola sepak dan malam ini kami berjaya membuktikannya. Saya sangat gembira dengan keputusan ini dan kejayaan kami layak ke peringkat seterusnya."

Klopp puji aksi Van Dijk. Memang padu

Klopp juga menyemburkan kata-kata pujian terhadap bek tengah Liverpool, Virgil van Dijk yang sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang untuk menghalang barisan serangan Bayern Munich dari bermaharaja lela di atas padang.

"Saya boleh menulis buku untuk bercerita mengenai skill yang ada pada Van Dijk. Beliau merupakan pemain yang sangat hebat. Beliau masih lagi muda tetapi cukup matang dan kuat. Semuanya bagus tentang beliau."




Paparkan Komen