The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Kita Dibolosi Kerana Kita Inginkan Gol Untuk Layak – Ong Kim Swee

Encik Bakri pada November 27, 2016

Harimau Malaysia gagal ke separuh akhir Piala AFF 2016 selepas tewas 1-0 kepada tuan rumah Myanmar. Ini merupakan kali ke-3 Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan dalam 11 edisi kejohanan.

Jurulatih Malaysia, Ong Kim Swee berkata Malaysia dihukum kerana ghairah mencari gol dalam perlawanan mesti menang itu.

“Kita tahu yang kita memerlukan gol dan bermula agak baik di mana banyak percubaan kita lakukan. Pada masa sama Myanmar juga mempunyai peluang.

“Tapi malangnya pada minit terakhir kita dibolosi kerana kita inginkan gol untuk layak.

Kim Swee seperti biasa senantiasa berpuas hati dengan kesungguhan pemain dan menganggap pemain telah memberikan segala-galanya.

“Bagi saya, pemain yang ada ini sudah memberikan segalanya yang mereka ada. Ini sudah maksimum yang boleh kita peroleh daripada mereka. Sudah tentu ada beberapa pemain muda yang perlu dilihat untuk membina pasukan pada masa akan datang.

“Tapi saya puas hati dengan kesungguhan pemain untuk mendapatkan gol, karakter yang mereka tunjukkan kerana bagi saya bermain dengan Myanmar di hadapan penyokong mereka bukan perkara yang sukar tetapi kita terpaksa bermain dengan banyak lagi halangan lain seperti keputusan pengadil yang boleh dipersoalkan dan memberi banyak tanda tanya.

Jurulatih kebangsaan itu juga mengakui telah gagal untuk mencapai KPI tetapi tidak tertekan dengan kegagalan tersebut.

“Bagi diri saya, ini satu kegagalan di mana saya diletakkan KPI untuk menjuarai Piala Suzuki AFF 2016. Apabila gagal layak ke separuh akhir, bermakna saya gagal. Ini yang perlu saya fikirkan kenapa saya gagal dan banyak yang boleh kita lihat selepas pulang nanti.

“Saya tak tertekan. Ini kebiasaan bagi tugas seperti ini yang sudah sememangnya sentiasa dalam tekanan. Apabila satu KPI tidak tercapai, saya masih mempunyai dua lagi KPI untuk dilaksanakan.”